Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maut dek nahas jalan raya 2024 capai rekod 142 orang

TP: Tertinggi dalam 5 tahun; satu pertiga kemalangan maut berkaitan pandu laju
Feb 21, 2025 | 7:38 PM
Kenyataan Polis Trafik (TP) pada 21 Februari menunjukkan peningkatan pada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pada 2024 berbanding 2023.
Kenyataan Polis Trafik (TP) pada 21 Februari menunjukkan peningkatan pada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pada 2024 berbanding 2023. - Foto fail

Kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2024 mencapai jumlah tertinggi dalam lima tahun – sebanyak 142 – menurut laporan statistik tahunan yang dikeluarkan Polis Trafik (TP) pada 21 Februari. Laporan itu juga memberi gambaran satu daripada tiga kemalangan maut pada 2024 berpunca daripada kesalahan memandu laju.

Daripada 139 kes kemalangan maut pada 2024, 46 berkaitan memandu laju hingga mengakibatkan kematian, meningkat 43.8 peratus daripada 32 kes pada 2023.

Dalam kenyataannya TP mengatakan jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pada 2024 aalah lebih tinggi daripada 2023. Punca utama kemalangan ialah pemandu gagal memerhatikan keadaan sekeliling dengan baik, kurang berkemampuan mengawal kenderaan, dan menukar lorong tanpa berhati-hati.

Jumlah 142 kematian kemalangan jalan raya pada 2024 merupakan peningkatan 4.4 peratus daripada 136 pada 2023. Ia jumlah tertinggi sejak 2020 apabila 83 orang maut akibat kemalangan.

Selain itu, jumlah kesalahan memandu melebihi had laju meningkat 64.8 peratus kepada 191,931 kes daripada 116,440 kes pada 2023.

Sejajar dengan trend kesalahan memandu melebihi had laju semakin meningkat, TP akan meningkatkan jumlah denda kompaun dan mata demerit untuk kesalahan itu mulai 1 Januari 2026. Denda itu akan meningkat antara $50 hingga $150, manakala mata demerit akan dinaikkan hingga enam mata.

Butiran lanjut mengenai semakan penalti bagi kesalahan itu akan diumumkan kelak pada 2025.

Bercakap kepada media semasa sesi taklimat laporan itu, Komander TP, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Daniel Tan, berkata bilangan pelanggaran had laju yang dikesan di lokasi yang mempunyai kamera kelajuan yang diketahui turut meningkat.

“Situasi ini suram; kami pasti bimbang. Dari setiap aspek, baik kemalangan, kecederaan, dan kemalangan maut, angkanya telah meningkat. Walaupun ada usaha penguatkuasaan lebih ketat oleh TP, kami masih melihat kurangnya kepatuhan pada had laju secara umum,” ujarnya.

Secara keseluruhan, kamera penguatkuasaan trafik menangkap 100,720 kes memandu melebihi had laju pada 2024, lebih dua kali ganda berbanding jumlah 2023. Lebih ramai pemandu juga ditangkap memandu laju ketika operasi penguatkuasaan polis, kata TP.

Oleh itu, TP akan terus mengaktifkan fungsi penguatkuasaan kelajuan secara berperingkat pada kamera lampu merah (RLC) di seluruh Singapura, terutama di lokasi yang sering berlaku kemalangan atau pelanggaran.

Jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal juga bertambah – 85 penunggang dan penumpang motosikal maut pada 2024 berbanding 68 pada 2023.

Motosikal membentuk hanya 14.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di Singapura, namun penunggang motosikal dan penumpang membentuk lebih separuh daripada semua kemalangan dan kematian jalan raya.

Bagaimanapun, jumlah kemalangan melibatkan warga emas – 65 tahun ke atas – dan melanggar isyarat lampu merah berkurangan dalam 2024. Jumlah kematian pejalan kaki warga emas berkurangan 52.2 peratus, daripada 23 pada 2023 kepada 11 pada 2024.

Jumlah kemalangan melibatkan kumpulan itu berkurangan 12.7 peratus, daripada 228 pada 2023 kepada 199 pada 2024.

SAC Tan berkata, pejalan kaki perlu mengamalkan tingkah laku defensif.

Mereka tidak boleh menganggap bahawa mereka selamat ketika melintas jalan pada isyarat hijau, kerana mungkin ada pemandu yang sedang leka.

SAC Tan juga berkata, pemandu perlu mengubah tingkah laku mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai rekod pemanduan bersih dan menganggap mereka tidak akan menyebabkan kemalangan.

“Setiap kali anda duduk di belakang stereng kereta atau memegang pemegang motosikal, anda sebenarnya berpotensi menyebabkan kehilangan nyawa orang lain,” katanya.

(Infobox) Statistik jalan raya 2024

  1. Kemalangan naik 6.1 peratus. Daripada 131 kes pada 2023 kepada 139 kes pada 2024.
  2. Kematian naik 4.4 peratus. Daripada 136 orang pada 2023 kepada 142 orang pada 2024.
  3. Kemalangan maut akibat melanggar isyarat lampu merah turun daripada lapan kes pada 2023 kepada enam kes pada 2024.
  4. Kemalangan yang mengakibatkan kecederaan meningkat sedikit sebanyak 1.4 peratus. Daripada 6,949 kes pada 2023 kepada 7,049 kes pada 2024.
  5. Jumlah orang yang cedera meningkat sebanyak 4 peratus. Daripada 8,941 orang pada 2023 kepada 9,302 orang pada 2024.
  6. Kesalahan melebihi had laju meningkat sebanyak 64.8 peratus. Daripada 116,440 kes pada 2023 kepada 191,931 kes pada 2024.
  7. Kemalangan penunggang dan penumpang motosikal maut meningkat sebanyak 25 peratus. Daripada 68 orang pada 2023, kepada 85 orang pada 2024.
  8. Kemalangan warga emas maut turun sebanyak 52.2 peratus. Daripada 23 orang pada 2023 kepada 11 orang pada 2024.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg