Pengunjung kini boleh menggunakan dua bahagian pantai East Coast Park yang telah dibuka semula selepas dikepung untuk pembersihan susulan tumpahan minyak pada 14 Jun.
Bagaimanapun, kegiatan air di bahagian yang dibuka semula itu, kawasan B dan E, harus dihadkan kepada sukan air seperti berkayak dan bukan berenang, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan pada 22 Julai.
“Walaupun pantai selamat digunakan, orang ramai dinasihatkan agar tidak berenang atau melakukan sukan air kontak utama seperti wakeboarding dan dayung berdiri di perairan pantai,” kata NEA sambil menambah bahawa ia akan terus memantau mutu air di pantai itu.
“Hanya apabila mutu air kembali normal dan stabil, barulah aktiviti air boleh disambung semula sepenuhnya.”
Sementara itu, kegiatan berasaskan darat di kawasan B dan E boleh kembali seperti biasa. NEA berkata minyak pukal di kawasan darat dan laut Taman East Coast setakat ini sudah berjaya dibersihkan.
Pelampung juga telah digunakan untuk mengelakkan pencemaran selanjutnya, tambahnya.
Di kawasan B dan E, kakitangan terlatih dengan peralatan khas membersihkan minyak dari kawasan yang sukar seperti di celah-celah batuan tambak dan struktur lain, serta minyak yang terperangkap dalam pasir.
Bahagian lain di pantai East Coast masih dikepung dan usaha pembersihan sedang dijalankan.
“Ini adalah proses pembersihan berulang kerana minyak yang mengalir keluar daripada pembersihan satu tapak boleh mencemarkan tapak baru atau mencemarkan semula tapak lain,” kata NEA.
Pada 14 Jun kira-kira 2.20 petang, kapal berbendera Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal tangki minyak berbendera Singapura, Marine Honour, yang tidak bergerak, mengakibatkan 400 tan tumpahan minyak.
Tangki kargo yang rosak di Marine Honour – yang berada di sebelah sebuah kapal kontena yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang – menumpahkan minyak ke laut.
Arus pasang surut menyebabkan minyak merebak ke sepanjang pantai, termasuk Sentosa, Hutan Simpanan Labrador, Kepulauan Selatan, Marina South Pier dan Taman East Coast.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg