Dua orang yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Geylang pada 10 Mac telah dibawa ke hospital.
Menjawab pertanyaan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kemalangan di persimpangan Geylang Road dan Lorong 18 Geylang itu pada 10.15 pagi.
SCDF menambah bahawa ia telah membawa seorang ke Hospital Tan Tock Seng dan seorang lagi ke Hospital Raffles.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu, yang melibatkan sebuah kereta dan seorang pejalan kaki, pada kira-kira 10.10 pagi.
Menurut The Straits Times, seorang pemandu kereta lelaki berusia 48 tahun dan pejalan kaki lelaki berusia 44 tahun telah dibawa dalam keadaan sedar ke hospital.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Dalam video yang tular di media sosial, orang ramai boleh dilihat berkumpul mengelilingi sebuah kereta putih yang kelihatan telah menaiki bebendul jalan.
Kelihatan seseorang di tempat duduk pemandu, dengan beg udara stereng terpasang.
Bonet kereta itu telah pecah, dengan bamparnya di atas tanah.
Sebuah kotak elektrik di tepi jalan yang rosak dan pokok tumbang juga boleh dilihat berhampiran kereta itu.
Video itu turut menunjukkan seorang lelaki dengan keadaan berlumuran darah terbaring di permukaan jalan dan dirawat oleh paramedik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg