Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua dikejarkan ke hospital akibat kebocoran gas ammonia di Fishery Port Rd
Dua dikejarkan ke hospital akibat kebocoran gas ammonia di Fishery Port Rd
Dua dikejarkan ke hospital akibat kebocoran gas ammonia di Fishery Port Rd
Dua individu dikejarkan ke hospital selepas berlaku kebocoran gas ammonia di sebuah kemudahan stor sejuk di Fishery Port Road pada 29 Jun.
Bangunan berhampiran turut dikosongkan, dengan orang ramai hanya dibenarkan kembali kira-kira lima jam kemudian.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan dalam satu hantaran di Facebook pada kira-kira 2 petang bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan ke 11 Fishery Port Road pada kira-kira 11.45 pagi.
Sebaik tiba di tapak kejadian, SCDF mengesan gas ammonia, iaitu gas jernih yang tidak berwarna pada suhu bilik, di dalam kawasan tapak lalu mengosongkannya.
Alamat itu ialah kemudahan Jurong Marine Cold Storage, yang turut menghasilkan ais gred makanan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, bangunan di 9 dan 15 Fishery Port Road turut dikosongkan.
Pakar bahan berbahaya (Hazmat) dikerahkan untuk mengawal keadaan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), pendedahan kepada ammonia berkepekatan tinggi boleh mencederakan kulit, mata, tekak dan paru-paru, serta menyebabkan batuk, melecur dan maut.
Dalam kemas kini pada kira-kira 2.30 petang, SCDF menyatakan kebocoran itu berpunca daripada sebatang paip di sebuah bilik. Bekalan ke paip yang terjejas telah ditutup.
Bacaan terkini daripada alat pengesan Hazmat mengesahkan kepekatan wap ammonia di tapak itu semakin merosot.
Dua individu yang terdedah kepada wap tersebut telah diperiksa SCDF sebelum dikejar ke Hospital Besar Singapura (SGH).
SCDF memaklumkan pada 4.45 petang bahawa kedua-dua mangsa dipindahkan dari 11 Fishery Port Road.
Tahap kecederaan mereka dan sama ada mereka pekerja Jurong Marine Cold Storage masih belum diketahui.
Tiada kecederaan lain dilaporkan.
Kebocoran itu telah ditutup, manakala bacaan alat pengesan hazmat mengesahkan tiada lagi kebocoran di situ.
Individu yang dipindahkan dari 9, 11 dan 15 Fishery Port Road telah dibenarkan kembali.
Ammonia lazim digunakan sebagai bahan penyejuk di kemudahan stor sejuk industri.
Kawasan itu telah dikepung, dan sekurang-kurangnya enam kenderaan SCDF berada di situ.
Seorang pekerja Jurong Marine Cold Storage berkata kejadian berlaku sekitar 10 pagi dan semua pekerja keluar dengan tenang meskipun menyedari bahaya ammonia.
Sehingga 3.30 petang, beberapa pekerja masih berada di kawasan berhampiran yang dikepung polis, manakala yang lain telah pulang.
Encik Shaikh Mohammed, 42 tahun, seorang pekerja Far Ocean Singapore di 15 Fishery Port Road, pula berkata kira-kira 20 pekerja diarahkan keluar dari kawasan itu.
Beliau tidak menghidu bau ammonia dan masih menunggu di luar kerana barangnya masih di dalam bangunan.
SCDF telah menasihatkan orang ramai supaya mengelak kawasan itu.
