Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua muka baru PAP diperkenal di GRC Sembawang

Mar 29, 2025 | 3:29 PM
Semasa satu majlis pelancaran inisiatif masyarakat OCBC di Canberra pada 29 Mac, dua muka baru GRC Sembawang, Ketua Pegawai Operasi (COO) Shalom Movers, Encik Gabriel Lam (kiri); dan pengarah syarikat bateri Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan (kanan); menyatakan hasrat mendekati dan memahami keperluan penduduk Sembawang dengan lebih mendalam.
Semasa satu majlis pelancaran inisiatif masyarakat OCBC di Canberra pada 29 Mac, dua muka baru GRC Sembawang, Ketua Pegawai Operasi (COO) Shalom Movers, Encik Gabriel Lam (kiri); dan pengarah syarikat bateri Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan (kanan); menyatakan hasrat mendekati dan memahami keperluan penduduk Sembawang dengan lebih mendalam. - Foto ST

Dua muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang telah diperkenalkan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di sebuah acara di Canberra pada 29 Mac.

Pengarah syarikat bateri Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan, 35 tahun, dan ketua pegawai operasi (COO) syarikat khidmat pemindahan Shalom Movers, Encik Gabriel Lam, 42 tahun, berkemungkinan menjadi calon bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Berucap di acara pelancaran inisiatif masyarakat OCBC di Dewan Sukan ActiveSG Bukit Canberra, Encik Ong menyifatkan kededua mereka sebagai “duo dinamik”.

“Kedua-dua mereka ialah majikan syarikat perniagaan kecil dan sederhana (SME). Mereka harus mewujudkan peluang perniagaan. Mereka mesti bertanding, melawan persaingan.

“Mereka mesti meraih pelanggan dan menjaga pekerja mereka. Jadi, saya rasa mereka adalah orang-orang yang dinamik, berdaya usaha dan sangat baik untuk menyertai pasukan sukarelawan kami untuk menyumbang kepada masyarakat,” kata Encik Ong.

Semasa diperkenalkan kepada penduduk di acara itu, Encik Ng berkata beliau ingin mendekati penduduk Sembawang dan memahami keperluan mereka dengan lebih mendalam.

Berbekalkan pengalaman sebagai sukarelawan akar umbi selama 10 tahun di MacPherson, beliau berkongsi ia membantunya mendengar dan menangani pelbagai isu yang dihadapi penduduk, terutamanya keluarga muda dan golongan belia.

“Saya berharap dapat berpeluang untuk bertemu lebih ramai daripada anda, memahami anda dan mengenali Sembawang dengan lebih baik.

“Dalam 10 tahun ini, antara kemahiran yang saya pelajari termasuk mendengar kebimbangan penduduk dan bertindak atas pelbagai perkara yang mereka perjuangkan, terutamanya bagi keluarga muda dan golongan belia,” kongsi beliau, yang juga bekas penjawat awam, semasa berucap ringkas di acara itu.

Encik Lam, yang berpengalaman dalam industri khidmat pemindahan, berkata beliau mahu membawa perubahan positif kepada penduduk Sembawang.

“Dalam kehidupan saya secara profesional, orang mengenali saya sebagai seseorang yang memindah barangan (mover of things). Tetapi di Sembawang, saya mahu mengubah kehidupan (move lives),” kata Encik Lam, yang turut menyatakan keluarganya berpindah ke GRC Sembawang pada 1988, ketika kawasan itu kali pertama dibentuk.

Dalam acara itu, OCBC telah melancarkan satu inisiatif masyarakat yang bertujuan untuk memperkasa warga emas agar meniti usia senja dengan baik.

Dinamakan OCBC SeniorCare, program tersebut dilancarkan dengan komitmen lebih $2 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 180,000 warga emas berusia 60 tahun ke atas dalam tempoh tiga tahun.

Program tersebut terdiri daripada empat teras – Kesihatan, Kekayaan, Celik Kewangan dan Gaya Hidup.

Ini sedang Singapura kian menjadi masyarakat sangat menua atau ‘super-aged’ menjelang 2026.

Selain usaha untuk mendidik warga emas menjadi celik perbankan digital dan melindungi diri daripada penipuan, antara program yang akan dijalankan termasuk sesi kaunseling di rumah untuk warga emas daripada latar belakang kurang berkemampuan.

Ditaja oleh OCBC dan agensi perkhidmatan sosial Care Corner Singapore, ia merupakan program kaunseling berasaskan rumah yang pertama di Singapura yang disokong oleh syarikat.

Mengulas tentang program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan OCBC, Cik Helen Wong, berkata:

“Kami pastikan bahawa inisiatif di bawah empat teras ini sangat praktikal – berdasarkan data dan pengetahuan serta pengalaman pertama daripada kakitangan barisan hadapan kami.

“Di bawah program kami, kami terus memastikan bahawa warga emas yang rentan dalam masyarakat kami tidak dilupakan. Dengan kerjasama Care Corner, kami akan membiayai siri kaunseling Gerontologi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg