Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Drebar teksi, pemandu sewa privet bantu polis jadi ‘mata-mata’ cegah jenayah

Feb 19, 2024 | 7:45 PM
(Dari kiri) Presiden Persatuan Teksi Nasional (NTA), Encik Raymond Ong; Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Cik Yeo Wan Ling; Timbalan Pesuruhjaya Polis (Operasi) Encik Lian Ghim Hua; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling; Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Encik Shng Yunn Chinn; dan Setiausaha Agung NPHVA, Encik Joseph Goh, semasa pelancaran Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Sekuriti Industri (iSSWG) Kenderaan Titik Ke Titik di Hotel Fort Canning pada 19 Februari.
(Dari kiri) Presiden Persatuan Teksi Nasional (NTA), Encik Raymond Ong; Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Cik Yeo Wan Ling; Timbalan Pesuruhjaya Polis (Operasi) Encik Lian Ghim Hua; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling; Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Encik Shng Yunn Chinn; dan Setiausaha Agung NPHVA, Encik Joseph Goh, semasa pelancaran Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Sekuriti Industri (iSSWG) Kenderaan Titik Ke Titik di Hotel Fort Canning pada 19 Februari. - Foto SPF

Satu kumpulan pengawasan keselamatan baru telah dilancarkan pada 19 Februari antara Pasukan Polis Singapura (SPF), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) untuk menggalak pemandu teksi dan sewa privet membangunkan langkah keselamatan di dalam industri.

Dinamakan Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Sekuriti Industri (iSSWG) Kenderaan Titik Ke Titik, pembentukan kumpulan pengawasan itu akan membantu Polis menggalak perkongsian mengenai keselamatan jalan raya, jenayah dan nasihat keselamatan dengan pemandu teksi dan sewa privet.

Berucap semasa pelancaran iSSWG itu, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Cik Sun Xueling, berkata pembentukan kumpulan tersebut akan membolehkan polis menangani ancaman keselamatan dengan lebih berkesan terhadap rangkaian pengangkutan.

“Kami telah melihat contoh serangan di luar negara yang dilakukan ke atas bas dan kereta api. Pengganas juga telah menggunakan kenderaan sebagai senjata untuk merempuh pejalan kaki.

“Sebagai anggota iSSWG ini, anda boleh memainkan peranan dengan sentiasa berwaspada dan memaklumkan pihak berkuasa apabila anda terjumpa sebarang kemunculan yang mencurigakan.

“Satu lagi peranan penting yang boleh anda mainkan ialah meningkatkan keselamatan jalan raya untuk semua pengguna jalan raya,” kata Cik Sun.

Inisiatif iSSWG mula ditubuhkan pada 2008 untuk memudahkan pihak polis bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk menangani kebimbangan keselamatan khusus di dalam setiap industri.

Sebelum pelancaran iSSWG Kenderaan Titik Ke Titik, polis telah menubuhkan lapan iSSWG dalam industri kimia, kewangan, hotel, runcit, pengilangan, hiburan awam, dalam talian dan pengangkutan logistik.

Cik Sun berkata dalam tempoh tiga tahun lepas, secara purata terdapat kira-kira 1,600 kemalangan jalan raya membabitkan teksi dan kenderaan sewa persendirian setiap tahun, dengan kebanyakannya boleh dielakkan jika tabiat memandu selamat diamalkan.

Beliau juga menekankan kebimbangan mengenai penderaan fizikal dan lisan terhadap pemandu teksi dan sewa privet.

“Terdapat lebih 200 kes penderaan yang dilaporkan tahun lepas. Beberapa kes ini mungkin berpunca daripada salah faham antara pemandu dan penumpang mereka.

“Saya rasa kita boleh bekerjasama dengan pemandu dan penumpang juga, tentang cara kita boleh melayan satu sama lain dengan hormat, dan cara menyelesaikan salah faham dan pertikaian secara baik,” kata Cik Sun.

Menurut SPF, pembentukan iSSWG akan membolehkan polis melibatkan pemandu teksi dan sewa privet dengan lebih sistematik dan berkesan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga polis di jalan raya.

Ia juga akan membolehkan polis berkongsi trend jenayah terkini yang menjejaskan industri, langkah untuk meningkatkan keselamatan dan keselamatan pemandu dan penumpang, dan peringatan untuk melaporkan tingkah laku yang mencurigakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg