Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guna media sosial dekatkan belia dengan bahasa Melayu

Aug 29, 2025 | 4:14 PM
Singapura, Bulan Bahasa, Duta Bahasa, Izyan Mellyna, bahasa Melayu
Dengan lebih 28,000 pengikut di Instagram, pelakon, pengacara, penerbit dan pereka fesyen Cik Izyan Mellyna, 38 tahun, memanfaatkan pengaruhnya di media sosial untuk menghidupkan semula rasa cinta terhadap bahasa Melayu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan lebih 28,000 pengikut di Instagram, pelakon, pengacara, penerbit dan pereka fesyen Cik Izyan Mellyna, 38 tahun, memanfaatkan pengaruhnya di media sosial untuk menghidupkan semula rasa cinta terhadap bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan belia.

Sebagai salah seorang Duta Bahasa yang baru dilantik pada 2025, Cik Izyan membawa pendekatan yang santai namun berkesan bagi menarik minat golongan muda. 

Tiga individu telah dilantik sebagai Duta Bahasa 2025.

Selain Cik Izyan, dua lagi ialah Encik Nur Muhammad Hidayat Nordin, seorang aktivis seni dan teater serta pencipta kandungan; dan Fatih Hamdani, seorang Rakan Bahasa 2024.

Majlis pelantikan itu berlangsung di Perpustakaan Negara Singapura (NLB) pada 18 Julai 2025.

Bercakap kepada Berita Harian, Cik Izyan percaya gaya penyampaian yang lebih mesra dan mudah didekati mampu menjadikan bahasa Melayu lebih relevan serta mudah difahami.

“Wadah media sosial ini memang kekuatan saya. Saya akan cuba terapkan bahasa Melayu melalui kapsyen, jaringan muzik ataupun penerbitan video ‘reel’.

“Dengan gaya santai itu, boleh juga kita selitkan kata-kata puitis,” jelas beliau.

Pendekatan itu sejajar dengan matlamat Bulan Bahasa 2025, seperti yang ditekankan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, tentang penglibatan belia serta penggunaan kaedah yang lebih inovatif dan terangkum bagi memasyarakatkan bahasa Melayu.

Membesar dalam industri hiburan sejak kecil, Cik Izyan yang aktif di saluran Suria sebagai pelakon, pengacara dan penerbit, menganggap bahasa Melayu sebagai aspek penting dalam pembentukan identitinya.

Kini, beliau sedang terlibat dalam penerbitan rancangan permainan berbahasa Melayu yang disifatkannya sebagai pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.

“Pendekatan seperti ini membuka mata saya terhadap keluasan bahasa Melayu. Ia boleh dipelajari melalui cabaran yang menyeronokkan,” ujarnya.

Sebagai ibu tiga orang anak, Cik Izyan turut menerapkan nilai yang sama di rumah. 

Menurut beliau, bahasa Melayu bukan sekadar subjek sekolah atau alat komunikasi, bahkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Cik Izyan menerapkan penggunaan bahasa Melayu melalui pembacaan buku-buku Melayu, teka-teki, permainan bahasa dan menambah perbualan santai.

“Sebab saya percaya, cinta pada bahasa itu mesti datang dengan rasa yang selesa. Saya tidak mahu memaksa seseorang untuk menyukai bahasa,” katanya.

Pelantikan sebagai salah seorang Duta Bahasa 2025 merupakan amanah yang beliau pikul dengan rasa penuh tanggungjawab. 

“Bagi saya, bahasa Melayu ialah bahasa kasih sayang. Ia sebenarnya menyatukan jiwa dan masyarakat kita. Bahasa kita mencerminkan sejarah, adat dan cara hidup kita.

“Jika kita tidak memelihara dan melestarikan Bahasa Melayu kita, siapa lagi yang ada?” katanya.

“Bagi saya, bahasa Melayu ialah bahasa kasih sayang. Ia sebenarnya menyatukan jiwa dan masyarakat kita. Bahasa kita mencerminkan sejarah, adat dan cara hidup kita. Jika kita tidak memelihara dan melestarikan Bahasa Melayu kita, siapa lagi yang ada?”
Cik Izyan Mellyna, Duta Bahasa 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg