Kejayaan pusat penjagaan pelajar Big Heart mencerminkan semangat kerjasama antara empat badan bantu diri berbilang kaum dalam memastikan setiap kanak-kanak di Singapura tidak kira kaum, boleh mendapat permulaan yang terbaik dalam kehidupan.
Bahkan dengan kejayaan ini, Big Heart akan berkembang dan meningkatkan bilangan pusatnya pada tahun-tahun mendatang untuk berkhidmat kepada lebih ramai pelajar, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 4,300 pelajar, keluarga dan kakitangan di acara hari keluarga sempena ulang tahun ke-10 Big Heart di D’Marquee @ Downtown East pada 14 September.
Beliau menjelaskan kerjasama antara Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), dengan Persatuan Serani (EA) telah “menyentuh dan mengubah kehidupan ribuan anak muda”.
Daripada hanya 10 pusat penjagaan yang berkhidmat kepada lebih 500 pelajar bila ditubuhkan pada 2016, ia telah berkembang kepada 30 pusat serta tujuh khidmat penjagaan di tadika (KCare) yang menyokong lebih 5,000 kanak-kanak.
Big Heart ialah jenama pusat penjagaan pelajar yang dikendalikan oleh Self Help Groups Student Care Limited (SHGSCL), usaha sama antara empat badan bantu diri yang ditubuhkan pada November 2015 dengan Kementerian Pendidikan (MOE).
“Big Heart telah berjaya kerana perkongsiannya antara badan-badan bantu diri sekolah, agensi perkhidmatan sosial dan rakan kongsi korporat.
“Semangat kerjasama ini adalah rangka tindakan untuk masyarakat yang ingin kami bina –– yang berasaskan penjagaan, perhubungan dan tanggungjawab bersama antara satu sama lain,” kata Encik Wong.
Jurucakap Big Heart berkata perincian tentang bilangan pusat yang akan dibuka pada masa hadapan belum lagi ditetapkan.
Dalam ucapannya, Encik Wong memuji “keputusan berani” badan-badan bantu diri itu sedekad lalu untuk melangkaui masyarakat mereka sendiri, dan bersatu untuk menyokong semua kanak-kanak, tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Acara ini adalah lebih daripada sambutan peristiwa penting. Ia adalah perayaan perkhidmatan yang bermakna, kehidupan yang tersentuh, dan masyarakat yang diperkukuh.
“Sejak tahun-tahun lalu, Big Heart telah menyentuh dan mengubah beribu-ribu kehidupan anak muda. Anda memberi ibu bapa yang bekerja ketenangan fikiran kerana mereka tahu bahawa anak-anak mereka dijaga dengan baik.
“Tetapi lebih daripada itu, anda menyediakan persekitaran yang selamat dan anak-anak mereka pula mendapat tempat yang lebih baik untuk pelajaran mereka, meneroka minat baru, dan membesar dengan keyakinan,” kata Encik Wong.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata Big Heart telah menjadi rakan kongsi yang dipercayai untuk keluarga, menyediakan ruang asuhan dan mudah diakses untuk kanak-kanak selepas sekolah.
Ia menawarkan penjagaan selepas sekolah yang berpatutan dan mudah, memberikan kanak-kanak sistem sokongan yang kukuh, tambahnya.
“Melalui program sedia ada dan baru, serta sokongan yang dipertingkatkan, kanak-kanak boleh membina keyakinan dan daya tahan.
“Bersama-sama rakan badan bantu diri kami, Mendaki kekal komited untuk memperkasakan semua pelajar kami untuk mencapai potensi penuh mereka,” kata Cik Zuraidah.
Semasa di acara tersebut, Encik Wong turut melawat reruai yang diuruskan oleh badan-badan bantu diri dan menandatangani kad ucapan untuk Big Heart yang ditampal pada Mural Big Heart SG60.
Beliau diiringi Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South West, Cik Low Yen Ling, dan Mayor CDC South East, Encik Dinesh Vasu Dash.
Encik Wong turut memuji empat badan bantu diri kerana telah melakukan lebih banyak usaha dalam memberi sokongan kepada keluarga kurang berkemampuan, dan memastikan mereka mendapat permulaan yang terbaik dalam kehidupan.
Beliau juga berkongsi tentang evolusi penjagaan selepas sekolah di Singapura - bagaimana ia pernah “hampir tidak wujud” pada masa lalu, di mana ramai anak yang mempunyai ibu bapa yang bekerja terpaksa menanggung diri sendiri.
Berbanding dengan masa lalu, Encik Wong berkata hari ini, setiap sekolah rendah mempunyai pusat penjagaan pelajar, dan perkhidmatannya telah berkembang daripada hanya penyeliaan asas, kepada program berstruktur yang memupuk keperibadian dan kemahiran sosial.
“Masa selepas sekolah adalah peluang keemasan untuk kanak-kanak membina keperibadian, kemahiran sosial, dan meneroka minat baru.
“Itulah sebabnya pemerintah telah melabur lebih banyak dalam ruang ini, bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengembangkan penjagaan selepas sekolah,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata beliau amat teruja melihat Big Heart sentiasa berinovasi dan membangunkan cara yang lebih baik untuk menjaga, membangun dan mendampingi pelajar mereka.
Beliau menyerlahkan bagaimana Big Heart telah memperkenalkan pembelajaran berasaskan permainan untuk memberi lebih banyak ruang kepada pelajar untuk mencuba dan bekerjasama antara satu sama lain.
Encik Wong juga memuji Big Heart atas usaha mengerahkan lebih ramai mentor untuk membantu pelajar membina kemahiran sosio-emosi dan rancangan mereka untuk mengembangkan pusat-pusat mereka pada masa hadapan.
Beliau berkata: “Semua usaha ini mencerminkan kepercayaan yang kami kongsi bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat permulaan yang baik dalam hidup, dan peluang untuk bersinar dengan cara mereka yang tersendiri.
“Jadi kepada semua orang yang telah menyumbang kepada perjalanan Big Heart - terima kasih. Anda telah membuat perubahan kepada banyak kehidupan”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg