Walaupun mempunyai anak autisme dan menghadapi pelbagai cabaran hidup, itu tidak pernah menjadi hambatan untuk dua ibu membantu penjaga lain yang mempunyai anak berlainan upaya.

Kededua ibu itu, Cik Punitha Tjia, 61 tahun, dan Cik Zoey Zuaswina Zupri, 36 tahun, masing-masing mempunyai anak autisme dan telah meluaskan usaha mereka untuk menyokong penjaga lain berdasarkan pengalaman mereka.

Dedikasi mereka telah diiktiraf semasa satu majlis penyampaian anugerah Jamiyah Singapura di Swissotel The Stamford pada 29 Ogos.

Cik Punitha, ibu kepada dua anak, telah menerima Anugerah Ibu Teladan (EMA) yang ke-33 manakala Cik Zoey, ibu kepada tiga anak, menerima Anugerah Ibu Teladan Muda (EYMA) yang kelapan.

Cik Punitha, yang merupakan seorang bekas jurutera sivil, meninggalkan kerjaya beliau pada 2000 untuk menjaga anak bongsu yang disahkan menghidapi autisme selepas satu kejadian demam tinggi yang menjejas kebolehan anaknya untuk berjalan dan bertutur.

Pada ketika itu, intervensi awal tidak mudah diakses dan beliau memutuskan untuk belajar tentang autisme dan mendidik anaknya sendiri.

Malah, beliau mengambil diploma dalam keperluan khas untuk membimbing anaknya dengan lebih efektif dan menghasilkan jadual visual dan alat berkomunikasi untuk memudahkan aktiviti harian anaknya.

Kini, Cik Punitha menyediakan perkhidmatan pendidikan secara sambilan dari rumah kepada kanak-kanak yang mempunyai keperluan tambahan.

Menurut Cik Punitha, kerja beliau juga merangkumi perkongsian nasihat kepada penjaga lain dalam penjagaan anak mereka.

“Penjagaan anak berlainan upaya memerlukan sokongan masyarakat kerana ia dapat memudahkan perjalanan seorang ibu.

“Sebagai seorang penjaga yang pernah membesarkan anak autisme, saya memahami mereka dan saya berharap dapat menyokong mereka dengan lebih baik supaya mereka tidak rasa seperti keseorangan,” kata Cik Punitha.

Beliau kini sedang membentukkan satu kumpulan sokongan untuk menyokong penjaga dari segi emosi dan perniagaan dari rumah.

Bagi pemenang EYMA, Cik Zoey, yang mempunyai seorang anak autisme, beliau juga menyokong penjaga lain dengan anak keperluan khas melalui perkongsian sumber dan nasihat berdasarkan pengalaman beliau sendiri.

“Sebagai seorang penjaga, kami memahami cabaran satu sama lain dan usaha seperti ini menyediakan ruang selamat untuk penjaga lain berkongsi pengalaman mereka,” kongsi Cik Zoey, yang juga merupakan seorang penganalisis kanan.

Semasa berucap di majlis anugerah tersebut selaku tetamu kehormat, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata sokongan untuk setiap ibu dapat diperkukuh melalui usaha kolektif antara pemerintah, rakan kongsi masyarakat, dan keluarga.

“Rakan kongsi masyarakat seperti Jamiyah Singapura memainkan peranan penting dalam mendekati keluarga, memahami keperluan mereka serta menyediakan sokongan yang bersesuaian,” ujar Cik Rahayu.

Cik Rahayu juga menambah bahawa melalui kerjasama seperti rangkaian MKuasaTiga+ (M3+), ramai pertubuhan telah ke hadapan untuk menyokong wanita dan keluarga.

Dengan usaha pemerintah yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan seperti Pakej Bantuan Anak SG dan Cuti Penjagaan Anak (CCL), Cik Rahayu berharap golongan wanita dan keluarga juga akan terasa lebih yakin dan mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga.