Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shiok Kitchen Catering didenda akibat cuai dalam keselamatan makanan pada 2023

Apr 10, 2025 | 6:23 PM
Shiok Kitchen Catering didenda $8,000 kerana melanggar peraturan keselamatan makanan.
Shiok Kitchen Catering didenda $8,000 kerana melanggar peraturan keselamatan makanan. - Foto FACEBOOK SHIOK KITCHEN CATERING

Sebuah syarikat katering makanan yang terlibat dalam wabak gastroenteritis pada 2023 yang menjejaskan 395 individu telah dikenakan denda.

Pada 9 April, Shiok Kitchen Catering didenda sebanyak $8,000 kerana melanggar peraturan keselamatan makanan, termasuk penyediaan makanan yang tidak selamat untuk dimakan, serta kegagalan memastikan kebersihan di tempat penyediaan makanan.

Satu lagi pertuduhan, kegagalan memastikan kemudahan yang diselenggara dengan baik dan bersih turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan, lapor The Straits Times (ST).

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa antara November dengan Disember 2023, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) menerima laporan mengenai kejadian gastroenteritis, atau radang perut dan usus, besar-besaran yang melibatkan 395 individu yang telah memakan makanan yang disediakan oleh syarikat itu.

Siasatan selanjutnya di kemudahan Shiok Kitchen, yang terletak di 1 Senoko Avenue berhampiran Admiralty Road, mendapati syarikat itu telah melanggar beberapa peraturan keselamatan makanan.

Pada 14 Disember 2023, siasatan mendedahkan bahawa bakteria yang menyebabkan keracunan makanan, Bacillus cereus, terdapat dalam hidangan bayam yang disalut dengan sos krim bawang putih di dapur pusat syarikat.

Beberapa kawasan dapur juga didapati berada dalam keadaan yang buruk.

Mesin penyejuk di bilik makanan laut dan mesin pembuat ais di bilik minuman didapati mempunyai kotoran berwarna coklat.

Lipas ditemui dalam peti sejuk bawah yang tidak digunakan, manakala najis dan telur lipas ada di alat penimbang dapur di meja penyediaan.

Pada masa itu, SFA menggantung operasi Shiok Kitchen dari 14 Disember 2023 hingga 5 Januari 2024 untuk memberi masa kepada katerer itu memperbaiki amalan keselamatan makanan dan kebersihan serta membetulkan semua kesilapan yang ditemui.

“Sementara SFA terus berwaspada dan bekerja untuk memastikan bahawa langkah-langkah pengawalan ada dan dilaksanakan dengan betul, industri dan pengguna juga harus memainkan peranan mereka kerana makanan boleh tercemar di mana-mana sepanjang rantaian makanan,” kata SFA dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9 April.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga $5,000 bagi setiap sabitan selepas melanggar peraturan, dan denda tambahan $100 bagi setiap hari selepas sabitan jika masalah berterusan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg