Bermula dari setakat minat pada lukisan berkembang menjadi cinta mendalam terhadap seni dan kraf bagi Syaza Adlina Mohamad Shakir.
Semangat murid Darjah 4 di Sekolah Rendah Punggol itu untuk terus mengejar impian sebagai seorang pelukis semakin berkobar-kobar apabila dia dipilih bagi menerima Anugerah Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF)-Merchant bagi Sekolah Rendah, pada 6 September.
“Saya bangga dan gembira kerana berjaya mencapai keputusan yang baik dan menerima dermasiswa ini. Ia mendorong saya untuk belajar lebih rajin lagi dan mencapai keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan akan datang,” ujar Shaza, 10 tahun.
Syaza merupakan salah seorang daripada 80 murid Melayu/Islam dari Darjah 3 hingga Darjah 6, yang menerima dermasiswa bernilai $500 itu di Wisma Mendaki sebagai pengiktirafan atas kemajuan baik dalam bidang akademik.
Anugerah tahunan itu disampaikan atas sokongan murah hati Naib Presiden Eksekutif di Seatrium Limited, Profesor Aziz Amirali Merchant, dan Profesor Madya di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Reshma Aziz Merchant.
Diperkenalkan pada 2007, dermasiswa ini telah membantu memupuk potensi lebih 1,200 pelajar, dengan pengiktirafan pada usaha akademik mereka.
Dermasiswa ini membiaya kos pendidikan sampingan meliputi buku rampaian, dermawisata sekolah, tuisyen, bahan bacaan, wang saku dan pengangkutan.
Syaza, anak sulung tiga beradik, yang merupakan murid Program Tuisyen Mendaki (MTP), meraih gred AL1 bagi Bahasa Inggeris, serta AL2 bagi Matematik dan Sains untuk penilaian pertengahan tahunnya.
Dia yang pernah mewakili sekolah ke Festival Belia Singapura 2025, berharap dermasiswa itu akan membolehkannya menghadiri kelas seni dan mendalami pengetahuan dalam seni dan kraf.
Ibunya, Cik Afifah Azman, 35 tahun, seorang suri rumah, berkata:
“Anugerah ini sangat bermakna kerana ia menunjukkan bahawa dengan usaha dan kerja keras, kejayaan akan tercapai.
“Untuk menyokong Syaza, saya akan menyediakan masa dan ruang untuk pembelajarannya dan membimbingnya mengekalkan rutin supaya dia dapat kekal fokus dan konsisten dalam pelajarannya.”
Turut menerima dermasiswa tersebut ialah Muhammad Zahir Muhammad Hozir Bonawi, sembilan tahun.
Murid Darjah 3 di Sekolah Rendah Mayflower itu bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah disampaikan dengan Anugerah Pemimpin Empati dan Anugerah Pelajar Serba Boleh di sekolahnya.
Zahir, yang pernah melalui program KelasMateMatika Mendaki, meraih AL1 bagi Bahasa Melayu dan Inggeris, serta AL3 bagi Matematik dan Sains untuk penilaian pertengahan tahunnya.
Dia turut menjuarai Peraduan Nyanyian Puisi Sekolah Rendah Mayflower pada 2023, serta merangkul tempat kedua dalam Peraduan Saya Boleh Mengarang peringkat nasional anjuran Pusat Bahasa Nusa, anak syarikat Edufront Learning Centre, pada 2024.
Bercita-cita menjadi seorang juruterbang, Zahir berkata:
“Dermasiswa ini membantu saya dalam pendidikan dengan menyediakan akses kepada bahan pembelajaran, program pengayaan, dan peluang untuk mencapai cita-cita saya.”
Ibunya, Cik Noreen Abdullah Enriquez, 50 tahun, seorang suri rumah, berkongsi bahawa dermasiswa itu bukan sahaja meringankan tekanan kewangan keluarganya, tetapi memberi Zahir peluang untuk belajar dengan lebih mudah.
Profesor Aziz berbesar hati dapat bekerjasama dengan Yayasan Mendaki dalam menyokong pendidikan kanak-kanak.
“Setiap kanak-kanak berhak untuk belajar dan berkembang. Dermasiswa ini ialah satu pelaburan bagi masa depan masyarakat kita, dan kami menggalakkan lebih ramai karyawan serta syarikat tampil membantu membina masa depan yang lebih cerah,” kata Profesor Aziz.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg