Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sengaja buat perangai: Dekati dunia autisme, fahami beza tingkah laku
Bukan sengaja buat perangai: Dekati dunia autisme, fahami beza tingkah laku
Ubah sudut pandangan, tingkat pemahaman di sebalik perubahan sikap
Bukan sengaja buat perangai: Dekati dunia autisme, fahami beza tingkah laku
Stimming, atau tingkah laku stimulasi diri, adalah pergerakan atau bunyi berulang kali yang dilakukan hampir semua individu yang mengalami autisme.
Ia menolong dalam pengawalan emosi serta deria dan boleh membantu mereka memberi tumpuan atau meluahkan perasaan.
Jika orang ramai melihat stimming sebagai satu keperluan dan bukan gangguan, ini boleh mengubah cara masyarakat bertindak balas, daripada menghakimi kepada menunjukkan empati dan sokongan.
“Stimming bukanlah tingkah laku nakal, perbuatan untuk menarik perhatian atau sesuatu yang dilakukan oleh kanak-kanak untuk mengganggu atau menyusahkan orang lain,” kata pendidik dan pakar campur tangan untuk kanak-kanak ‘neurodiversiti’, Dr Siti Mariam Mohd Hariht.
“Ia sering berlaku secara tidak sedar atau separa sedar, dan percubaan untuk menahannya boleh meningkatkan tekanan serta menyebabkan kanak-kanak mengalami luahan emosi yang melampau, atau meltdown.
“Ia juga boleh menyebabkan kanak-kanak menyembunyikan tingkah laku mereka atau masking. Kajian menunjukkan bahawa masking dikaitkan dengan kesihatan mental yang lebih buruk,” tambahnya.
Menurut konsensus klinikal moden, tingkah laku stimming lazimnya tidak lagi cuba dihapuskan kecuali jika ia mendatangkan kecederaan.
Contoh stimming termasuk menggoyangkan badan ke depan dan ke belakang, mengepak-ngepak tangan (hand-flapping), melompat, menghentak kaki, mengeluarkan bunyi dengungan (humming) dan berpusing-pusing.
Bagi kanak-kanak yang mengalami autisme, stimming mempunyai fungsi penting.
Ramai dalam kalangan mereka mengalami rangsangan deria yang terlalu kuat atau, sebaliknya, tidak mencukupi, kata Dr Siti Mariam.
Stimming membantu mereka mengawal dan menyesuaikan rangsangan tersebut.
“Pergerakan seperti menghentak kaki dan melompat khususnya memberikan maklum balas proprioseptif (berkenaan keupayaan tubuh untuk menilai pergerakan dan kedudukan) dan vestibular, iaitu rangsangan yang membantu individu memahami kedudukan badan mereka dalam ruang serta memberikan tekanan pada sendi dan otot.
“Bagi ramai kanak-kanak, rangsangan ini memberi kesan menenangkan,” jelas Dr Siti Mariam.
Stimming juga membantu melepaskan rasa cemas, teruja atau kecewa, serta membantu individu mengelakkan atau pulih daripada keadaan terlalu terangsang dan luahan emosi yang melampau.
Ia juga boleh membantu meningkatkan tumpuan dan menjadi cara kanak-kanak meluahkan perasaan yang belum dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Bagi jiran dan masyarakat lebih luas, melihat stimming dari sudut yang berbeza boleh membantu meningkatkan pemahaman, kata Dr Siti Mariam.
“Kanak-kanak itu bukan dibiarkan berkelakuan sesuka hati.
“Sebaliknya, keluarganya sedang berusaha menguruskan keperluan yang berkaitan dengan ketidakupayaan anak tersebut, yang sering memerlukan kesabaran dan usaha yang besar,” katanya.
Beliau menambah, aduan yang berterusan atau sikap bermusuhan boleh meningkatkan tekanan yang dialami keluarga.
Tekanan itu boleh menyebabkan kanak-kanak yang mengalami autisme lebih sukar mengawal emosi dan tingkah laku mereka, sekali gus mewujudkan kitaran yang tidak membantu mana-mana pihak.
“Dalam banyak keadaan, perbualan yang baik dan saling memahami antara jiran biasanya lebih berkesan daripada menyalurkan aduan melalui pihak pengurusan semata-mata,” katanya.
Ada beberapa langkah praktikal yang boleh diambil bagi memenuhi keperluan deria anak sambil mengurangkan bunyi yang mengganggu jiran, kata Dr Siti Mariam.
Antara lain, ibu bapa boleh meletakkan tikar getah atau permaidani tebal dengan lapisan penyerap bunyi di kawasan yang sering digunakan anak untuk menghentak kaki.
Bagi anak yang melompat ketika mengalami stimming, ibu bapa boleh menyediakan trampolin kecil untuk mereka gunakan.
Ibu bapa juga boleh menjadualkan sesi kegiatan fizikal di luar rumah atau di taman permainan.
Mereka juga boleh mendapatkan panduan daripada ahli terapi pekerjaan untuk mengenal pasti kegiatan alternatif proprioseptif seperti menggunakan selimut dengan pemberat, menolak dinding atau bermain kegiatan berasaskan rintangan yang dapat memenuhi keperluan sama dengan lebih senyap.
“Apabila langkah ini dilihat sebagai usaha memenuhi keperluan anak sambil menunjukkan timbang rasa terhadap jiran, ia biasanya lebih berkesan dalam meredakan konflik berbanding apabila salah satu pihak berkeras bahawa pihak yang satu lagi perlu menerima keadaan tersebut tanpa sebarang penyesuaian,” kata Dr Siti Mariam.
“
“‘Stimming’ bukanlah tingkah laku (stimulasi diri yang) nakal, perbuatan untuk menarik perhatian atau sesuatu yang dilakukan oleh kanak-kanak untuk mengganggu atau menyusahkan orang lain. Ia sering berlaku secara tidak sedar atau separa sedar, dan percubaan untuk menahannya boleh meningkatkan tekanan serta menyebabkan kanak-kanak mengalami luahan emosi yang melampau, atau ‘meltdown’.”