Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik inisiatif pemerintah untuk menyemak peraturan dan proses kawal selia untuk operasi perniagaan, sambil menambah bahawa usaha memperkemas peraturan yang rumit adalah penting bagi mengurangkan beban ke atas perniagaan.
Langkah memperkemas peraturan dan proses kawal selia itu terutamanya penting kerana perniagaan menghadapi pelbagai cabaran kawal selia unik, tambah DPPMS.
“Dengan menyokong penyesuaian kawal selia yang praktikal, kami percaya perniagaan akan dapat beroperasi dengan lebih berkesan dan menyesuaikan keadaan dengan lebih baik kepada keadaan pasaran yang berkembang, oleh itu, menggalak pertumbuhan dan kemampanan mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan pada 19 Ogos.
Pada 18 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulung beliau mengumumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan menerajui usaha dalam menyemak dan memperkemas proses kawal selia yang memerlukan syarikat mematuhi syarat dan peraturan tertentu dalam menjalankan operasi dan perniagaan.
Ini demi memastikan “persekitaran mesra perniagaan” dan “mengekalkan beban kawal selia pada tahap minimum”, terutamanya bagi syarikat kecil dan sederhana (SME), kata Encik Wong.
Dalam ucapannya, Encik Wong juga telah memberi contoh bagaimana langkah memperkemas peraturan kawal selia telah mempermudah proses mendapatkan kelulusan dan mengurangkan kos bagi syarikat yang ingin mengadakan pertunjukan dron.
Sebelum ini, syarikat yang ingin mengadakan pertunjukan dron bukan hanya perlu mendapatkan permit bagi pertunjukan, malah memastikan setiap dron sudah didaftarkan dan mempunyai pelekat yang ditampal padanya.
Ini bermakna, jika satu pertunjukan itu menggunakan 1,000 dron, setiap dron itu akan mempunyai pelekat atau 1,000 pelekat.
Namun, setelah peraturan diperkemas, syarikat hanya perlu mendapatkan satu permit untuk sebuah pertunjukan, tidak kira berapa banyak dron yang digunakan, dan tidak lagi perlu tampal pelekat pada dron.
Di samping itu, syarikat juga dapat menjimatkan kos – misalnya, sebuah pertunjukan dron menggunakan 1,000 dron akan menelan belanja lebih $25,000 dalam kos pematuhan sebelum ini, tetapi sekarang, ia hanya berharga $500.
Dalam kenyataannya, DPPMS turut mengalu-alukan langkah menyediakan sokongan kewangan sementara kepada pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang hilang pekerjaan, seperti diberhentikan kerja atau hilang pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru.
Di bawah skim ini, pekerja yang terjejas boleh mendapat sokongan sehingga $6,000 secara keseluruhan selama tempoh sehingga enam bulan.
Namun, mereka perlu menjalani latihan, menyertai sesi bimbingan kerjaya dan khidmat pemadanan kerja demi memastikan mereka dapat mencari peluang pekerjaan lebih baik.
“Ini merupakan langkah penting dalam menyediakan sokongan semasa waktu mencabar. Pendekatan menyeluruh ini, yang menggabungkan bantuan kewangan dengan sumber pembangunan kerjaya, adalah penting bagi membantu pekerja memasuki semula tenaga kerja dengan berkesan,” kata DPPMS.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Sim Gim Guan, berkata dengan keperluan berterusan bagi ekonomi dan perniagaan menjalani transformasi di tengah-tengah persekitaran yang sangat kompetitif dan kadar perubahan yang semakin meningkat, pekerja mungkin mendapati diri mereka menganggur tanpa pilihan.
Justeru, Snef menyokong Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru itu yang bukan hanya menyediakan sokongan kewangan sementara kepada pekerja yang hilang pekerjaan, malah membantu mereka mencari pekerjaan baru secara aktif.
Pada masa yang sama, disebabkan pasaran tenaga kerja yang ketat, Encik Sim berkata banyak syarikat menghadapi cabaran mencari individu dengan kemahiran yang sesuai untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka.
“Ini mungkin memerlukan pekerja mengambil masa untuk mempertingkat kemahiran demi memenuhi keperluan pekerjaan baru.
“Oleh itu, Snef mengalu-alukan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, yang akan menyediakan sokongan kepada pencari kerja untuk mencari pekerjaan secara aktif.
“Dilengkapi dengan skim sokongan lain seperti Program Penukaran Kerjaya (CCP), ini akan membantu majikan menggajikan lebih ramai pekerja setempat untuk memenuhi keperluan tenaga manusia mereka,” kata Encik Sim.
Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata inisiatif baru yang diumumkan Encik Wong dalam NDR, seperti menyediakan sokongan buat pekerja yang diberhentikan kerja dan memperkemas proses kawal selia perniagaan, adalah penting.
“Di DPPMS, kami berdedikasi untuk bekerjasama dalam bidang tersebut, memastikan anggota kami dan masyarakat lebih luas dilengkapi dengan baik untuk menghadapi cabaran yang berkembang dan menyumbang kepada ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif,” kata beliau.
“
Ini mungkin memerlukan pekerja mengambil masa untuk mempertingkat kemahiran untuk memenuhi keperluan pekerjaan baru. Oleh itu, Snef (Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura) mengalu-alukan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, yang akan menyediakan sokongan kepada pencari kerja untuk mencari pekerjaan secara aktif. Dilengkapi dengan skim sokongan lain seperti Program Penukaran Kerjaya (CCP), ini akan membantu majikan menggajikan lebih ramai pekerja setempat untuk memenuhi keperluan tenaga manusia mereka.“
Inisiatif baru yang diumumkan adalah penting dalam mempertingkat sokongan untuk pekerja diberhentikan kerja dan memperkemas peraturan perniagaan. Di DPPMS (Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura), kami berdedikasi untuk bekerjasama dalam bidang tersebut, memastikan anggota kami dan masyarakat lebih luas dilengkapi dengan baik untuk menghadapi cabaran yang berkembang dan menyumbang kepada ekonomi yang berdaya tahan dan inklusif.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg