Layang-layang, dron dan objek udara lain tidak dibenarkan terbang di ruang udara berhampiran kompleks sukan The Kallang dan sebahagian besar Singapura pada hari-hari tertentu dalam Jun, Julai dan Ogos.

Langkah ini memastikan keselamatan orang awam dan pesawat yang terbang rendah, yang terlibat dalam aktiviti udara sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 serta latihannya, jelas Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), pada 16 Jun.

NDP dijadualkan kembali diadakan di Stadium Negara, yang merupakan sebahagian daripada The Kallang, selepas 10 tahun, dengan kira-kira 42,000 orang dijangka hadir.

Kawasan larangan sementara itu meliputi ruang udara dari paras tanah hingga kira-kira 915 meter (m) di atas aras purata laut.

Sekatan itu berkuat kuasa pada 18 Jun, setiap Sabtu dari 27 Jun hingga 1 Ogos, dan 9 Ogos, hari berlangsungnya NDP.

Pada 18 Jun, penerbangan di sebahagian besar Singapura dihadkan dari 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Pada Sabtu, sekatan dikenakan di sebahagian besar Singapura dari 5 petang hingga 7.30 malam, dan di kawasan The Kallang, dari 7.30 malam hingga 9 malam.

Pada hari perbarisan, sekatan dikuatkuasakan di sebahagian besar Singapura, dari 3.30 petang hingga 7.30 malam, dan di kawasan The Kallang dari 7.30 malam hingga 11 malam.

Jika cuaca buruk menjejas mana-mana tarikh yang dirancang, sekatan yang sama turut berkuat kuasa pada tarikh simpanan, 15 Ogos.

Sepanjang tempoh sekatan, semua aktiviti udara yang tidak dibenarkan CAAS dilarang, termasuk bermain layang-layang, menaikkan belon tambat (captive balloons), melepaskan objek udara bebas terbang dan menerbangkan pesawat tanpa pemandu seperti dron.

Pesalah boleh didenda hingga $50,000, dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukumannya ialah denda hingga $100,000, penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurut CAAS, selain kawasan larangan ini, sekatan semasa terhadap penerbangan objek udara dan pesawat tanpa pemandu dalam lingkungan lima kilometer dari aerodrom, kawasan bahaya, kawasan larangan, kawasan terhad dan kawasan perlindungan kekal berkuat kuasa.

Orang ramai boleh menyemak laman web OneMap.sg atau aplikasi OneMap untuk mengetahui kawasan yang melarang aktiviti udara atau memerlukan permit.

CAAS turut menasihatkan orang ramai agar tidak cemas dengan peningkatan aktiviti penerbangan di beberapa kawasan Singapura pada tarikh dan waktu tersebut.