Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Madrasah Aljunied rebut semula gelaran juara Bahas 4PM selepas 7 tahun

Tewas pencabar lama, Institusi St Joseph, sejak perlawanan terakhir pada 2019
Aug 24, 2025 | 10:00 PM
4pm, madrasah aljunied, Farouq Syakir, Muhammad Suhail Sulaiman, Nur Sholeha Salleh, Nor’Aqilah Marsya Muhammad Syafie
Pemenang pertandingan Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Peringkat Pascamenengah 2025, (dari kiri) Farouq Syakir, Muhammad Suhail Sulaiman, Nur Sholeha Salleh dan Nor’Aqilah Marsya Muhammad Syafie, daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah di Studio Mediacorp pada 3 Ogos. Acara itu ditayangkan di Suria pada 24 Ogos. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Madrasah Aljunied Al-Islamiah meraih kembali gelaran juara dalam Pertandingan Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Peringkat Pascamenengah 2025.

Kemenangan itu menamatkan penantian selama tujuh tahun sejak kejayaan terakhir mereka pada 2018.

Dalam perlawanan akhir 2025, pasukan itu menewaskan pencabar lama, Institusi St Joseph (SJI), dalam perlawanan ulangan yang dinantikan sejak pertemuan terakhir pada 2019.

Kedua-dua pasukan bersaing dalam satu perbahasan penuh semangat dengan usul: “Kebergantungan pada sektor perkhidmatan memperkukuh kemampanan ekonomi Singapura”. Pertandingan itu ditayangkan di Suria Mediacorp pada 24 Ogos.

Pusingan akhir itu turut dihadiri tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.

Terpegun dengan kehebatan pelajar dalam berbahas, Cik Hazlina memuji para peserta dengan berkata:

“Ia merupakan satu persembahan yang luar biasa.

“Para pelajar kelihatan sangat yakin dan menunjukkan pengetahuan mendalam mereka.

“Saya benar-benar kagum dengan penggunaan bahasa Melayu mereka untuk membahaskan isu-isu kompleks dengan begitu fasih.”

Melihat semangat luar biasa yang ditonjolkan dalam perbahasan tersebut, Cik Hazlina menyeru para belia agar terus menyertai kegiatan kesukarelawan.

“Belia patut terus memainkan peranan aktif sebagai sukarelawan masyarakat.

“Menjadi sukarelawan dan menyertai acara kemasyarakatan harus menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita.

“Saya berharap lebih ramai yang akan mengambil peluang menyertai acara kemasyarakatan dan meluangkan masa untuk memperluaskan rangkaian sosial,” ujarnya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa tenaga dan potensi yang dimiliki golongan muda merupakan sumber kekuatan yang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai penyuluh masa depan negara.

Pertandingan Bahas 4PM merupakan salah satu tonggak budaya kesusasteraan dan perbahasan Melayu di Singapura, yang bertujuan melahirkan generasi baru pemikir kritis, mahir dalam pidato umum, sambil meraikan keindahan bahasa Melayu.

Mauduk pada 2025 menyelami isu berkaitan ekonomi Singapura.

Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat, berkata: “Kami mengajukan pelbagai topik semasa, termasuk dalam konteks tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai contoh, topik ekonomi Singapura adalah isu yang sangat kompleks untuk dihuraikan secara mendalam, namun ia tetap merupakan isu yang amat penting dalam perbincangan semasa hari ini.”

Walaupun berdepan pelbagai rintangan, usaha gigih pasukan penyanggah Madrasah Aljunied akhirnya membuahkan hasil.

Salah seorang anggotanya, Muhammad Suhail Sulaiman, 18 tahun, berkata: “Cabaran utama semestinya mengorbankan masa pelajaran.

“Kadangkala kami ketinggalan dalam kelas, tetapi sokongan ibu bapa dan guru-guru banyak membantu.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan pasukan ini dan persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan.

“Daripada mesyuarat larut malam hingga ke saat-saat genting. Kami saling melengkapi dan menguatkan antara satu sama lain.”

Turut hadir pada acara tersebut adalah barisan penilai peringkat akhir yang terdiri daripada pensyarah di Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi; Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; Penerbit Kanan dan Penyampai Berita dan Hal Ehwal Semasa Melayu, Berita Mediacorp, Cik Nursha Ismail; Ketua Dasar Awam, Hal Ehwal Pemerintah dan Korporat, Kumpulan Expedia, Encik Matin Mohdari; dan Penolong Pengarah Kanan dan Peguam Bela, Kementerian Undang-Undang, Encik Taufiq Suraidi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg