Dua warga Singapura telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk seorang pelajar sekolah Menengah 3 berusia 14 tahun.
Pelajar itu menyifatkan dirinya sebagai anggota ISIS, membenci wanita dan orang Yahudi serta menganggap Osama bin Laden, Adolf Hitler dan Kim Jung-Il sebagai idolanya.
Dia juga berhubungan dalam talian dengan beberapa pelampau asing, termasuk seorang penyokong ISIS di Iraq yang menawarkan bantuannya untuk melancarkan serangan di Singapura.
Ini termasuk berkongsi panduan membuat bom.
Dalam kenyataannya, ISD berkata pelajar tersebut adalah yang pertama melibatkan orang menjadi radikal akibat mencampur aduk beberapa ideologi ekstrem.
Identiti pelajar itu tidak didedahkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dan sejak dikenakan RO pada September 2025, dia sedang menjalani program pemulihan yang merangkumi kaunseling agama oleh Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) serta pemulihan psikologi dan sosial.
Pegawai ISD sedang bekerjasama rapat dengan keluarga dan sekolah pelajar itu untuk memastikan pelajar itu menerima sokongan mencukupi semasa tempoh pemulihan dan supaya pelajarannya tidak terganggu.
Pelajar itu disifatkan ISD seorang incel, atau individu yang terpaksa membujang – kebanyakannya lelaki – dan mendambakan pasangan romantik atau seksual, tetapi gagal memenuhi kehendak tersebut.
Ini bermakna dia menaruh kebencian terhadap wanita, walaupun tidak berhasrat melakukan keganasan terhadap mereka.
Pelajar itu terdedah kepada ideologi pelampau dalam talian pada pertengahan 2024, kata ISD.
“Dia telah dimasukkan ke kumpulan sembang dalam talian yang berkongsi kandungan yang menyokong ekstremisme sayap kanan, termasuk pautan kepada manifesto pengganas sayap kanan Brenton Tarrant dan Anders Breivik.
Tarrant melakukan serangan tembakan di masjid Christchurch di New Zealand pada 2019 yang membunuh lebih 50 orang, manakala Breivik pula membunuh lebih 70 orang di Norway pada 2011.
“Selepas menghabiskan beberapa jam sehari menggunakan kandungan sedemikian, pelajar itu mula mengikut kepercayaan anti-Yahudi ganas yang dianuti dalam ekstremisme sayap kanan,” kata ISD.
Ia menambah walaupun pelajar itu telah menolak retorik anti-Muslim ekstremisme sayap kanan, dia tetap menyokong aspek ekstremisme sayap kiri, yang dilihatnya sebagai anti-Zionis dan ‘anti-Imperialis’.
“Khususnya, dia menyokong sosialisme dan komunisme, dan menolak norma Barat seperti kapitalisme, yang dilihatnya sebagai ideologi Yahudi,” kata ISD.
ISD berkata pelajar itu juga berhubung dalam talian dengan beberapa pelampau asing, termasuk seorang penyokong ISIS yang didakwa berpangkalan di Iraq.
Penyokong ISIS itu juga telah menawarkan bantuan kepadanya untuk merancang serangan di Singapura termasuk menghantarnya manual pengeboman.
Dia juga menyimpan idea ekstrem lain termasuk membunuh orang Yahudi kerana kebenciannya yang kuat terhadap mereka, dan melakukan serangan tembakan di sekolah kerana dia percaya bahawa serangan oleh penembak sekolah seperti Elliot Rodger – yang disifatkan sebagai seorang incel dan membunuh enam orang di Isla Vista, California pada 2014.
“Mujur belia itu tidak mengambil sebarang langkah untuk meneruskan serangan di Singapura,” kata ISD.
Seorang lagi warga Singapura yang dikenakan RO ialah pemilik perniagaan dalam talian, Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud, 30 tahun.
Jihadul, yang dikenakan RO sejak Julai 2025, pula telah memupuk rasa simpati terhadap warga Syria yang terjejas dengan konflik sejak 2011 dan menjelang akhir 2019, mahu berjuang bersama kumpulan pemberontak Syria untuk menjatuhkan rejim Assad.
Setelah rejim Assad jatuh pada Disember 2024, Jihadul telah mengalihkan perhatiannya kepada pertikaian wilayah yang berlarutan antara Turkey dan Greece dan mempertimbangkan untuk mengangkat senjata untuk mempertahankan Turkey.
“Kes Jihadul menonjolkan kesan konflik luar negara terhadap keselamatan domestik Singapura,” kata ISD dalam kenyataannya pada 9 September.
“Beberapa rakyat Singapura telah terdorong untuk mengangkat senjata bagi pelbagai konflik asing, daripada konflik Syria, konflik Israel-Palestin, hingga pertikaian wilayah lain,” kata ISD.
Individu yang dikenakan RO mesti mematuhi beberapa syarat dan sekatan seperti tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaannya, atau keluar dari Singapura, tanpa kelulusan Pengarah ISD.
Individu itu juga tidak boleh mengakses Internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, berucap di mesyuarat awam atau mencetak, mengedar, menyumbang kepada mana-mana penerbitan, memegang jawatan dalam, atau menjadi ahli mana-mana organisasi, persatuan atau kumpulan, tanpa kelulusan Pengarah ISD.
Secara berasingan, ISD berkata RO yang dikeluarkan terhadap dua warga Singapura sebelum ini dibenarkan luput kerana mereka telah mencapai kemajuan yang baik dalam pemulihan mereka, dan tidak lagi memerlukan pengawasan rapi di bawah rejim RO.
RO yang dikenakan kepada Kuthubdeen Haja Najumudeen, 42 tahun, yang ditahan pada Mei 2019 kerana menjadi radikal sendiri dan telah berhasrat untuk pergi ke Syria untuk menyertai ISIS, dibenarkan luput pada Mei.
Pada Julai juga, RO yang dikenakan pada 2010 kepada Muhammad Anwar Jailani, 59 tahun, seorang bekas guru agama tidak bertauliah yang telah menyebarkan pandangan prokeganasan dan pengasingan, turut dibenarkan untuk luput.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg