Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ISD: Wadah dalam talian singkatkan masa bagi seseorang jadi radikal

Jul 29, 2025 | 6:22 PM
isd, ai
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berisiko memburukkan lagi ancaman pengganasan di peringkat sejagat dan tempatan. - Foto fail

Sebelum 2015, seseorang di Singapura biasanya mengambil purata 24 bulan untuk menjadi radikal sendiri.

Namun, dengan kewujudan media sosial, kes radikalisasi sendiri antara 2021 dengan 2025 hanya mengambil purata 12 bulan, menurut laporan tahunan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengenai pengganasan yang dikeluarkan pada 29 Julai.

Menurut ISD, kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berisiko memburukkan lagi ancaman pengganasan di peringkat sejagat dan tempatan.

Dalam dua kes di sini, chatbot AI telah digunakan untuk kegiatan berkaitan pengganasan, lapor The Straits Times (ST).

Siasatan ISD mendapati ramai warga Singapura yang menjadi radikal sendiri, pada mulanya terjumpa kandungan ekstremis dalam talian secara tidak sengaja – apabila algoritma media sosial mencadangkan kandungan serupa berdasarkan tontonan sebelum ini.

Sebahagian kandungan itu bersifat radikal, menyebabkan ramai individu dalam kes baru-baru ini menjadi radikal sendiri dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kata ISD.

ISD memberi contoh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang telah dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada Februari.

Remaja tersebut menjadi radikal sendiri dalam masa hanya beberapa minggu selepas melihat propaganda ISIS dalam talian pada Jun 2023. 

Pada Julai 2023, dia berikrar setia kepada kumpulan pengganas itu dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan salah seorang pejuangnya.

Dia merupakan remaja perempuan pertama yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Laporan itu menekankan peranan media sosial dan platform dalam talian seperti Telegram, Reddit, Discord, Roblox dan Bitchute, yang digunakan kumpulan ekstremis untuk menyebarkan propaganda melalui ‘meme’ dan bahasa slanga.

Semakin banyak platform seperti ini muncul dalam kes individu yang menjadi radikal sendiri di sini, lebih-lebih lagi kes yang melibatkan golongan belia, kata ISD.

Teknologi seperti AI turut memainkan peranan besar dalam dua kes baru-baru ini yang melibatkan remaja berusia 17 tahun – seorang penyokong ISIS dan seorang lagi penyokong fahaman pelampau sayap kanan.

Remaja penyokong ISIS itu menggunakan chatbot AI untuk merangka ikrar setia (baiah) dan seruan jihad bersenjata sebelum merancang serangan ke atas penduduk bukan beragama Islam di Tampines.

Seorang lagi remaja yang mendapat inspirasi daripada serangan di masjid Christchurch di New Zealand, menyelidik cara menghasilkan peluru dan mempertimbangkan untuk mencetak senjata api sendiri menggunakan alat pencetak tiga dimensi (3D) bagi membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam selepas solat Jumaat.

ISD berkata meskipun belum ada petunjuk bahawa teknologi baru itu digunakan dalam sebarang rancangan serangan pengganasan di Singapura, pihaknya menjangkakan alat tersebut akan dieksploitasi oleh pengganas kerana ia mudah diakses.

ISD turut menekankan keperluan meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta, khususnya dengan syarikat teknologi dan media sosial, bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Pihaknya turut menyatakan syarikat teknologi kini lebih giat mencegah dan menyekat penyalahgunaan platform mereka oleh pengganas, termasuk melalui kawal selia dan pemadaman kandungan berbahaya di media sosial.

“Namun, syarikat teknologi boleh terus meneroka usaha lain, termasuk bekerjasama dengan pertubuhan agama dan masyarakat, bagi membimbing pengguna menggunakan ruang digital dengan selamat serta memupuk perbincangan positif dalam talian,” tambahnya.

Mereka yang mengetahui atau mengesyaki seseorang telah menjadi radikal boleh menghubungi talian ISD di 1800-2626-473 atau menghantar e-mel kepada isd@mha.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg