Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua penyelidik SUTD menang Anugerah James Dyson cipta alat pemantau cuaca mampan

Alat kumpul data cuaca boleh diguna semula, gunakan pembelajaran mesin jadikan ramalan cuaca lebih mesra alam
Nov 13, 2024 | 7:24 PM
Dua penyelidik pascakedoktoran, Encik Danial Sufiyan Shaiful (kiri) dan Encik Shane Kyi Hla Win, merangkul Anugerah James Dyson bagi kategori kemampanan.
Dua penyelidik pascakedoktoran, Encik Danial Sufiyan Shaiful (kiri) dan Encik Shane Kyi Hla Win, merangkul Anugerah James Dyson bagi kategori kemampanan. - Foto DYSON

Dua penyelidik pascakedoktoran dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) yang mencipta alat pemantau cuaca mampan berjaya menewaskan hampir 2,000 ciptaan dari seluruh dunia untuk memenangi anugerah global bagi kategori kemampanan dalam Anugerah James Dyson 2024.

Ciptaan mereka, airXeed Radiosonde, ialah alat pengumpulan data cuaca, atau radiosonde, yang boleh diguna semula dan diinspirasikan daripada benih pohon maple dan menggunakan pembelajaran mesin bagi menjadikan ramalan cuaca lebih mesra alam.

Anugerah yang diasaskan oleh jurutera terkenal dari Britain, James Dyson, sejak 2005 memberi ganjaran wang tunai sebanyak $50,500 serta pengiktirafan antarabangsa.

Ini merupakan kali kedua pasukan dari Singapura memenangi hadiah utama global – kali pertama adalah pada tahun 2021 oleh tiga pelajar dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dua penyelidik pascakedoktoran tersebut, Encik Shane Kyi Hla Win, 33 tahun, dan Encik Danial Sufiyan Shaiful, 32 tahun, yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) mereka dalam bidang Pembangunan Produk Kejuruteraan dari SUTD, memberitahu Berita Harian mereka amat teruja dan seakan tidak percaya dengan kemenangan ini.

Bagi Encik Danial Sufiyan, beliau berasa bangga mewakili masyarakat Melayu/Islam dan menunjukkan bahawa golongan muda dari latar belakang berbeza mampu menyumbang kepada bidang sains dan teknologi.

Mereka mendapat ilham untuk mencipta alat ini selepas membaca laporan saintifik tentang kesan alat radiosonde terhadap kehidupan liar seperti burung albatros. 

Setelah membuat kajian lanjut, mereka mengenal pasti masalah e-sisa besar yang diakibatkan oleh alat radiosonde sekali guna dalam industri ramalan cuaca.

“Kebanyakan orang mungkin tidak akan pernah menyentuh (alat) radiosonde sepanjang hidup mereka. 

“Namun, kami bergantung pada maklumat yang dikumpul oleh alat ini setiap hari. 

“Setiap hari, kami melihat ramalan cuaca untuk maklumat tetapi kita tidak sedar akan jumlah pencemaran yang besar dari industri ini,” kongsi mereka.

Menyedari peluang untuk membuat perubahan ketara terhadap isu kemampanan sambil meningkatkan infrastruktur cuaca global, mereka memutuskan untuk menangani isu ini dengan mencipta airXeed Radiosonde.

Selepas pusat kajian cuaca melancarkan alat radiosonde ke udara menggunakan belon cuaca, ia akan meletup setelah mencapai altitud yang tinggi, dan boleh dikemudikan ke zon pengumpulan terdekat, mengumpul lebih banyak data semasa penurunan dan mendarat dengan lembut. 

Ini membolehkan pusat itu mengumpul dan menggunakan semula alat radiosonde tersebut, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan kos, serta meningkatkan ketepatan dan keberkesanan pemantauan cuaca.

Setiap tahun, hampir sejuta alat radiosonde dilepaskan, dengan kos sekitar AS$190 juta ($250 juta) dan menghasilkan 48 tan e-sisa, yang bersamaan dengan berat 40 kereta, menurut kededua penyelidik SUTD tersebut.

Mereka menyatakan bahawa anugerah tersebut adalah pengiktirafan yang penting untuk menunjukkan bagaimana airXeed Radiosonde boleh memberi impak positif terhadap industri cuaca serta menangani masalah global.

Mereka merancang untuk menjalankan ujian menyeluruh bersama pusat itu untuk mengumpul data dan memperbaiki reka bentuk alat mereka. 

Mereka juga sedang meneroka kerjasama dengan organisasi meteorologi untuk ujian skala besar dan pelaksanaan alat tersebut.

“Kami berhasrat untuk menjadikan airXeed sebagai piawaian industri, membantu mengurangkan impak alam sekitar, bermula dengan satu (alat) radiosonde,” ujar mereka.

Anugerah James Dyson juga mengumumkan pemenang kategori Perubatan – pereka berusia 24 tahun dari Ireland, Cik Olivia Humphrey, yang mencipta Athena – alat mudah alih bagi pesakit kemoterapi yang menggunakan penyejukan kulit kepala untuk mencegah keguguran rambut.

Anugerah James Dyson merupakan program reka bentuk antarabangsa yang meraikan, menggalakkan dan memberi inspirasi kepada generasi jurutera reka bentuk seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg