SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dua jam perjalanan ke tempat kerja, tapi pemandu bas SMRT dari JB senang hati kerja di S’pura

Dua jam perjalanan ke tempat kerja, tapi pemandu bas SMRT dari JB senang hati kerja di S’pura

Mar 24, 2025 | 5:40 PM

Dua jam perjalanan ke tempat kerja, tapi pemandu bas SMRT dari JB senang hati kerja di S’pura

Encik Aksar Aidil Amat Khalid telah bekerja sebagai kapten bas SMRT di Pusat Pertukaran Bas Woodlands sejak 2016.
Encik Aksar Aidil Amat Khalid telah bekerja sebagai kapten bas SMRT di Pusat Pertukaran Bas Woodlands sejak 2016. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Masa dan jarak tidak pernah menjadi halangan baginya untuk melaporkan diri ke tempat kerja dengan tekun sejak 2016.

Walaupun perlu menempuh perjalanan selama kira-kira dua jam dari rumahnya di Jalan Tebrau, Johor Bahru ke tempat kerjanya di Singapura, Encik Aksar Aidil Amat Khalid tetap bersemangat menjalankan tugasnya sebagai kapten atau pemandu bas SMRT.

Duda berusia 43 tahun itu telah bertugas sebagai kapten bas SMRT di Pusat Pertukaran Bas Woodlands selama hampir satu dekad.

Namun, apabila tiba bulan Ramadan, cabaran dihadapi Encik Aidil bertambah – kelaparan, dahaga, dan kepenatan menguji ketahanan dirinya ketika memandu di jalan raya.

Setiap hari, beliau bertugas mengendalikan perkhidmatan bas 964 dan 906E dari Isnin hingga Jumaat, manakala pada Ahad, beliau memandu perkhidmatan bas 950 yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru.

Dalam keadaan berpuasa, perjalanannya yang panjang dan jadual kerja yang tetap memerlukan perancangan rapi agar beliau kekal bertenaga.

Encik Aidil bekerja setiap hari kecuali pada Sabtu, dari 2 petang hingga 10 malam. Beliau biasanya keluar rumah pada 11 pagi untuk ke kerja, dan sampai rumah pada 12 tengah malam selepas tamat bekerja.

“Waktu balik tidak begitu teruk, waktu nak ke kerja tu lebih penat sebab kadang-kadang tidak cukup tidur dan masih lapar…

“Trafik di Koswe lebih sesak pada waktu pagi jadi saya harus keluar rumah awal sikit,” jelasnya.

Sebagai kapten bas SMRT, Encik Aksar tidak mengambil ringan kesihatannya demi memastikan keselamatan penumpangnya.
Sebagai kapten bas SMRT, Encik Aksar tidak mengambil ringan kesihatannya demi memastikan keselamatan penumpangnya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurutnya, beliau menaiki tiga bas untuk ke tempat kerja – bas pertama dari rumah ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor, bas kedua dari CIQ Johor ke Pusat Pemeriksaan Woodlands, dan bas ketiga dari Pusat Pemeriksaan Woodlands ke Pusat Pertukaran Bas Woodlands.

Semasa Ramadan, Encik Aidil menyesuaikan jadual harian supaya boleh bangun seawal tiga pagi untuk bersahur.

“Untuk sahur, saya biasanya makan oatmeal. Bukan sahaja ia sumber tenaga yang baik, ia juga mudah untuk disediakan pada awal pagi,” jelasnya.

Air diminum secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi, sementara kopi, iaitu minuman kegemarannya, dielakkan kerana ia membuatkan dirinya lebih cepat penat.

Kepenatan menjadi cabaran utama, lebih-lebih lagi apabila perlu banyak bergerak sepanjang syif. Selain memandu, Encik Aidil juga perlu membantu penumpang kurang upaya menaiki bas.

Kadangkala, beliau perlu meninggikan suara untuk meminta penumpang lain memberi ruang, menurunkan platform khas di pintu belakang, serta memastikan kerusi roda dapat dimuatkan dengan selamat.

Encik Aidil mengakui beliau pernah mengalami pening kepala ketika memandu dalam keadaan berpuasa. Tambahnya, beliau berhenti seketika di satu perhentian bas untuk berehat.

“Nasib baik bas masih kosong pada waktu itu, tetapi kejadian itu mengingatkan saya betapa besarnya tanggungjawab yang saya pikul… bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga terhadap keselamatan penumpang.

“Sebagai kapten bas, ia tanggungjawab saya untuk mematikan keselamatan penumpang, jadi saya tidak mengambil ringan tentang kesihatan saya, terutamanya pada Ramadan,” ujarnya.

Encik Aksar akan memastikan basnya dalam keadaan baik sebelum syifnya bermula. Beliau akan memeriksa lampu, paparan digital yang memaparkan nombor bas, dan kawasan kokpit.
Encik Aksar akan memastikan basnya dalam keadaan baik sebelum syifnya bermula. Beliau akan memeriksa lampu, paparan digital yang memaparkan nombor bas, dan kawasan kokpit. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap kali sebelum bertolak dari Pusat Pertukaran Bas Woodlands, Encik Aidil memastikan bas dipandunya berada dalam keadaan baik dengan memeriksa lampu, paparan digital yang memaparkan nombor bas, dan kawasan kokpit.

Beliau bersyukur kerana mempunyai penyelia dan rakan sekerja yang memahami dan bertimbang rasa semasa Ramandan.

“Jika saya terlalu penat atau perlu menyesuaikan waktu kerja agar lebih sesuai dengan waktu berbuka, saya boleh menukar syif dengan mudah kerana jadual kerja yang fleksibel,” katanya.

Di sebalik cabaran yang dihadapi, Encik Aidil tetap berpuas hati dengan pekerjaannya dan melihatnya sebagai satu amanah yang membolehkannya berbakti kepada masyarakat.

Beliau lebih gemar bekerja di luar berbanding terpuruk dalam suasana pejabat seperti ketika bertugas sebagai auditor dalaman di Petaling Jaya, Selangor dahulu.

Selepas beliau bercerai dengan bekas isterinya, Encik Aidil mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang tersebut dan menjadi pemandu bas di Johor Bahru selama dua tahun sebelum menyertai SMRT di Singapura.

Namun, apa yang paling memberikannya kepuasan bertugas sebagai kapten bas SMRT adalah peluang untuk berinteraksi dengan penumpang.

“Daripada pelanggan tetap saya, ada yang sudah jadi kawan saya. Kami kadang kala jumpa di luar waktu kerja.

“Ia satu perasaan istimewa untuk melihat wajah mereka yang sama setiap hari, termasuk penumpang yang telah membesar sejak pertama kali menaiki bas saya,” kongsinya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg