Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua firma katering didenda, cuai dalam keselamatan makanan

Apr 18, 2025 | 7:46 PM
Sebahagian getah pada pintu kabinet logam di Continental Delight Catering Services untuk menyimpan makanan panas tercabut.
Sebahagian getah pada pintu kabinet logam di Continental Delight Catering Services untuk menyimpan makanan panas tercabut. - Foto SFA

Dua syarikat katering, Continental Delight Catering Services Pte. Ltd. dan Elsie’s Kitchen Catering Services Pte. Ltd., telah didenda oleh mahkamah pada 16 April atas pelbagai kesalahan keselamatan makanan.

Continental Delight Catering Services dikenakan denda sebanyak $1,000, manakala Elsie’s Kitchen Catering Services dikenakan denda $500, menurut satu kenyataan Agensi Makanan Singapura (SFA).

Pada November 2023, Kementerian Kesihatan (MOH) dan SFA menerima laporan radang perut dan usus atau gastroenteritis melibatkan 107 individu yang memakan makanan disediakan oleh Continental Delight Catering Services.

Tiada individu yang dimasukkan ke hospital, menurut SFA.

Siasatan MOH dan SFA mendapati beberapa kesalahan keselamatan makanan, antaranya kabinet logam penyimpanan panas telah rosak, yang boleh menyebabkan makanan tidak disimpan pada suhu yang selamat.

SFA juga mendapati sampel makanan gagal ujian keselamatan makanan.

SFA menghentikan operasi perniagaan syarikat Continental Delight Catering Services dari 22 hingga 30 November 2023.

Agensi itu kemudian mengarahkan syarikat itu untuk meningkatkan kebersihan premis serta membuang semua makanan yang disediakan, bahan-bahan mentah serta produk makanan yang mudah rosak.

Pada November 2023 pula, MOH dan SFA menerima laporan mengenai gastroenteritis melibatkan 166 individu yang memakan makanan daripada Elsie’s Kitchen Catering Services Pte Ltd.

Siasatan mendapati dua kabinet logam penyimpanan panas rosak, termasuk pemegang yang hilang dan gasket getah yang longgar, menjejaskan keselamatan makanan.

SFA mengingatkan semua pengusaha makanan untuk memastikan premis mereka bersih dan terjaga serta mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan.

Syarikat yang melanggar undang-undang boleh dikenakan denda hingga $2,000, dengan denda tambahan untuk kesalahan yang berterusan.

SFA juga menggalakkan orang ramai untuk melaporkan sebarang amalan kebersihan yang tidak mengikut piawaian melalui borang maklum balas dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg