Topik diikuti
Pergi ke BHkuNDP 2026 ketengah 1,200 peserta awam, jumlah terbesar dalam sedekad
NDP 2026 ketengah 1,200 peserta awam, jumlah terbesar dalam sedekad
Peserta awam berarak melalui lorong tempat duduk penonton, bawa kemeriahan sambutan lebih dekat dengan rakyat
NDP 2026 ketengah 1,200 peserta awam, jumlah terbesar dalam sedekad
Buat julung-julung kalinya dalam tempoh lebih sedekad, segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 akan menampilkan lebih 1,200 peserta daripada 26 kontinjen awam di Stadium Negara pada 9 Ogos.
NDP 2026, yang turut menandakan sambutan ulang tahun ke-61 kemerdekaan Singapura, akan menyaksikan kontinjen awam masuk dan keluar kawasan perbarisan melalui lorong tempat duduk penonton di stadium tersebut.
Ketika ditemui media di Stadium Negara, yang terletak di Stadium Drive, pada 25 Jun, Pengerusi Jawatankuasa P&C, Kolonel Anthony Lau, berkata perubahan tersebut bertujuan menjadikan perbarisan NDP 2026 lebih “terangkum, menarik dan bermakna”.
“Segmen P&C tahun ini (2026) adalah mengenai melangkaui kepentingan diri dan bersatu sebagai satu Singapura. Ia melambangkan kekuatan negara kita.
“P&C tahun ini (2026) akan melibatkan lebih 1,200 peserta awam, jumlah terbesar dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus mencerminkan Pertahanan Mutlak merupakan usaha yang melibatkan seluruh masyarakat,” ujarnya, yang telah menggalas amanah tersebut buat kali ketiga.
Segmen P&C NDP 2026 akan menampilkan 32 kontinjen perbarisan di bawah tema, Go Beyond Self, yang mewakili enam tunggak Pertahanan Mutlak.
Lebih 2,000 peserta akan menyemarakkan segmen tersebut, termasuk anggota enam kontinjen Kawalan Kehormatan, Kontinjen Pembawa Panji-Panji Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), 10 kontinjen pertubuhan belia berseragam, 16 kontinjen awam dan pancaragam gabungan.
Menerangkan lebih lanjut mengenai pergerakan masuk dan keluar kontinjen awam menerusi lorong tempat duduk penonton, Kolonel Lau menambah ia akan membolehkan hadirin menyaksikan dan merasai kemeriahan perbarisan dari jarak lebih dekat.
“Di dalam stadium, peserta belia berseragam dan awam kita akan bergerak melalui kawasan tempat duduk penonton, sekali gus membawa perbarisan lebih dekat kepada hadirin.
“Para hadirin bukan sahaja menyaksikan perbarisan dari jauh, bahkan pada ketika itu, turut menjadi sebahagian perbarisan dan sambutan Hari Kebangsaan.
“Begitu juga bagi peserta, dengan mereka melihat sendiri sorakan rakyat Singapura dari jarak dekat akan menjadikan pengalaman mereka lebih unik dan bermakna,” jelasnya.
Buat kali pertama juga dalam sejarah NDP, sebuah kontinjen akan dianggotai sepenuhnya oleh golongan kurang upaya (PWD).
Mereka terlibat menerusi penyertaan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC), dengan 17 peserta akan mengambil bahagian dalam kontinjen berkenaan.
Bagi Komander Kontinjen SDSC, Cik Yap Qian Yin, penyertaan itu mencerminkan langkah penting Singapura dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih terangkum.
“Saya rasa ia menunjukkan golongan orang kurang upaya tidak lagi terbatas kepada peranan sebagai penonton di hadapan televisyen atau di tempat duduk penonton semata-mata.
“Peluang mengambil bahagian dalam segmen P&C bersama kontinjen lain amat bermakna dan melambangkan perjalanan Singapura ke arah sebuah masyarakat yang lebih terangkum,” ujarnya, yang juga merupakan mantan atlet para negara.
Sementara itu, acara seperti pancaragam gabungan dan tembakan perayaan atau feu-de-joie, akan ditampilkan pada NDP 2026.
Ini di samping acara terbang lalu bendera negara gergasi dan Tembakan Meriam Presiden (PGS), yang akan diadakan di Kallang Basin buat kali pertama.
Menurut Kolonel Lau, langkah tersebut bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat Singapura turut serta dalam sambutan NDP 2026.
“Ini membolehkan kami meluaskan perbarisan melangkaui Stadium Negara, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Singapura untuk bersama-sama menyertai sambutan ini.
“Meskipun kami memperkenalkan pembaharuan dalam beberapa aspek segmen P&C, unsur tradisional yang sentiasa dinantikan rakyat Singapura dalam segmen ini akan terus dikekalkan,” kongsinya.
NDP 2026, yang bertemakan ‘Majulah Singapura, Terbang Lebih Tinggi!’, akan diketuai Komander Perbarisan, Pakar Tentera 6 (ME6) Chia Yeow Kwang Caleb, 43 tahun, dan Sarjan Mejar Rejimen (RSM) Perbarisan, Pegawai Waran Master (MWO) Low Kay Kee, 44 tahun.
