Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pemenang bakal wakili S’pura dalam pertandingan bacaan Al-Quran di M’sia

Aug 22, 2024 | 3:18 PM
Dua juara bakal mewakili Singapura dalam pusingan akhir pertandingan bacaan Al-Quran yang akan berlangsung di Malaysia pada Oktober.
Dua juara bakal mewakili Singapura dalam pusingan akhir pertandingan bacaan Al-Quran yang akan berlangsung di Malaysia pada Oktober. - Foto fail

Dua juara daripada kalangan 40 peserta tilawah bakal dipilih untuk mewakili Singapura dalam pusingan akhir pertandingan bacaan Al-Quran yang akan berlangsung di Malaysia pada Oktober.

Acara yang memasuki tahun ke-53 itu bakal menyaksikan peserta peringkat akhir bersaing dalam tiga kategori termasuk – kanak-kanak, belia, dan dewasa. 

Sementara itu, pusingan akhir Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) serta Festival QuranSG akan diadakan pada 24 dan 25 Ogos, di Masjid Sultan.

Menurut Jawatankuasa QuranSG, seramai dua juara – Qari dan Qariah – bagi kategori dewasa Tilawah bakal mewakili Singapura di Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-54, iaitu pertandingan membaca Al-Quran yang akan berlangsung dari 5 hingga 12 Oktober di Malaysia.

Acara hujung minggu ini akan memberi pengiktirafan kepada juara pertandingan Tilawah dalam tiga kategori termasuk dewasa, belia dan kanak-kanak – untuk kededua Qari dan Qariah.

Pengiktirafan juga akan diberi kepada juara pertandingan Tahfiz dalam lima kategori iaitu:

1) Juz 30 – Surah Yasin dan Al-Mulk untuk kategori kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun;

2) Tiga Juz (Juz satu hingga tiga atau Juz 28 hingga 30) untuk kategori terbuka;

3) Lima Juz (Juz satu hingga lima atau Juz 26 hingga 30) untuk kategori terbuka;

4) 10 Juz (Juz satu hingga 10 atau Juz 21 hingga 30) untuk kategori terbuka;

5) 30 Juz untuk kategori terbuka.

QuranSG dilancarkan pada 13 Julai lalu oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir di Masjid An-Nur.

Bagi menyemarakkan lagi suasana penghayatan Al-Quran, satu Festival QuranSG (Daerah Selatan) juga bakal berlangsung di Masjid Sultan pada 24 dan 25 Ogos.

Pelbagai kegiatan selain reruai disediakan bagi menggalak pembelajaran Al-Quran. Ini termasuk, permainan, pameran, seni khat dan program berunsur Islam serta Al-Quran.

Acara Festival QuranSG ini juga akan mempamerkan unsur-unsur sambutan ulang tahun Masjid Sultan yang ke-200.

Antara reruai yang menarik termasuk lima gerai juadah makanan tradisional Kampung Gelam selain reruai lukisan batik bertemakan Masjid Sultan.

“Masjid Sultan telah dibangunkan pada 1824 dan telah menjadi saksi perkembangan masyarakat Muslim berbilang bangsa di kawasan Kampung Gelam sejak dari awal penubuhannya,” tambah Jawatankuasa QuranSG.

Pengerusi Bersama QuranSG, Ustaz Rashid Ramli, berkata:

“Sambutan bagi QuranSG 2024 amat menggalakkan sejak ia dimulakan pada Jun lalu dengan pusingan MTTQ Tahfiz dan juga QuranSG Festival pertama berlangsung pada 29 Jun di Masjid Al-Ansar.

“Dengan berlangsungnya pusingan akhir bagi MTTQ Tilawah hujung minggu ini di Masjid Sultan, kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk turut hadir menyaksikan pertandingan dan raikan para Qari serta Qariah. Lebih-lebih lagi, Qari dan Qariah yang bakal mewakili Singapura akan diketahui pada Ahad ini (25 Ogos).

“Selain itu, para pengunjung yang hadir juga boleh sertai kegiatan menarik dan mengunjungi pelbagai reruai yang disediakan di Festival QuranSG untuk mendalami tentang keindahan Al-Quran melalui program-program sampingan yang disediakan.”

Sekilas maklumat acara

* Acara: Pusingan akhir Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) dan Festival QuranSG

* Tarikh: 24 dan 25 Ogos

* Masa: 9 pagi hingga 4 petang

* Tempat: Masjid Sultan

* Antara aktiviti: Pelbagai kegiatan selain reruai disediakan bagi menggalak pembelajaran Al-Quran. Ini termasuk, permainan, pameran, seni khat dan sebagainya.

Sambutan bagi QuranSG 2024 amat menggalakkan sejak ia dimulakan pada Jun lalu dengan pusingan MTTQ (Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran) Tahfiz dan juga QuranSG Festival pertama berlangsung pada 29 Jun di Masjid Al-Ansar. ... Para pengunjung yang hadir juga boleh sertai kegiatan menarik dan mengunjungi pelbagai reruai yang disediakan di Festival QuranSG untuk mendalami tentang keindahan Al-Quran melalui program-program sampingan yang disediakan.”
Ustaz Rashid Ramli, Pengerusi Bersama QuranSG.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg