Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JS-SEZ bakal tingkat daya tarikan pelaburan di Johor, S’pura

Insentif cukai, proses diperkemas dan pelan infrastruktur bawa manfaat kepada peniaga
Jan 8, 2025 | 3:06 PM
Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) mengalu-alukan inisiatif awal seperti usaha untuk memperkemas prosedur kastam bagi pemindahan barangan antara laluan darat dan pelaksanaan pelepasan kod QR tanpa pasport di pusat pemeriksaan darat antara Singapura dengan Malaysia.
Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) mengalu-alukan inisiatif awal seperti usaha untuk memperkemas prosedur kastam bagi pemindahan barangan antara laluan darat dan pelaksanaan pelepasan kod QR tanpa pasport di pusat pemeriksaan darat antara Singapura dengan Malaysia. - Foto fail

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ialah satu inisiatif “menang-menang-menang” bagi ekonomi Singapura, ekonomi Malaysia serta perniagaan, kata Pengerusi Kumpulan Kerja Perniagaan Singapura JS-SEZ di bawah Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 7 Januari, Encik Teo berkata JS-SEZ berpotensi menjadi ‘pengubah keadaan’ atau game changer yang akan meningkatkan daya tarikan Johor-Singapura sebagai lokasi pelaburan dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.

“Perjanjian JS-SEZ menandakan peristiwa penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Singapura dengan Malaysia.

“SBF berharap ini membuka era baru integrasi ekonomi yang dipertingkatkan antara Singapura dengan Johor, yang ditandai dengan saling melengkapi, kerjasama dan komitmen untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih besar bagi mewujudkan pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura dan Malaysia,” katanya.

Pada 7 Januari, Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian untuk membentuk JS-SEZ, yang bertujuan membantu Johor dan Singapura bersaing untuk pelaburan di peringkat dunia.

Ini selain menambah baik perhubungan dan pergerakan barangan dan warga antara Singapura dengan Malaysia, serta mengukuhkan ekosistem perniagaan di rantau ini.

Encik Teo berkata SBF amat mengalu-alukan inisiatif awal seperti usaha untuk memperkemas prosedur kastam bagi pemindahan barangan antara laluan darat dan pelaksanaan pelepasan kod QR tanpa pasport di pusat pemeriksaan darat antara Singapura dengan Malaysia.

Ini, katanya, akan membantu mengurangkan kertas kerja, mempercepatkan pemprosesan barangan dan mengurangkan kesesakan, lantas mengatasi cabaran yang dihadapi oleh perniagaan Singapura di Johor seperti tenaga kerja, pergerakan warga dan barangan serta kemudahan pelaburan.

Encik Teo juga meminta butiran lanjut mengenai perjanjian JS-SEZ, seperti pakej insentif cukai, akses pasaran yang dipertingkatkan bagi institusi kewangan dan penambahbaikan kepada pas sedia ada Malaysia untuk memudahkan pergerakan warga yang tinggal dan bekerja di seluruh JS-SEZ.

Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), Encik Lennon Tan, berkata visi JS-SEZ adalah sejajar dengan keperluan pengeluar.

Beliau berkata kemasukan insentif cukai, proses yang diperkemas dan pelan infrastruktur dapat menangani cabaran kos dan cabaran untuk mengembangkan perniagaan yang dihadapi oleh pengilang.

“Walaupun visi itu ada harapan cerah, pengilang akan mendapat manfaat daripada garis masa yang terperinci untuk pembangunan prasarana dan pelancaran dasar,” tambahnya.

Encik Tan berkata logistik dan pengangkutan berkemungkinan mendapat manfaat serta-merta apabila jumlah perdagangan berkembang.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, beliau menjangkakan peningkatan minat dan pelaburan daripada pengeluar serantau.

Dalam tempoh lima hingga 10 tahun, beliau percaya JS-SEZ boleh berkembang menjadi hab pengilangan bernilai tinggi, menyumbang kepada integrasi ekonomi Asean.

“Dengan menangani keperluan pengeluar yang semakin berkembang dan mengekalkan komitmen terhadap inovasi dan kemampanan, JS-SEZ mempunyai potensi untuk menjadi model bagi zon ekonomi rentas sempadan di seluruh dunia,” kata Encik Tan.

“Perjanjian JS-SEZ menandakan peristiwa penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Singapura dengan Malaysia. SBF berharap ini membuka era baru integrasi ekonomi yang dipertingkatkan antara Singapura dengan Johor, yang ditandai dengan saling melengkapi, kerjasama dan komitmen untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih besar bagi mewujudkan pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura dan Malaysia.” 
Encik Teo Siong Seng, Pengerusi Kumpulan Kerja Perniagaan Singapura JS-SEZ di bawah Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

“Walaupun visi itu ada harapan cerah, pengilang akan mendapat manfaat daripada garis masa yang terperinci untuk pembangunan prasarana dan pelancaran dasar... Dengan menangani keperluan pengeluar yang semakin berkembang dan mengekalkan komitmen terhadap inovasi dan kemampanan, JS-SEZ mempunyai potensi untuk menjadi model bagi zon ekonomi rentas sempadan di seluruh dunia.” 
Encik Lennon Tan, Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg