Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu ‘tersasar’, kini bangkit semula, jadi pendamping remaja

Nov 8, 2024 | 10:00 AM
Nur Shahirah Abdullah, 25 tahun, bekas penghuni Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura dari 2015 hingga 2017, kini bekerja sepenuh masa sebagai setiausaha di sebuah firma guaman serta merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan.
Nur Shahirah Abdullah, 25 tahun, bekas penghuni Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura dari 2015 hingga 2017, kini bekerja sepenuh masa sebagai setiausaha di sebuah firma guaman serta merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kesal – perasaan ini acap kali dirasai kebanyakan mereka yang pernah melakukan jenayah.

Namun, ia tidak sedemikian buat Cik Nur Shahirah Abdullah.

Masa silamnya diterima dengan reda tanpa penyesalan, malah dianggap penuh hikmah.

Meskipun zaman remajanya ditandai dengan pemberontakan dan ketiadaan bimbingan ibu bapa – yang akhirnya membawa kepada penahanannya pada 2015 – Cik Shahirah menganggapnya sebagai langkah penting yang membentuk dirinya kini.

Dua tahun di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura menjadi titik perubahan, menawarkan sokongan dan pemulihan yang mengubah haluan hidupnya.

Kini, Cik Shahirah, 25 tahun, menjadi sukarelawan di rumah tumpangan yang sama sebagai pendamping atau befriender sejak April lalu, menawarkan bimbingan dan dorongan kepada penghuni yang mengharungi cabaran yang sama seperti yang pernah dilaluinya.

Pada 8 November, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengumumkan bahawa pemerintah memperluaskan sokongan pemulihan kepada pesalah belia yang lebih tua, satu usaha untuk mengurangkan kesalahan berulang dalam kalangan belia.

Kurang daripada 10 peratus daripada belia yang menamatkan program pemulihan dari 2019 hingga 2021 mengulangi kesalahan dalam tempoh dua tahun berdasarkan Laporan Trend Mengenai Sokongan untuk Pemulihan Belia yang julung-julung kali dikeluarkan MSF pada hari yang sama.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Cik Shahirah, kini ibu seorang anak perempuan berusia dua tahun, berkata: “Saya tidak pernah berjumpa atau mengenali orang tua saya. Sejak kecil, saya tinggal bersama pak cik, mak cik dan nenek saya. Pada usia lapan tahun, saya ditempatkan di Rumah Anak Yatim Darul Ihsan selepas mengalami penderaan oleh pakcik saya di rumah.

“Saya dikeluarkan dari rumah anak yatim itu pada usia 13 tahun dan kemudian tinggal bersama nenek saya di sebuah bilik sewa.”

Jelas sekali, persekitaran tempat beliau membesar tidak membekalkannya dengan bimbangan dan didikan yang betul.

“Pada usia 15 tahun pula, saya ditangkap.

“Ketika itu, saya melalui fasa pemberontakan dan tidak mempunyai ibu bapa untuk membimbing saya apa yang betul dan yang salah. Tanpa didikan yang betul dari awal, saya terjerumus ke dalam kancah jenayah,” kongsi anak tunggal itu.

Akibat melakukan jenayah pada usia bawah 16 tahun, Cik Shahirah dihantar menjalani pemulihan dan ditempatkan di beberapa rumah tumpangan remaja sebelum dipindahkan ke Pusat Pemulihan Juvana (JRC) di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura pada 2015.

Mengimbas kembali detik di SGH, beliau berkongsi bahawa ia merupakan “tempat yang memberi struktur dan sokongan yang diperlukan untuk mengubah haluan kehidupan.”

Beliau menamatkan pemulihannya pada 2017.

Menurut laporan MSF, kadar belia menamatkan perintah Rumah Tumpangan Remaja MSF dari 2019 hingga 2023 menunjukkan trend meningkat, dengan 95 peratus pada 2023.

Di sana, Cik Shahirah mengikuti pelbagai program pemulihan yang menjadi asas kepada transformasinya termasuk menjalani rutin harian yang berstruktur, menduduki peperiksaan peringkat ‘N’ serta menyertai aktiviti sukan yang diadakan.

Rumah Tumpangan Remaja di bawah MSF seperti SGH menyediakan program akademik, pemulihan dan pembangunan holistik.

Antara program pemulihan yang beliau sertai adalah program pencegahan keganasan, yang dikhususkan untuk mereka yang terlibat dalam kes jenayah berkaitan keganasan. Melalui program ini, beliau belajar mengawal kemarahan dan mengelakkan keganasan.

“Aktiviti dan program diatur secara berturut-turut untuk kami. Kesibukan yang berterusan ini membantu saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat pemulihan dan perkembangan peribadi, tanpa adanya ruang untuk perkara yang tidak bermanfaat,” ujar beliau yang mengenali seorang mentor di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura yang menjadi tunggak sokongan sepanjang pemulihannya.

“Ramai orang berputus asa terhadap saya, tetapi mentor saya tetap ada. Beliau mendengar, memahami dan memberi motivasi agar saya cekal di landasan yang positif,” kenang Cik Shahirah yang terdorong untuk menjadi pendamping di SGH.

“Ramai penghuni di sana mahukan seseorang yang mendengar dan memahami mereka. Apabila saya bertemu dengan mereka, saya dapat lihat diri saya dalam diri mereka. Saya faham akan perjuangan mereka kerana saya pernah berada di tempat yang sama. Saya ingin menunjukkan bahawa masih ada harapan dan jalan ke hadapan.

“Saya harap mereka yang melalui pengalaman serupa sedar bahawa tidak mengapa melakukan kesilapan, asalkan kita belajar daripadanya dan tidak mengulanginya,” tambah beliau yang meluangkan masa sekali atau dua kali sebulan di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura.

Pengalaman pahitnya yang lalu kini mendorong Nur Shahirah Abdullah (gambar) meluangkan masa sebagai relawan dan menjadi pembimbing di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura.
Pengalaman pahitnya yang lalu kini mendorong Nur Shahirah Abdullah (gambar) meluangkan masa sebagai relawan dan menjadi pembimbing di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Shahirah tidak pernah menganggap kesilapan lamanya itu sebagai satu penyesalan.

Malah, tanpa segala yang berlaku, beliau mungkin tidak berpeluang untuk membuka lembaran baru, kongsi beliau yang kini telah dua tahun bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma guaman.

Tambahan, pengalaman pahit itu juga yang membawa kepada pertemuan pertama beliau dengan ibunya pada usia 15 tahun.

Menjalani kehidupan baru bersama cahaya mata dan suami, beliau meluahkan harapan agar anaknya akan dibesarkan dengan kasih sayang dan sokongan penuh, tanpa melalui kesukaran yang pernah dilaluinya semasa remaja dulu.

“Saya bertekad untuk sentiasa hadir dan menjadi pelindung buat anak saya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg