SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dua lagi masjid tawar korban secara langsung, jadikan 7 kesemuanya

Dua lagi masjid tawar korban secara langsung, jadikan 7 kesemuanya

Masjid Al-Istighfar, Jamae Chulia antara tujuh masjid jalankan acara korban secara langsung pada 2026
Apr 9, 2026 | 6:57 PM

Dua lagi masjid tawar korban secara langsung, jadikan 7 kesemuanya

Ibadah korban akan dijalankan secara langsung di dua lagi masjid Singapura iaitu di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris dan Masjid Jamae Chulia di South Bridge Road pada Aidiladha ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan masjid yang menawarkan ibadah korban secara langsung kepada tujuh.

Baki lima masjid itu ialah Masjid Al-Firdaus (Jalan Ibadat); Masjid Petempatan Melayu Sembawang; Masjid Pusara Aman; Masjid Omar Salmah; dan Masjid Tentera Diraja.

Butiran lanjut seperti harga korban secara langsung di masjid-masjid tersebut akan diumumkan oleh syarikat pengendali korban berlesen kelak.

Secara keseluruhannya bagi musim kali ini, sebanyak 55 masjid menawarkan ibadah korban bagi tiga ternakan – kambing, domba (kibas) dan lembu – secara langsung di Singapura dan di luar negara, kata jawatankuasa kecil SalamSG Korban dalam satu kenyataan pada 9 April.

Daripada jumlah itu, sebanyak 51 masjid akan menawarkan perkhidmatan korban di luar negara.

Ternakan itu akan disembelih di Australia dan dagingnya didinginkan, dibungkus dan dihantar ke Singapura.

Pendaftaran ibadah korban Hari Raya Aidiladha dibuka dari 9 April hingga 22 Mei.

Dalam pada itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah menyatakan kegembiraannya terhadap peluasan pilihan korban tempatan dalam satu hantaran Facebook pada 9 April.

“Masjid Al Istighfar dan Masjid Jamae Chulia merupakan antara lokasi baru, menjadikan jumlah masjid yang menawarkan korban tempatan tahun ini kepada tujuh.

“Ini bermakna lebih ramai anggota masyarakat, khususnya penduduk di kawasan timur dan selatan, berpeluang menyaksikan dan turut serta dalam ibadah korban di Singapura,” kata Dr Faishal.

Turut berkongsi sentimen serupa ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.

Dalam hantaran Facebook pada 9 April berasingan, Encik Sharael berkata:

“Alhamdulillah. Amat bersyukur atas berita gembira bahawa Masjid Al-Istighfar bakal menjadi salah satu daripada dua masjid tambahan, di antara tujuh buah masjid di seluruh negara, yang akan menawarkan ibadah korban pada Aidiladha ini.

“Pencapaian ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia adalah hasil daripada pelbagai perbincangan, aspirasi bersama, dan suara komuniti Pasir Ris-Changi serta timur laut.”

Hari Raya Aidiladha 2026 dijadualkan jatuh pada 27 Mei.

Harga yang ditetapkan SalamSG Korban untuk khidmat korban di Australia bagi seekor kambing adalah $365, manakala seekor domba dan satu pertujuh daripada seekor lembu adalah $370.

Seekor lembu berharga $2,590.

Harga itu adalah naik $5 berbanding dengan harga yang ditawarkan pada 2025 iaitu $360 bagi seekor kambing; $365 bagi seekor domba; dan $365 bagi satu pertujuh daripada seekor lembu.

Seekor lembu pula berharga $2,555 pada 2025.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg