Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usah terlepas pandang ‘habuan’ paling berharga

Feb 18, 2025 | 9:38 PM

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, tiba di Bangunan Parlimen untuk membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Februari.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, tiba di Bangunan Parlimen untuk membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Februari. - Foto ST

Belanjawan 2025 nampaknya menawarkan habuan untuk semua rakyat Singapura sedang negara ini meraikan 60 tahun selepas merdeka (SG60).

Malah, habuan yang ditawarkan boleh dikatakan lebih murah hati daripada yang dijangka.

Sudah tentu ini bergantung pada jangkaan awal masing-masing.

Apa yang pasti, Belanjawan kali ini memang dinanti-nantikan memandangkan ia dibentangkan di akhir penggal lima tahun pemerintah (2020-2025).

Ini juga bermakna Belanjawan ini yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (GE) yang perlu diadakan sebelum November 2025.

Belanjawan ini juga yang pertama sejak Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mei 2024.

Ternyata, Belanjawan yang disampaikan Encik Wong di Parlimen pada 18 Februari tidak mengecewakan.

Ramai tersenyum lebar mendengar tentang Baucar SG60 – $600 bagi setiap warga Singapura berusia 21 tahun hingga 59 tahun, atau $800 bagi warga 60 tahun dan ke atas.

Skim popular Baucar CDC pula ditambah lagi bagi setiap isi rumah warga Singapura – $500 pada Mei 2025, dan $300 pada Januari 2026.

Ini bermakna langkah yang diumumkan bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan khusus seperti golongan memerlukan, bahkan secara meluas kepada setiap lapisan masyarakat.

Beberapa inisiatif yang sebelum ini hanya diberikan kepada penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kini diluaskan kepada penduduk estet perumahan privet.

Ia termasuk Baucar Iklim sebanyak $400 yang boleh digunakan untuk membeli peralatan jimat tenaga.

Satu lagi skim yang diperluaskan ialah skim Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease), yang kini boleh digunakan untuk melengkapkan rumah privet juga – sebelum ini HDB sahaja – dengan kemudahan mesra warga emas seperti palang di pintu masuk rumah.

Satu golongan penting yang meraih sokongan ketara kali ini ialah keluarga besar, yang mempunyai tiga anak atau lebih.

Di bawah Skim Keluarga Besar, golongan ini menerima sokongan kewangan lebih kukuh.

Pelbagai habuan ini diberikan sedang pemerintah melaporkan lebihan sebanyak $6.4 bilion, atau 0.9 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), bagi Tahun Kewangan (FY) 2024.

Khususnya, pendapatan pemerintah bagi FY2024 lebih baik daripada dijangka, didorong kenaikan dalam Cukai Pendapatan Korporat.

Bagaimana pula keadaannya pada masa depan?

Encik Wong dalam ucapannya menarik perhatian terdapat ketidaktentuan dalam pendapatan pemerintah untuk tahun-tahun akan datang, termasuk ketidakpastian dalam sekitaran cukai sejagat.

Yang pasti, perbelanjaan akan terus meningkat. Perbelanjaan Pemerintah semakin naik pada tahun-tahun lalu, daripada 15 peratus GDP kepada 18 peratus GDP.

Berdasarkan trend, perbelanjaan dijangka naik kepada 20 peratus GDP.

Ini semua bermakna Belanjawan tahun-tahun akan datang belum tentu dapat memberikan habuan semurah hati seperti Belanjawan 2025.

Sedang habuan seperti Baucar SG60 dan Baucar CDC dialu-alukan kerana melegakan kos dan tekanan jangka pendek, warga juga tidak harus terlepas pandang mengenai matlamat jangka panjang Singapura.

Ternyata, Belanjawan 2025 melakarkan strategi bagi Singapura untuk terus maju, dengan mendukung asas seperti dasar kewangan dan fiskal kukuh, inovasi dan kecekapan, serta sikap yang kekal terbuka.

Akhirnya, apa yang akan memberi manfaat pada jangka panjang ialah pertumbuhan terangkum, dengan rakyat yang bersatu padu, sekali gus membolehkan Singapura terus makmur dalam sekitaran sejagat yang mencabar.

Inilah ‘habuan’ paling berharga yang memberi manfaat kepada semua, merentas generasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg