Sekitar 5,000 kanak-kanak Singapura telah menerima faedah kewangan besar dalam tempoh tahun pertama pelaksanaan skim bagi menggalak warga setempat memiliki keluarga besar.

Faedah berkenaan merangkumi tokokan $10,000 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) serta $5,000 dalam akaun MediSave ibu masing-masing, yang bertujuan meringankan kos membesarkan tiga anak atau lebih.

Di bawah Skim Keluarga Besar, setiap keluarga bakal menerima faedah tambahan sehingga $16,000 bagi anak warga Singapura ketiga dan seterusnya yang lahir pada atau selepas 18 Februari 2025.

Inisiatif itu diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa pembentangan Belanjawan 2025.

Antara faedah tersebut termasuk Geran Langkah Pertama CDA sebanyak $10,000, iaitu seganda berbanding jumlah $5,000 yang diterima semua anak warga Singapura secara umum.

Dana tersebut boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan prasekolah serta penjagaan kesihatan anak itu sendiri mahupun adik-beradiknya.

Selain itu, mereka juga akan menerima Geran MediSave Keluarga Besar sebanyak $5,000, yang akan dikredit langsung ke dalam akaun MediSave ibu anak tersebut.

Ia tidak termasuk Geran MediSave bernilai $5,000 yang diberikan kepada semua bayi warga Singapura semasa dilahirkan.

Dana MediSave tersebut boleh digunakan bagi menampung kos berkaitan kehamilan dan bersalin, di samping membayar bil perubatan yang diluluskan untuk tanggungan lain.

Sehingga Mac, sekitar 5,000 anak telah menerima Geran Langkah Pertama CDA dan Geran MediSave Keluarga Besar, ujar jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Anak berkenaan juga akan menerima Kredit LifeSG Keluarga Besar sebanyak $1,000 setiap tahun, bermula dari tahun mereka mencecah umur setahun hingga enam tahun.

Kredit tersebut boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, bil api air dan kos pengangkutan.

Keluarga yang mempunyai anak ketiga atau seterusnya yang lahir sebelum 18 Februari 2025 turut layak menerima Kredit LifeSG Keluarga Besar sekiranya memenuhi kriteria tertentu, seperti mempunyai anak warga Singapura yang lahir antara 1 Januari 2019 dengan 17 Februari 2025.

Lebih 33,000 anak telah menerima Kredit LifeSG Keluarga Besar tersebut pada 2025, tambah jurucakap MSF.

Skim itu diperkenalkan ketika Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduk tempatan merosot ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 0.87 pada 2025.

Ini terjadi dengan lebih banyak pasangan memilih untuk menimang hanya satu atau dua orang cahaya mata, menurut ahli akademik yang mengkaji isu penduduk.

Berdasarkan data terkini daripada Jabatan Perangkaan (DOS), peratusan wanita di penghujung usia kesuburan mereka yang mempunyai hanya seorang anak didapati meningkat, manakala peratusan mereka yang mempunyai tiga anak atau lebih menurun dengan ketara dalam tempoh 20 tahun lalu.

Pada 2024, sebanyak 20.6 peratus wanita Singapura berusia antara 40 dengan 49 tahun, mempunyai tiga anak atau lebih, merosot daripada 34.5 peratus pada 2004 dan 26.3 peratus pada 2014.

Sebaliknya, peratusan mereka yang mempunyai hanya seorang anak meningkat daripada 15.9 peratus pada 2004 kepada 19.8 peratus pada 2014, dan mencecah 22.8 peratus pada 2024.

Angka tersebut merangkumi kaum wanita yang pernah berkahwin, termasuk mereka yang kini masih berkahwin, telah bercerai atau kematian suami.

Pengarah Sains Kemasyarakatan di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), Profesor Jean Yeung, berkata Skim Keluarga Besar itu bertujuan menggalak pasangan yang mempunyai dua anak untuk mempertimbangkan untuk menambah zuriat dengan menyediakan sokongan kewangan.

Profesor Yeung, yang bertugas di Fakulti Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), menambah:

“Dasar ini juga menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa kita harus meraikan keluarga besar, yang berpotensi memberi kesan jangka panjang dalam mengubah norma sosial mengenai perkahwinan dan keibubapaan.”