Dua warga Singapura tidak lagi dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas mereka menunjukkan pemulihan yang baik.
Ini setelah RO yang dikenakan dibenarkan luput, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan pada 9 September.
ISD berkata kedua-dua individu tersebut telah menunjukkan kemajuan baik dalam pemulihan dan mereka tidak lagi memerlukan penyeliaan lanjut di bawah RO.
Kedua-dua individu tersebut adalah Kuthubdeen Haja Najumudeen, 42 tahun, dan Muhammad Anwar Jailani, 59 tahun.
Menurut ISD, Kuthubdeen dilepaskan dari tahanan pada Mei 2021 selepas ditahan pada Mei 2019.
Dia menjadi radikal sendiri dan berhasrat ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas ISIS. RO baginya dibenarkan luput pada Mei 2025, kata ISD.
Anwar pula dikenakan RO pada Jun 2010 dan RO baginya dibenarkan berakhir pada Julai 2025.
Dia merupakan seorang bekas pendakwah tidak bertauliah yang telah menyebarkan pandangan yang lebih berteraskan pada keganasan dan mempunyai unsur yang dapat memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.
Kenyataan ISD dibuat menyusuli RO yang dikenakan terhadap dua warga Singapura, melibatkan seorang pelajar menengah tiga berusia 14 tahun, dan seorang pemilik perniagaan dalam talian, Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud, 30 tahun.
Identiti pelajar itu tidak didedahkan oleh ISD dan sejak dikenakan RO pada September 2025, remaja itu sedang menjalani program pemulihan yang merangkumi kaunseling agama oleh Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) serta pemulihan psikologi dan sosial.
Jihadul pula dikenakan RO sejak Julai, kata ISD. Dia memupuk rasa simpati terhadap warga Syria yang terjejas dengan konflik sejak 2011 dan menjelang akhir 2019, ingin berjuang bersama kumpulan pemberontak Syria bagi menjatuhkan rejim mantan Presiden Syria yang digulingkan pada Disember 2024, Bashar al-Assad.
Setelah rejim Assad tumbang, Jihadul telah mengalihkan perhatiannya kepada pertikaian wilayah yang berlarutan antara Turkey dengan Greece, dan mempertimbangkan untuk menggunakan senjata bagi mempertahankan Turkey. – MUHAIMIN SUZAINI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg