Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

20,000 peluang kerja bagi warga S’pura, M’sia di JS-SEZ

Zon perniagaan dan pelaburan sasar sokong 50 projek dalam lima tahun pertama, 100 projek dalam dekad pertama
Jan 8, 2025 | 2:54 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), mengadakan mesyuarat bersama para menteri dan delegasi dari Singapura dan Malaysia pada 7 Januari di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, Malaysia.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), mengadakan mesyuarat bersama para menteri dan delegasi dari Singapura dan Malaysia pada 7 Januari di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, Malaysia. - Foto ST

PUTRAJAYA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dapat mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir untuk penduduk Singapura dan Malaysia pada masa hadapan.

Hab bagi perniagaan dan pelaburan itu, yang meliputi sempadan Iskandar Malaysia dan Pengerang, juga menyasarkan untuk menyokong pengembangan 50 projek dalam tempoh lima tahun pertama dan sebanyak 100 projek secara keseluruhan dalam tempoh 10 tahun.

Bagi meningkatkan sokongan kepada cita-cita dan pembangunan JS-SEZ, Singapura dan Malaysia akan bekerjasama untuk menyegarkan semula Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), yang pertama kali ditubuhkan pada 2007.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 8 Januari, kedua-dua pemimpin berkata JS-SEZ akan memacu inovasi, meningkatkan produktiviti, bersaing untuk pelaburan global, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Kedua-dua pemimpin mengiktiraf prospek yang bawa harapan untuk kerjasama selanjutnya dalam pembangunan Iskandar Malaysia, khususnya dengan penubuhan JS-SEZ, yang akan meletakkan asas bagi ekosistem perniagaan yang dinamik dan mampan.

“Para pemimpin mengesahkan perbincangan berterusan untuk menyegarkan platform JMCIM untuk menyokong lebih baik cita-cita dan pelaksanaan JS-SEZ, sambil memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang lain, seperti pengangkutan dan alam sekitar,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat selepas berakhirnya Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia pada 7 Januari ketika kedua-dua negara menandakan 60 tahun hubungan diplomatik pada 2025.

Kedua-dua pemimpin berkata JS-SEZ “melambangkan detik penting” dalam hubungan Malaysia-Singapura yang akan membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan cadangan nilai yang saling melengkapi antara kedua-dua negara.

Tambahan pula, syarikat-syarikat yang ingin meneroka peluang perniagaan di JS-SEZ juga boleh meraih manfaat daripada insentif cukai korporat khas, khususnya bagi syarikat yang menjalankan pelaburan baru dalam pertumbuhan tinggi dan aktiviti nilai tambah tinggi dalam JS-SEZ.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, Malaysia pada 7 Januari.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan), di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, Malaysia pada 7 Januari. - Foto ST

Semasa rahat pemimpin itu, Encik Wong dan Datuk Anwar turut menyaksikan pertukaran lapan perjanjian dan memorandum persefahaman (MOU), termasuk perjanjian JS-SEZ yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 6 Januari.

Idea JS-SEZ, yang pertama kali diumumkan pada Oktober 2023 semasa Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10, bertujuan menjadi zon bersepadu untuk perniagaan dan pelaburan yang akan memudahkan pergerakan barangan dan warga antara kedua-dua negara.

Menjelang perjanjian JS-SEZ itu, kedua-dua negara telah melancarkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara dan memudahkan perniagaan yang berminat untuk meneroka peluang dalam JS-SEZ.

Ini termasuk penerimaan pakai pelepasan kod QR di pusat pemeriksaan darat, penubuhan Pusat Kemudahan Pelaburan Malaysia – Johor (IMFC-J) yang baru di Johor, dan memperkemas prosedur kastam kedua-dua negara untuk pemindahan antara laluan darat.

Semasa bercakap di sidang media bersama pada 7 Januari, Encik Wong dan Datuk Anwar turut melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan baik projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim,  di sidang media bersama semasa menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia pada 7 Januari.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sidang media bersama semasa menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia pada 7 Januari. - Foto ST

Dijadual siap menjelang akhir 2026, Laluan RTS akan mempunyai kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam dalam setiap arah.

Setelah siap, ia akan mengurangkan kesesakan di kededua pusat pemeriksaan darat yang menyaksikan aliran trafik harian sekitar 300,000 orang.

Encik Wong dan Datuk Anwar turut mengalu-alukan usaha selanjutnya untuk menangani kesesakan di Koswe dan menyatakan rancangan Singapura untuk membangunkan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi melancarkan lagi pergerakan rentas sempadan orang dan barangan.

“Laluan RTS akan melengkapkan penubuhan JS-SEZ, mengukuhkan lagi hubungan antara Johor dan Singapura, dan menyokong pembangunan ekosistem ekonomi yang rancak.

“Kedua-dua pemimpin menyeru pegawai mereka untuk meneruskan kerjasama erat mereka bagi memastikan projek itu siap tepat pada masanya dan perkhidmatan penumpang dimulakan menjelang Disember 2026,” tambah kenyataan itu.

Selain JS-SEZ, Singapura dan Malaysia juga bersetuju untuk memperluaskan kerjasama ke dalam bidang lain termasuk bidang penangkapan dan penyimpanan karbon dan kerjasama dalam pendekatan usaha sama di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg