Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua didakwa terima lebih $20,000, jam tangan Rolex dari mangsa sindiket penipuan asing

Aug 18, 2025 | 5:49 PM
Singapura, jenayah, jam, Rolex, sindiket penipuan asing, mangsa
Pada 18 Ogos, Lee Kok Keong, 45 tahun, dan Sim Man Kiat, 39 tahun, masing-masing dikenakan satu pertuduhan kerana membantu individu lain menyimpan hasil daripada kegiatan jenayah. - Foto PIXABAY

Dua lelaki didakwa membantu sindiket penipuan asing mengutip lebih $20,000 dan sebuah jam tangan Rolex daripada beberapa mangsa di Singapura.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai merupakan sebahagian sindiket penipuan di Malaysia.

Pada 18 Ogos, Lee Kok Keong, 45 tahun, dan Sim Man Kiat, 39 tahun, masing-masing dikenakan satu pertuduhan kerana membantu individu lain menyimpan hasil daripada kegiatan jenayah.

Kedua-dua warga Malaysia itu ditangkap selepas pegawai Pasukan Antipenipuan mendapatkan bantuan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mengenal pasti identiti mereka.

Lee didakwa menerima sebuah jam tangan Rolex bernilai $16,500 daripada seorang mangsa pada 14 Ogos. 

Dua hari kemudian, Lee ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika memasuki semula Singapura dari Malaysia.

Dia direman sementara siasatan dijalankan. 

Menurut pihak pendakwa, Lee memasuki Singapura semata-mata untuk membantu sindiket penipuan tersebut dan berisiko tinggi melarikan diri.

Pihak pendakwa menambah bahawa terdapat kemungkinan Lee akan menghubungi ahli sindiket lain jika dibenarkan untuk bebas dengan ikat jamin, dan ini boleh menjejas siasatan.

Kes Lee akan disebut semula pada 15 September, lapor The Straits Times (ST).

Sim pula didakwa menerima lebih $20,000 daripada mangsa di Singapura antara Jun dengan Ogos, semasa bertindak bagi pihak sindiket.

Menurut polis, Sim ditahan berhampiran People’s Park Complex pada 16 Ogos dan akan direman untuk siasatan lanjut dan dijadual kembali ke mahkamah pada 25 Ogos.

Polis menerima beberapa laporan antara Julai dengan Ogos daripada mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh penipu yang menyamar sebagai pegawai Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

Menurut mangsa, mereka diberitahu bahawa mereka terlibat dalam kegiatan jenayah seperti membuat urus niaga bank tanpa kebenaran dan terlibat dalam pengubahan wang haram. 

Penipu kemudian meminta mangsa menyerahkan wang untuk tujuan siasatan.

Beberapa mangsa melaporkan telah memindahkan wang kepada penipu, atau menyerahkan wang dan barangan berharga secara fizikal kepada lelaki-lelaki itu, kata polis.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya jangan memindahkan wang, menyerahkan wang atau barangan berharga kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau identiti mereka tidak dapat disahkan, atau meletakkan wang/barangan di lokasi fizikal untuk diambil kemudian,” ujar polis dalam kenyataan pada 17 Ogos.

Lee dan Sim boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga $500,000, atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah membantu individu lain menyimpan hasil daripada kegiatan jenayah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg