Empat Kapal Tanpa Pemandu (USV) baru telah beroperasi di perairan Singapura sejak Januari 2025.
Direka bagi mempertingkatkan keselamatan perairan Singapura, kapal-kapal baru ini beroperasi bersama kapal seperti Kapal Misi Pesisir (LMV) daripada Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).
Menurut Panglima Flotila Keenam Thung Yee Meng semasa satu demonstrasi media pada 4 Februari, ini merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di rantau ini.
Direka dengan usaha bersama antara Pusat Program Maklumat Agensi Teknologi dan Sains Pertahanan (DSTA) dengan Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO), kapal USV ini menggunakan teknologi yang membolehkan operasi autonomi dalam persekitaran maritim yang sering sesak.
Dengan demikian, kapal USV hanya memerlukan dua orang anak kapal.
Kededua pegawai ini hanya perlu mengendalikan kapal USV dari jauh di Pusat Operasi Pasukan Petugas Keselamatan Maritim (MSTF) dan melalui komunikasi berbilang pautan, seperti satelit.
Sebagai perbandingan, kapal LMV biasa memerlukan anak kapal seramai 23 pegawai.
Ini boleh dicapai kerana USV dilengkapi dengan sistem navigasi autonomi, termasuk algoritma Pengesanan Perlanggaran dan Penghindaran Perlanggaran (CDCA) yang dibangunkan secara tempatan yang membolehkan kapal ini beroperasi dalam trafik sibuk di Selat Singapura sambil menyesuaikan diri dengan keadaan alam sekitar laut yang sentiasa berubah.
Sistem CDCA ini menggabungkan sensor persepsi dan navigasi USV, serta peralatan pengesanan perlanggaran yang digunakan untuk navigasi maritim pada waktu biasa dengan algoritma yang direka khusus untuk operasi RSN.
Sistem ini membimbing proses pembuatan keputusan kapal sambil memastikan USV mempamerkan tingkah laku yang mematuhi peraturan antarabangsa mencegah pelanggaran laut.
Ini bermakna USV menilai dan memberi respon kepada situasi trafik maritim dengan cara yang boleh diramal – satu perkara yang biasanya hanya dapat dilakukan dengan pemandu LMV.
Dengan memberi liputan yang lebih berterusan di Selat Singapura, USV juga membolehkan kapal perang lain dikerahkan bagi misi yang lebih kompleks, dan yang berjarak lebih jauh dari Singapura.
Kapal USV juga membolehkan pegawai RSN menjalankan misi berisiko tinggi di lautan lebih jauh dengan selamat.
Selepas proses pembangunan dan ujian yang meluas, kapal ini telah mencapai lebih 12 juta kilometer tanpa sebarang perlanggaran.
USV ini juga telah mencatat lebih 1,000 jam operasi secara autonomi, tanpa memerlukan campur tangan manusia.
Ketika ditanya tentang batas USV yang dapat dijangkakan pada masa ini, Panglima Thung berkata kapal tanpa pemandu seperti ini mungkin tidak dapat menangani kes ancaman bot kecil, atau semasa misi mencari dan selamat secara berkesan.
Ini kerana kes serupa itu memerlukan kehadiran manusia untuk menentukan tindakan yang diperlukan.
Namun, beliau menekankan kepentingan mempunyai seorang pegawai yang memandu kapal seperti LMV, dan akan terus berkhidmat bersama kapal USV.
Walaupun jangka masa belum ditentukan, fungsi USV bakal dipertingkatkan bagi pelbagai operasi keselamatan maritim di perairan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg