Kemungkinan untuk melaksanakan ibadah korban di lebih banyak masjid pada masa hadapan akan dibincangkan, menyusuli sambutan kukuh untuk berbuat demikian daripada masyarakat Melayu/Islam, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurut beliau, walaupun sebahagian besar ibadah korban pada 2025 dilaksanakan di luar negara, terdapat ramai anggota masyarakat yang berhasrat membuat korban di dalam negara dan di lebih banyak masjid tempatan.
Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata demikian kepada media di Blok 56 Lorong 4 Toa Payoh semasa majlis pengagihan daging korban SalamSG Korban kepada penerima dari daerah Masjid Muhajirin pada 28 Jun.
Menurutnya, beliau mendapati masyarakat masih mahu melakukan ibadah korban di Singapura setelah beliau melawat operasi korban tempatan di Pertapis.
“Saya maklum akan perkara ini dan akan berbincang dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk meneroka kemungkinan memperluaskan pelaksanaan korban tempatan di lebih banyak masjid selain daripada enam masjid yang dibenarkan buat masa ini.
“Dalam hal ini, kami akan pastikan semua aspek keselamatan dan pematuhan peraturan dikekalkan.
“Saya mohon sedikit masa untuk kami meneliti perkara ini dengan lebih mendalam dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan dalam meneroka pelaksanaan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Faishal dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, serta pegawai dan sukarelawan SalamSG Korban, berada di kawasan Toa Payoh untuk mengagihkan daging korban kepada penerima.
Usaha itu adalah sebahagian daripada pengagihan daging korban SalamSG Korban kepada lebih 1,000 penerima dari pelbagai daerah masjid, termasuk Masjid Muhajirin, Masjid Darul Ghufran dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah.
Antara mereka adalah keluarga Encik Amir Ali, 71 tahun, yang menetap di flat dua bilik di Toa Payoh.
Selepas bersara kira-kira tiga tahun lalu, Encik Amir dan isterinya, Cik Kasmiati Mohamad Kassim, 66 tahun, juga pesara, bergantung kepada tabung persaraan dan bantuan kewangan daripada Masjid Muhajirin dan Pertapis.
“Alhamdulillah, kami gembira terima daging korban tahun ini kerana sebelum ini, kami tempah daging korban di luar negara untuk diberikan kepada orang lain. Jadi apabila kami yang terima kali ini, kami memang tak sangka…” kongsi Encik Amir.
Pasangan itu tinggal bersama dua cucu mereka, Cik Nurul Aqiesya Abdullah, 17 tahun, yang baru sahaja memulakan pengajian di Politeknik Nanyang pada April, serta Hammad Amirul Anaqee Mohammad Amirul Aleef, 16 tahun, pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Canberra.
Menyentuh tentang usaha SalamSG Korban 2025 secara keseluruhan, Dr Faishal menyifatkannya sebagai memberangsangkan dan mencerminkan semangat gotong-royong serta kepedulian masyarakat Melayu/Islam terhadap golongan memerlukan, baik di dalam mahupun luar negara.
Di dalam negara, beliau berkata jumlah haiwan korban yang ditempah di bawah inisiatif SalamSG Korban, iaitu 5,7000, adalah jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak ia dimulakan pada 2022.
Memberi kemas kini tentang daging korban yang akan dihantar ke Gaza, beliau berkata sebanyak 16 tan daging korban dalam tin akan disalurkan untuk menyokong keperluan keluarga di wilayah Palestin itu.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan rakan yang dipercayai, khususnya Jordan Hashemite Charity Organisation, bagi memastikan pengagihan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Penghantaran dijangka berlaku pada separuh kedua 2025 dan kami sedang memantau dengan rapi perkembangan di lapangan bagi memastikan bantuan sampai kepada penerima,” ujarnya.
Dr Faishal berkata bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah, malah mencerminkan komitmen masyarakat Melayu/Islam Singapura untuk menyokong golongan yang sedang menghadapi kesulitan.
Tambahnya, ia juga menunjukkan bagaimana ibadah boleh diterjemahkan kepada bantuan yang bersifat praktikal bagi golongan yang memerlukan.
Beliau turut menekankan peningkatan bilangan sukarelawan SalamSG Korban yang tampil selepas pandemik Covid-19 dan menyifatkannya sebagai tanda positif terhadap pemulihan semangat gotong-royong dalam masyarakat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada jawatankuasa SalamSG Korban atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi, serta perancangan rapi mereka yang telah memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah yang bermakna ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang telah terlibat dalam acara ini, khususnya dalam proses pembungkusan dan penghantaran daging korban ke rumah para penerima kami,” luah Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg