Topic followed successfully
Go to BHkuSemangat juang mangsa tragedi Gunung Kinabalu dinobat Berita Terbaik BH
Semangat juang mangsa tragedi Gunung Kinabalu dinobat Berita Terbaik BH
Semangat juang mangsa tragedi Gunung Kinabalu dinobat Berita Terbaik BH
Tragedi Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 yang meragut nyawa tujuh pelajar dan dua guru Sekolah Rendah Tanjong Katong masih terpahat di ingatan ramai hingga ke hari ini.
Siapa sangka dua mangsa yang terselamat, Encik Emyr Uzayr Mohamad Sadri, dan Encik Prajesh Dhimant Patel, teguh meneruskan perjuangan mendaki gunung itu sedekad selepas kejadian yang meruntun jiwa mereka.
Ia merupakan kisah inspirasi yang mencerminkan semangat dan kecekalan dua individu untuk bangkit daripada kenangan silam yang menusuk semangat.
Laporan Mangsa gempa Kinabalu tawan puncak gunung sedekad selepas tragedi turut membawa pada kemenangan Anugerah Berita Terbaik Berita Harian (BH) bagi wartawan, Syed Muhammad Firdaus Syed Siraj Uddin, pada majlis Anugerah Tahunan Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM) SPH Media Trust 2025, di Auditorium SPH pada 5 Mei.
Beliau membawa pulang trofi dan wang tunai $2,000.
Ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan, Syed Muhammad Firdaus, menjelaskan beliau terharu kerana laporannya itu menerima perhatian lebih meluas setelah mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan, berkongsi laporan tersebut di Facebook beliau.
“Saya terkejut mendapat pesanan ketika melungsur Facebook bahawa laporan saya itu turut mendapat penghargaan daripada Encik Lee.
“Cabaran utama saya dalam menghasilkan laporan ini adalah bagaimana mengimbangi antara trauma yang dilalui dua pemuda ini dengan makna di sebalik pendakian semula itu.
“Sebaik mengetahui tentang misi pendakian Encik Emyr, saya tergesa-gesa berusaha menghubungi beliau.
“Kebetulan, saya pernah mewawancara pemilik sebuah kedai antik, Encik Mohamad Sadri, tak sangka rupanya Emyr adalah anaknya.
“Saya menghubungi beliau untuk dapatkan kepastian dan dari situ, saya mula usahakan laporan ini kerana berasa ia menggambarkan semangat waja dua belia ini dalam ‘menutup’ kisah duka itu dengan sesuatu yang menguatkan semangat.
“Ada dua lapisan emosi di sini... keindahan pendakian semula dan bayangan trauma yang masih kekal di ingatan.
“Emyr memutuskan untuk mendaki semula Gunung Kinabalu kerana ingatannya sangat jelas.
“Tetapi beliau memilih untuk fokus kepada kenangan indah bersama rakan-rakannya juga,” kongsi Syed Muhammad Firdaus, penerima Biasiswa SPH dan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurutnya, perincian seperti Timpohon Gate, laluan pendakian, tempoh perjalanan serta detik rehat di sepanjang laluan digunakan untuk membawa pembaca membayangkan pengalaman tersebut.
“Gambar, mercu tanda dan urutan perjalanan sangat penting. Saya mahu pembaca rasa seolah-olah mereka berada di sana bersama mereka,” jelasnya.
Proses mendapatkan kisah itu juga tidak mudah sebab Encik Emyr Uzayr kadangkala hanya dapat membalas pesanan ketika sedang mendaki, dalam keadaan sambungan Internet yang tidak stabil.
Dalam masa yang sama, beberapa media lain turut berlumba mendapatkan cerita yang sama, sekali gus menambah tekanan bagi Syed dalam mengejar liputan tersebut agar menjadi yang pertama menyiarkannya.
Seorang lagi mangsa, Encik Prajesh, pula membawa dimensi berbeza kepada berita tersebut kerana pernah mengalami kecederaan serius semasa tragedi itu.
“Yang paling penting bagi saya adalah keadilan kepada mereka.
“Mereka sedang mengimbau sesuatu yang sangat peribadi.
“Saya harus bina kepercayaan agar mereka sudi berkongsi sesuatu yang perit dan pahit dalam hidup mereka,” tambahnya.
Mengulas tentang kemenangan anugerah itu, beliau tidak menjangka akan menerima pengiktirafan tersebut memandangkan persaingan yang sengit.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Saya tidak menjangka akan menang kerana semua calon lain hebat-hebat belaka.
“Pengiktirafan itu menjadi peringatan bidang kewartawanan bukan sekadar menulis berita, tetapi menjadi jambatan antara memori, manusia dan makna di sebalik setiap perjalanan hidup,” katanya.
Calon lain bagi kategori Anugerah Berita Terbaik ialah Cik Nur Humaira Sajat bagi berita tentang jemaah umrah Singapura yang mendapatkan khidmat agensi Malaysia perlu berhati-hati meski pakej murah; dan Encik Izwandi Azman dan Cik Nurfahruriza Ismail bagi laporan tentang daya tahan kumpulan seni Melayu di Singapura dan minat generasi muda menyertainya.
