Dua warga Singapura dikenakan Perintah Sekatan (RO) – yang membataskan pergerakan mereka dan akses kepada Internet – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah mereka dipengaruhi fahaman radikal.
Dalam satu kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 15 Julai, individu itu telah, secara berasingan, menjadi radikal sendiri melalui wadah dalam talian berkenaan konflik Israel-Hamas yang masih berlarutan.
ISD menyatakan seorang pelajar menengah tiga berusia 14 tahun dikenakan RO pada Jun 2024 – individu termuda yang pernah dikenakan tindakan di bawah ISA.
Dia didapati menanamkan hasrat untuk bertempur di bawah Tentera Bendera Hitam – seperti yang diguna pakai oleh kumpulan pengganas ISIS – dan melakukan serangan di sini.
Sebelum ini seorang warga Singapura lelaki berusia 15 tahun ditahan di bawah ISA pada Disember 2022 kerana berfahaman radikal, di samping menyokong Al-Qaeda dan ISIS.
RO kedua dikenakan terhadap An’nadya An’nahar, bekas pengurus di sebuah Lembaga Berkanun, pada Julai 2024.
Menurut ISD, wanita berusia 33 tahun itu didapati penyokong tegar Axis of Resistance, iaitu rangkaian pelampau dan pengganas yang termasuk Hizbollah dan Briged Al-Qassam (AQB).
Dia turut menyokong penggunaan kekerasan terhadap warga Israel dan bangsa Yahudi.
Dia merupakan penjawat awam kedua yang telah dikenakan tindakan di bawah ISA selepas Mohamed Khairul Riduan Mohamed Sarip dikenakan Perintah Tahanan (DO) pada November 2022 kerana merancang melakukan perjalanan ke Gaza untuk melibatkan diri dalam konflik bersama Hamas dan AQB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg