Imam muda gagahi amanah berat, muhasabah diri, pertingkat ilmu
Imam muda gagahi amanah berat, muhasabah diri, pertingkat ilmu
Tatkala terkurang satu rakaat sewaktu memimpin solat isyak, anggota jemaah di belakang sudah melafazkan ‘Subhanallah’ dengan kuat sebagai tanda teguran ada kesilapan dalam solat.
Ketika itu, Encik Muhammad Zidny Ilman Edwan Nizar, yang merupakan imam pada waktu itu, mula sedar dan bangkit daripada duduk tahiyat akhirnya untuk menyempurnakan satu lagi rakaat.
Apabila terkenangkan peristiwa tersebut, anak muda berusia 26 tahun itu mula menjadi lebih teliti dalam peranannya sebagai imam.
Kesilapan dalam pimpinan solat itu merupakan lumrah dan titik pelajaran bagi setiap imam.
Begitu juga buat Encik Zidny yang mula menggalas tanggungjawab sebagai imam sejak usia 19 tahun di Masjid Assyafaah.
Bercerita tentang pengalamannya itu, Encik Zidny tidak dapat menahan rasa malu usai solat.
Namun begitu, beliau bersyukur dengan anggota jemaah dan pihak masjid yang memahami lumrah seorang imam yang tidak lepas daripada kesilapan.
Hakikat menjadi seorang imam itu memang dibebani dugaan dan tanggungjawab berat.
Pelajar tahun akhir jurusan Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata:
“Tekanan sebagai imam itu sangat nyata. Semakin saya dewasa, semakin saya sedar betapa beratnya tanggungjawab menjadi seorang imam, memimpin solat dengan jemaah yang ramai.”
Bagi Encik Zidny, sebagai imam, beliau harus mengambil tahu dan prihatin akan keadaan jemaahnya.
Jemaah masjid yang kebanyakannya merangkumi warga emas adakala mempunyai pelbagai masalah kesihatan.
“Ada jemaah yang tidak boleh sujud atau rukuk dengan lama ketika solat. Jadi, saya harus mengambil kira hal itu agar solat terasa selesa bagi mereka,” jelas beliau.
Encik Zidny sangat menitikberatkan bacaan dengan tajwid yang tepat ketika memimpin solat.
Namun, beliau terpaksa akur peranan sebagai imam itu harus juga mempertimbangkan beberapa perkara di luar ibadah solat.
“Menjadi seorang imam, banyak perkara yang kita harus fikirkan. Malah, peranan kita bermula sebelum solat itu lagi.
“Seperti contoh, bagi tarawih, lazimnya saya harus kawal pemakanan sewaktu berbuka agar tidak menjejas solat untuk ke tandas dan sebagainya,” tambah beliau.
Encik Zidny, yang juga sedang mengambil ijazah sarjana kedua dalam jurusan fiqah syafi’i & usul fiqah di Universiti Sains dan Pendidikan Islam Sedunia (Wise) secara dalam talian, berpandangan ilmu dan akhlak itu merupakan aspek paling penting sebagai seorang imam.
Beliau menegaskan dengan ilmu yang tepat dan cukup, para imam dapat bertindak sesuai dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Baginya, akhlak atau tingkah laku juga merupakan aspek yang perlu dijaga kerana para imam ibarat ‘mewakili’ masjid.
“Sebagai imam, kita perlu menjaga perilaku dan sentiasa beradab walaupun di luar masjid dan dalam media sosial,” jelas beliau.
Pengasas dan pengarah kumpulan wacana keagamaan yang dipanggil ‘The Ma’na Initiative’ itu turut berkata peranan sebagai seorang imam telah banyak membuatnya bermuhasabah diri.
“Sebagai imam, kita harus banyak bermuhasabah diri. Kita harus sedar menjadi imam tarawih ini bukanlah setakat satu perkara yang cool dan memberi kemasyhuran.
“Adakalanya saya takut sendiri... menjadi seorang imam muda ini pula mungkin mengundang sifat riyak dalam diri sendiri.
“Namun saya pernah dinasihati seorang ustaz bahawa takut akan berperasaan riyak tidak seharusnya menghambat kita daripada melakukan kebaikan, dalam hal ini, iaitu menjadi imam,” jelas beliau dengan penuh refleksi diri.
Meskipun berdepan cabaran dan tanggungjawab yang berat, Encik Zidny tetap berbesar hati dapat berkhidmat di masjid sebagai imam.
“Walaupun tanggungjawab ini sangat berat, saya bersyukur kerana melalui peranan ini saya dapat sentiasa ke masjid,” katanya.

