Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahu perkasa belia usah segan berbahasa Melayu walau silap

Aug 29, 2025 | 4:41 PM
Singapura, Bulan Bahasa, Duta Bahasa, Nur Muhammad Hidayat Nordin, bahasa Melayu
Encik Nur Muhammad Hidayat Nordin, 39 tahun, Pengasas Aras Theatre dan Meja Conteng – sebuah kolektif penulis muda yang bercita-cita tinggi – memperjuangkan pendekatan baru dalam mempromosikan bahasa. - Foto BH oleh KHALID BABA

Takut melakukan kesilapan – bukan kurang kemahiran – menjadi punca utama belia enggan menggunakan bahasa Melayu di ruang awam, jelas salah seorang Duta Bahasa 2025, Encik Nur Muhammad Hidayat Nordin.

Beliau berkongsi bahawa landskap media sosial kini pantas menegur sebarang kesilapan bahasa.

Ini, tambahnya, menyebabkan ramai anak muda berasa segan lalu memilih untuk tidak mengutarakan pandangan dan idea mereka dalam bahasa Melayu walaupun mempunyai pengetahuan.

Encik Hidayat, 39 tahun, salah seorang daripada tiga Duta Bahasa yang dilantik pada 2025, berharap dapat mengubah keadaan ini. 

“Tugas saya sebagai Duta Bahasa adalah untuk mengukuhkan semangat mereka dan memberikan keyakinan kepada belia masa kini. 

“Kalau salah, tak apa, yang penting kenal dan guna bahasa Melayu,” jelas Encik Hidayat.

Selain beliau, dua lagi Duta Bahasa 2025 ialah Cik Izyan Mellyna, seorang pelakon, pengacara, penerbit dan usahawan; dan Fatih Hamdani, seorang Rakan Bahasa 2024.

Majlis pelantikan itu berlangsung di Perpustakaan Negara Singapura (NLB) pada 18 Julai 2025.

Beliau berhasrat untuk merapatkan jurang antara tradisi dengan kemodenan, dengan mewujudkan ruang terangkum dan menyokong bagi memperkasa golongan belia menggunakan dan menerima bahasa Melayu dengan penuh keyakinan.

Ini selaras dengan apa yang dikatakan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa 2025, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pada Bulan Bahasa kali ini yang bertujuan mengubah tanggapan masyarakat terhadap penggunaan bahasa. 

Sebagai pengasas Aras Theatre dan Meja Conteng – sebuah kolektif penulis muda yang bercita-cita tinggi – Encik Hidayat memperjuangkan pendekatan baru dalam mempromosikan bahasa.

Projek terkininya yang bakal dipentaskan, Puisi ke Panggung, di Chambers, The Arts House, menampilkan 10 puisi daripada penulis muda dan juga tokoh legenda seperti Allahyarham Suratman Markasan dalam bentuk pementasan.

“Ia menggabungkan elemen muzik, monolog, drama dan juga sastera, yang mana kita mengetengahkan puisi-puisi Asia Singapura, sekali gus memberi pendekatan serta pendedahan kepada belia-belia yang terlibat,” katanya.

Menurut Encik Hidayat, pelantikannya sebagai Duta Bahasa 2025 amat bermakna kerana ia memberi pengiktirafan kepada usahanya selama ini dan terus membakar semangatnya untuk terus berkarya. 

“Bahasa Melayu patut terus dilestarikan, bukan sahaja dalam sekolah sebagai satu subjek, malah sebagai satu alat untuk mengenal diri. 

“Ia adalah cerminan bangsa kita dan saya harap banyak lagi program di luar sana yang mengetengahkan dan menganggap bahasa Melayu sebagai satu elemen penting dalam masa hadapan,” ujarnya.

“Bahasa Melayu patut terus dilestarikan, bukan sahaja dalam sekolah sebagai satu subjek, malah sebagai satu alat untuk mengenal diri.  Ia adalah cerminan bangsa kita dan saya harap banyak lagi program di luar sana yang mengetengahkan dan menganggap bahasa Melayu sebagai satu elemen penting dalam masa hadapan.”
Encik Nur Muhammad Hidayat Nordin, Duta Bahasa 2025.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg