Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aktiviti hujung minggu jelang GE2025

Mar 24, 2025 | 2:31 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (berdiri, dua dari kanan), berinteraksi dengan penduduk ketika melawat beberapa kedai kopi di Marine Parade. Di kirinya ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat. 
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (berdiri, dua dari kanan), berinteraksi dengan penduduk ketika melawat beberapa kedai kopi di Marine Parade. Di kirinya ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.  - Foto ZAOBAO

Bahang pilihan raya semakin terasa dengan calon daripada pelbagai parti dilihat bertemu penduduk di sekitar Singapura.

Berikut antara aktiviti sekitar Pilihan Raya 2025 (GE2025) pada hujung minggu lalu.

TANGGUNGJAWAB AP DEKATI SEMUA PENDUDUK

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata beliau akan tetap mendekati semua penduduk meskipun ada di antara mereka yang mungkin kurang mesra dengannya.

“Malah, saya lakukannya (bertemu dengan penduduk), dan saya akan terus berbuat demikian, kerana menjadi tanggungjawab kami sebagai Anggota Parlimen (AP) untuk mendekati semua penduduk walaupun mereka mungkin menghadapi masalah yang sukar,” katanya pada 23 Mac.

Encik Tong menjawab soalan tentang video di media sosial yang menunjukkan beliau menerima sambutan negatif daripada beberapa penduduk semasa satu lawatan ke kedai kopi.

Encik Tong, yang merupakan AP GRC Marine Parade sejak 2015, berkata beliau melawat beberapa kedai kopi di Marine Parade pada 22 Mac dan lawatannya mendapat sambutan mesra dan baik penduduk.

Ada orang mengambil video lawatannya itu dan memuat naik ke dalam talian, namun video tersebut kemudian “diambil oleh beberapa laman dan digunakan di luar konteks” dalam cara yang memaparkan beliau secara negatif.

‘LEBIH DARI SATU WAJAH BARU’ DI SEMBAWANG

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata beliau menjangkakan “lebih dari satu wajah baru” di Sembawang bagi Pilihan Raya 2025.

Encik Ong, yang merupakan menteri utama bagi GRC Sembawang, ditanya oleh wartawan pada 23 Mac lalu sama ada akan ada muka baru dalam pasukannya.

“Saya sangat tidak sabar untuk memperkenalkan mereka kepada penduduk dan memperkenalkan mereka kepada media,” jawabnya, sambil menambah bahawa beliau sering menyemak dengan ibu pejabat parti setiap minggu untuk melihat “sama ada mereka telah mengesahkan calon yang dihantar kepada kami”.

Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Sembawang buat masa ini adalah Encik Ong (Sembawang Central), Dr Lim Wee Kiak (Canberra), Encik Vikram Nair (Admiralty), Cik Mariam Jaafar (Woodlands) dan Cik Poh Li San (Sembawang West).

CALON BARU MELAYU PERTAMA DIPERKENAL

Mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun, diperkenalkan sebagai bakal calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 22 Mac lalu.

Semasa memperkenalkan Cik Hazlina kepada penduduk, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, berkata bakal calon itu “lebih muda dan berpotensi tinggi”.

“Beliau menyuntik kesegaran kepada pasukan kami. Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan dan dikenali dalam kalangan masyarakat,” ujar Dr Tan semasa ditanya media.

SDP UMUM KAWASAN TANDINGAN CALON

Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, akan bertanding di SMC Sembawang West yang baru dibentuk dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Pengerusi parti itu, Dr Paul Tambyah, sekali lagi akan bertanding di SMC Bukit Panjang.

Dr Chee mengumumkan demikian pada 23 Mac menerusi risalah yang diedar semasa lawatan menemui penduduk partinya di kawasan itu.

“Keputusan saya bertanding di sini didorong komitmen teguh kepada anda dan keluarga anda,” ujarnya dalam risalah itu, sambil menambah bahawa di SMC Bukit Batok, yang telah dibubar, beliau telah “mencurahkan tenaga, dedikasi dan kecekapan organisasi untuk berkhidmat kepada penduduk”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg