Tindakan syarikat pengeluar elektronik Dyson memberhentikan pekerja secara mengejut pada 1 Oktober telah mengecewakan Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (Uweei), yang mempunyai perjanjian kolektif dengannya.
Kesatuan itu, dalam satu kenyataan pada 1 Oktober yang ditandatangani oleh setiausaha eksekutifnya, Encik Patrick Tay, menyatakan ia kecewa kerana diberi notis hanya sehari mengenai pelaksanaan pemberhentian sebilangan pekerja, yang tidak didedahkan jumlahnya.
Keputusan syarikat itu juga tidak memberi masa yang mencukupi bagi pihak-pihak yang terlibat mengadakan perbincangan bermakna, kata kesatuan itu lagi.
Ia telah menyampaikan perkara itu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Susulan itu, MOM dalam satu kenyataan pada 12 Oktober berkata ia telah mendekati kedua-dua Dyson dan Uweei untuk memperjelas isu yang menjadi keprihatinan, dan kedua-dua pihak komited untuk terus bekerjasama dengan semangat perikatan tiga pihak bagi menyokong keperluan pekerja dan perniagaan.
“Berdasarkan Nasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Pengurusan Lebihan Tenaga Kerja dan Pemberhentian Bertanggungjawab (Tamem), majikan dinasihatkan memberi notis awal kepada kesatuan sekerja sebelum melaksanakan pemberhentian kerja.
“Jika ditetapkan dalam Perjanjian Kolektif, adalah satu kelaziman untuk memaklumkan kesatuan sekerja sebulan sebelum memaklumkan pekerja,” kata MOM.
Tambahnya, pendekatan itu membolehkan kesatuan sekerja dan syarikat bekerjasama untuk menghulurkan sokongan kepada pekerja yang terjejas, termasuk membantu mereka mendapatkan khidmat penempatan kerja.
Dalam kes Dyson, MOM berkata pekerja yang diberhentikan merupakan golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang tidak menyertai kesatuan sekerja.
Oleh kerana mereka berada di luar skop perwakilan kolektif kesatuan sekerja, tempoh notis yang diberikan boleh dirundingkan.
Dyson juga telah mengemukakan notis pemberhentian kerja mandatori kepada MOM dalam tempoh lima hari selepas memberitahu pekerja yang terjejas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg