Buat kali pertama sejak beberapa tahun ini, persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 akan disajikan di pentas yang paling ‘rumit’ di Stadium Negara.

Pentas berbentuk anak panah sepanjang 162 meter dan selebar 74 meter itu juga mengandungi enam lif pentas dan lapan terowong laluan peserta untuk menghasilkan koreografi yang lebih dinamik.

Ketika ditemui di D’Marquee, Downtown East, pada 2 Julai, dalam acara media, Pengerusi Jawatankuasa Persembahan, Kolonel Wong Zeng Yu, mengatakan persembahan NDP 2026 mempunyai dua matlamat.

“Kami mahu menyajikan sebuah persembahan yang benar-benar meresap dan mampu memukau penonton menerusi pentas kompleks yang telah dibina.

“Kami juga mahu mengetengahkan sebuah persembahan yang mampu memberi inspirasi.

“Tahun ini (2026), kami berusaha mengetengahkan pelbagai kisah, termasuk menerusi Perarakan Rakyat atau People’s Parade... kami berharap persembahan ini dapat benar-benar memberi inspirasi kepada rakyat Singapura,” jelasnya.

Menurut Pengarah Kreatif Persembahan NDP 2026, Encik Brian Gothong Tan, sebuah persembahan yang meresap diharapkan dapat mengetengahkan kisah rakyat Singapura dengan lebih bermakna.

“Sering kali, persembahan NDP kelihatan begitu gah dan mengagumkan. Namun, saya bimbang ia sekadar menjadi satu tontonan yang hebat tanpa benar-benar menghayati maknanya.

“Sebab itu, penting untuk kita menyuntik makna dalam persembahan ini dengan mengetengahkan kisah-kisah yang patut diraikan rakyat Singapura,” jelas beliau.

NDP 2026 itu juga akan memperkenalkan beberapa pembaharuan untuk memberikan penonton di stadium satu pengalaman berbilang media yang membawa mereka menghayati setiap detik persembahan.

Pentas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, yang berbentuk anak panah, bakal menampilkan pertunjukan dron, pemasangan udara dan menara persembahan LED setinggi 8.5 meter.
Pentas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, yang berbentuk anak panah, bakal menampilkan pertunjukan dron, pemasangan udara dan menara persembahan LED setinggi 8.5 meter. - Foto NDP 2026 EXCO

Antaranya, menara persembahan LED pertama setinggi 8.5 meter, yang digunakan untuk penceritaan berbilang media dan membolehkan peserta ‘diangkat’ sehingga 10 meter dari lantai persembahan.

Ruang menegak di Stadium Negara juga akan dimanfaatkan dengan seni pemasangan udara atau aerial installations yang merangkumi struktur dengan keluasan yang lebih besar daripada empat skrin IMAX untuk memancarkan grafik sewaktu segmen persembahan.

Dalam salah satu babak persembahan itu, penonton turut berpeluang melihat penyanyi, Jasmine Sokko, dan dua lagi peserta turun dari siling dengan pertunjukan 300 dron di dalam stadium.

Di samping itu, sistem gelang tangan LED untuk penonton di stadium juga telah dipertingkatkan untuk menyala sewaktu persembahan itu.

Pembaharuan itu akan melibatkan penonton di stadium menjadi sebahagian daripada pertunjukan grafik.

Bagi mencapai persembahan yang lebih meresap, persembahan NDP kali ini juga akan menggunakan lebih 170 mesin kesan khas – lebih seganda daripada persembahan NDP pada 2025.

Persembahan NDP 2026 dijangka melibatkan lebih 2,600 peserta dan 36 artis, di mana 24 artis merupakan peserta NDP buat kali pertama.

Antara artis tempatan yang bakal diketengahkan adalah Hafidz Rahman sebagai pengacara, dan Najip Ali, yang akan membuat persembahan dalam salah satu babak.

Di antara enam babak yang akan dipersembahkan, salah satu daripadanya juga akan dibuka dengan sebuah lagu dalam dialek Orang Laut bertajuk Aok Diko, tulisan dan dendangan Asnida Daud.

“Saya rasa amat teruja, bangga, besar hati dan pada masa yang sama rendah hati kerana ini merupakan satu tanggungjawab yang besar dan saya tidak mengambil ringan terhadap persembahan ini.

“Saya akan membawanya dengan penuh ketelusan, berbekal semangat Orang Laut,” ujar beliau.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk NDP 2026.