Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan pemulihan pesalah remaja diperluas, rangkumi belia 16-18 tahun mulai Jan 2025

Nov 8, 2024 | 10:00 AM
Bilik darjah di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura (SGH), salah satu Rumah Tumangan Remaja Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tempat remaja berisiko tinggi menjalani hukuman. SGH menyediakan program pendidikan, pemulihan, dan pembangunan holistik yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan penghuni dan mengurangkan risiko kesalahan berulang.
Bilik darjah di Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura (SGH), salah satu Rumah Tumangan Remaja Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) tempat remaja berisiko tinggi menjalani hukuman. SGH menyediakan program pendidikan, pemulihan, dan pembangunan holistik yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan penghuni dan mengurangkan risiko kesalahan berulang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Belia berusia 16-18 tahun yang melakukan kesalahan jenayah akan mendapat sokongan pemulihan daripada pemerintah mulai 1 Januari 2025.

Ia seiring dengan pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), yang berkuat kuasa pada hari sama, yang membolehkan kes melibatkan pesalah belia dalam lingkungan usia itu dibicarakan di Mahkamah Belia.

Ini membolehkan pesalah belia lebih tua meraih manfaat daripada pilihan pemulihan lebih luas untuk menangani keperluan mereka dan mengurangkan kesalahan.

Kadar kesalahan dalam kalangan belia di Singapura kekal rendah berbanding negara lain, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dengan purata 5.2 kesalahan setiap 1,000 belia dari 2019 hingga 2023.

Mengeluarkan Laporan Trend Mengenai Sokongan untuk Pemulihan Belia buat kali pertama pada 8 November, MSF berkata tiga kesalahan yang paling banyak dilakukan pesalah belia ialah kecurian dari kedai (509 pesalah); penipuan serta kesalahan berkaitan (422 pesalah); dan kesalahan seksual (250 pesalah).

Sekitar 50 pesalah belia dalam lingkungan usia 16-18 tahun akan meraih manfaat daripada sokongan pemulihan yang diperluaskan menjelang akhir 2025.

Sebelum ini, golongan itu menjalani perbicaraan sebagai orang dewasa.

“Kajian menunjukkan pesalah remaja lebih tua mungkin masih tidak mempunyai kematangan kognitif sepenuhnya seperti orang dewasa untuk memahami keseriusan kesalahan mereka,” kata kenyataan MSF itu.

Untuk menangani perkara itu, pindaan kepada Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda meluaskan bidang kuasa Mahkamah Belia untuk merangkumi pesalah belia berumur 16 tahun hingga bawah 18 tahun. 

“Ini membolehkan pesalah belia lebih tua meraih manfaat daripada pilihan pemulihan lebih luas untuk menangani keperluan mereka dan mengurangkan kesalahan berulang,” tambah MSF.

Sejajar dengan itu, had umur maksimum untuk penahanan di tempat tahanan dan Pusat Pemulihan Juvenil, seperti Rumah Tumpangan Remaja Lelaki Singapura (SBH), akan dinaikkan kepada 21 tahun, kerana Perintah Pemulihan Juvenil boleh berjalan hingga tiga tahun.

Menurut laporan itu, belia dalam lingkungan usia 16 tahun hingga bawah 18 tahun lebih cenderung melakukan kesalahan berbanding belia lebih tua dalam lingkungan usia 18 tahun hingga bawah 21 tahun, atau lebih muda berusia 10 tahun hingga bawah 16 tahun.

Sekitar 50 pesalah belia berusia 16 tahun hingga bawah 18 tahun akan menerima sokongan pemulihan tersebut menjelang akhir 2025, untuk menyediakan pemulihan yang sesuai dengan umur pesalah itu, memenuhi risiko dan keperluan khusus mereka.

Ketua Penolong Penyedia Perkhidmatan Bersepadu (ISP), Perkhidmatan Belia Allkin, Encik Keeshan Menon, berkata: “Banyak perkhidmatan sedia ada tidak memenuhi keperluan belia dalam lingkungan usia ini, kerana ia biasanya disasarkan sama ada kepada mereka yang di bawah 16 tahun atau melebihi 18 tahun.

“Akibatnya, golongan ini sering tercicir daripada sistem sokongan. Dengan peningkatan had umur, mereka kini akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk program pemulihan.”

Selain menyesuaikan kemudahan di Rumah Tumpangan Remaja MSF – SBH dan Rumah Tumpangan Remaja Perempuan Singapura (SGH) – MSF telah mengambil dan meningkatkan kemahiran kakitangan, serta bekerjasama dengan institusi pendidikan dalam meluaskan program akademik dan vokasional untuk belia.

Sebelum ini, hanya kes melibatkan belia bawah umur 16 tahun dibicarakan di Mahkamah Belia manakala mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas menjalani perbicaraan sebagai orang dewasa di Mahkamah Negara atau Mahkamah Masyarakat, kecuali jika mereka disalurkan ke program pemulihan alternatif.

“Pesalah belia bawah usia 21 tahun berada dalam fasa pembentukan diri dan masih memerlukan bimbingan untuk menangani risiko dan keperluan mereka. Oleh itu, pemulihan merupakan pertimbangan utama dalam sistem keadilan belia,” ujar MSF.

Kementerian itu turut menekankan pemerintah komited dalam menyokong dan mengintegrasikan semula belia ini ke dalam masyarakat serta memelihara keselamatan awam dan pencegahan jenayah.

“Remaja lebih tua yang melakukan jenayah lebih serius seperti kesalahan seksual tertentu, pinjaman wang tidak berlesen dan pengedaran dadah, boleh menghadapi prosiding di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang sesuai, seperti Mahkamah Negara,” tambah MSF.

Menurut laporan itu, jumlah keseluruhan pesalah belia dalam program pemulihan berkurangan daripada 1,067 pada 2019 kepada 463 pada 2023.

Laporan tersebut memberi gambaran keseluruhan tentang pemulihan utama belia dan trend kesalahan dari 2019 hingga 2023.

Program pemulihan juga mencatatkan kadar penyelesaian tinggi sekitar 90 peratus pada 2023.

Dalam kalangan belia yang menamatkan program antara 2019 dan 2021, kurang 10 peratus melakukan kesalahan berulang dalam dua tahun – lebih rendah daripada negara lain, seperti New Zealand dan negeri Indiana di Amerika Syarikat.

Kadar kesalahan belia di Singapura kekal rendah berbanding negara seperti Australia dan New Zealand, dengan purata 5.2 bagi setiap 1,000 belia dari 2019 hingga 2023.


Kadar kesalahan pada 2023 ialah 4.9, hampir sama dengan 4.6 pada 2022.


Tiga jenayah yang sering dilakukan pesalah belia (2019-2023):

1. Kecurian kedai – 509 pesalah

2. Penipuan dan kesalahan berkaitan – 422 pesalah

3. Kesalahan seksual (penembusan) – 250 pesalah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg