Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grace Fu: Perniagaan terjejas mungkin dapat bantuan pemerintah

Jul 2, 2024 | 7:17 PM
Perniagaan dekat pantai Sentosa terpaksa ditutup ekoran proses pembersihan akibat tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang.
Perniagaan dekat pantai Sentosa terpaksa ditutup ekoran proses pembersihan akibat tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang. - Foto ST

Agensi pemerintah sedang mengusahakan langkah untuk menangguhkan sewa bagi membantu perniagaan yang terjejas ekoran kesan tumpahan minyak baru-baru ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Namun, bantuan sedemikian akan diberikan berdasarkan kes demi kes.

Dalam Kenyataan Menteri di Parlimen pada 2 Julai mengenai kejadian tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang, Cik Fu berkata pihak berkuasa telah memantau keadaan dengan teliti.

“Kami memahami kekecewaan dan kesulitan yang dialami oleh perniagaan akibat tumpahan minyak ini.

“Itulah sebabnya Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), yang menguruskan Sentosa dan perniagaan di Kepulauan Selatan, serta agensi lain seperti NParks (Lembaga Taman Negara) yang secara kolektif menguruskan tepi pantai di sepanjang Pantai East Coast, telah secara proaktif menghubungi penyewa mereka.”

Cik Fu yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan berkata tuntutan insurans mungkin boleh dibuat bagi kerugian ekonomi yang dialami perniagaan.

British Marine, syarikat insurans Marine Honor, kapal tangki yang minyaknya telah tumpah ke laut, telah menyediakan talian untuk menerima tuntutan pihak ketiga oleh mereka yang terjejas.

Cik Fu, serta Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; dan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, telah menyampaikan Kenyatan Menteri masing-masing sebagai jawapan kepada 40 soalan yang difail Anggota Parlimen (AP) mengenai kejadian tumpahan minyak tersebut.

Para AP telah menanyakan tentang isu seperti tindak balas segera terhadap kejadian itu, operasi pembersihan, kesan ke atas biodiversiti serta keselamatan makanan dan air.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, berkata perniagaan mungkin menghadapi tekanan kos lain selain sewa.

Oleh yang demikian, beliau bertanya sama ada pemerintah sedang meneliti bentuk sokongan lain, seperti membantu perniagaan kecil mendapatkan pampasan atau menyediakan bantuan kewangan lain.

Cik Fu menjawab: “Perniagaan yang berbeza terjejas pada tahap yang berbeza – sesetengah perniagaan tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana mereka menjalankan kegiatan berasaskan laut, tetapi yang lain... telah dapat menyambung semula (perniagaan) pada tahap sebelum tumpahan minyak itu.

“Jadi saya fikir kita tidak boleh mengambil pendekatan standard atau satu penyelesaian standard untuk semua perniagaan dan agensi pemerintah sangat bersedia untuk mendengar kesusahan yang dilalui perniagaan dan melihat cara terbaik untuk membantu mereka.”

Beliau menambah bahawa agensi seperti NParks dan SDC telah mendekati penyewa mereka yang terjejas.

Sementara itu, dalam Kenyataan Menteri, Encik Lee mendedahkan bahawa tumpahan minyak dikesan di habitat sensitif di Hutan Simpanan Labrador, di Sentosa dan beberapa bahagian di Kepulauan Selatan pada minggu selepas kejadian tumpahan minyak Pasir Panjang berlaku.

Kawasan yang terjejas termasuk pantai berbatu di Hutan Simpanan Labrador, Tanjong Rimau dan Serapong di Sentosa, serta dua lagun di Pulau St John dan Lazarus – Teluk Bendera dan Eagle Bay.

Penemuan itu berdasarkan tinjauan yang dijalankan antara 16 Jun dengan 25 Jun oleh pihak berkuasa, saintis dan masyarakat marin di habitat selatan Singapura.

Walaupun tiada kesan ketara terhadap biodiversiti marin dan hidupan liar dilihat setakat ini susulan tumpahan minyak itu, keadaannya kekal dinamik dan mungkin terdapat implikasi jangka panjang ke atas habitat ini, kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa pelan tindakan sedang diusahakan untuk memulihkan habitat yang sensitif.

Ini akan melibatkan pembersihan pantai dan rondaan pantai dalam tempoh enam bulan akan datang dan seterusnya.

Rakan kongsi daripada Mandai Wildlife Group, Persatuan Veterinar Singapura, Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dan S.E.A. Aquarium, dengan kumpulan doktor haiwan mereka sendiri, juga telah menawarkan untuk menyokong usaha menyelamat dan pemulihan hidupan liar, ujar Encik Lee.

Beliau menambah bahawa penilaian impak dan pemantauan kesan biodiversiti selepas kejadian, tinjauan dan penyelidikan yang berterusan juga akan dijalankan.

Di samping itu, ia juga akan melakukan penyelidikan dengan masyarakat saintifik, untuk lebih memahami kesan jangka panjang tumpahan minyak terhadap biodiversiti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg