Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DSTA, firma AI maritim AS kerjasama dalam tangani ancaman di laut

May 7, 2025 | 12:05 PM
DSTA, Windward, ai, maritim
Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut ditandatangani Pegawai Teknologi Kumpulan, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Encik Cheng Heng Ngom (kiri) dan syarikat kecerdasan buatan (AI) maritim terkemuka yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Windward Ltd, diwakili Naib Presiden Kanan Jualan Sejagatnya, Encik Issey Ende.   - Foto DSTA

Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) Singapura dan syarikat kecerdasan buatan (AI) maritim terkemuka yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Windward Ltd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan AI Maritim bagi menangani ancaman dan trend yang berlaku di laut.

Kerjasama itu yang ditandatangani di acara Pameran dan Persidangan Pertahanan Maritim (Imdex) Asia 2025 pada 6 Mei, akan meneroka usaha meningkatkan keupayaan domain maritim Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) melalui teknologi digital.

MOU tersebut ditandatangani Pegawai Teknologi Kumpulan DSTA, Encik Cheng Heng Ngom, sementara Windward Ltd diwakili Naib Presiden Kanan Jualan Sejagatnya, Encik Issey Ende.

MOU itu juga akan merangkumi inisiatif pembangunan bakat melalui program pertukaran dan peluang latihan di Windward, yang membolehkan jurutera DSTA memperdalami kecekapan teknikal mereka.

Menyatakan demikian dalam satu kenyataan bersama pada 6 Mei, Encik Cheng berkata:

“MOU ini menggariskan usaha DSTA untuk memanfaatkan sinergi dengan rakan kongsi sejagat.

“Dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran, kami berusaha untuk memajukan penyelidikan dan pembangunan AI bagi mengukuhkan keupayaan keselamatan maritim kami dan melindungi jalur komunikasi laut.”

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Windward, Encik Ami Daniel, berkata Singapura telah lama menjadi peneraju dalam mendakap inovasi dan menetapkan piawaian cara negara harus melaksanakan kemajuan teknologi.

“Berkongsi dengan DSTA adalah langkah penting dalam komitmen bersama kami untuk meningkatkan keselamatan maritim melalui AI.”

“Kepakaran unik Windward dan teknologi yang dipatenkan akan melengkapkan DSTA dengan alat bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa, bahkan untuk menangani ancaman yang muncul secara proaktif dalam memastikan persekitaran maritim yang lebih selamat dan cekap.”

Acara Imdex merupakan pameran perdagangan pertahanan maritim yang berlangsung dari 6 hingga 8 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg