Beliau masih ingat apabila menerima panggilan daripada anak jirannya yang meminta tolong, kerana bapanya tidak bergerak atau menunjukkan sebarang respons ketika beliau mengunjungi rumah orang tuanya.
Cik Zainab Sani, 59 tahun, mengimbas semula insiden menyedihkan itu dan berkata beliau sedang melakukan khidmat sukarela semasa menerima panggilan tersebut pada 2015.
“Pada saat seperti itu, ia membuat saya sedar betapa eratnya hubungan saya dengan jiran saya.
“Jiran saya ini sudah saya anggap seperti bapa dan keluarga sendiri. Walaupun pada mulanya hubungan itu hanya atas dasar tugasan saya sebagai sukarelawan, lama-kelamaan kami menjadi rapat dan seperti keluarga,” singkap Cik Zainab, Duta Generasi Warga Emas (SGA) di Tampines Changkat, kepada Berita Minggu (BM).
Sudah hampir 18 tahun Cik Zainab tampil sebagai relawan di Rangkaian Penduduk Tampines Changkat.
Beliau juga adalah antara relawan pertama yang telah menyertai Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) apabila ia ditubuhkan pada 2014.
Ibu empat anak dan nenek tiga cucu itu meluahkan kegembiraannya membantu dan menghulurkan bantuan kepada tetangganya yang lebih tua terutama yang tinggal bersendirian.
Mempunyai pengalaman menjaga ibu mentuanya yang sudah lanjut usia sehingga 2002, beliau memahami sifat yang perlu ada untuk menjaga warga tua, iaitu empati dan juga kepentingan komunikasi.
“Apabila menjaga orang lebih tua, kesabaran adalah kunci.
“Mereka juga memerlukan tenaga positif daripada sekeliling mereka dan kita harus sentiasa menyokong dan berada di sisi mereka,” tambah beliau yang menziarahi jiran-jirannya setiap hari biasa.
Kemesraan dalam suaranya jelas menggambarkan beliau sebagai relawan yang membina persahabatan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap warga tua dalam masyarakat.
Berkat kasih dan dedikasinya selama 10 tahun bersama SGO, beliau mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Teladan SGA baru-baru ini.
Seorang lagi relawan yang diiktiraf dalam kategori anugerah yang sama ialah Cik Raunaq Begum Yunus, 58 tahun, SGA dari Marsiling yang juga telah berkhidmat sejak SGO dimulakan pada 2014.
Cik Begum mendapat motivasi untuk menghulurkan bantuan apabila beliau menyedari keperluan mendesak penduduk warga emas yang tinggal bersendirian di Marsiling, kejiranan yang mempunyai jumlah penduduk warga emas yang ramai.
“Kebanyakan dalam kalangan mereka tidak tahu tentang bantuan yang ada dan akhirnya mereka terlepas peluang untuk mendapatkannya,” jelas ibu tiga anak berusia antara 23 dengan 30 tahun itu.
“Sebagai relawan, peranan saya adalah untuk menyampaikan maklumat bantuan yang disediakan, dengan harapan ia dapat meringankan beban mereka, terutama mereka yang tinggal sendirian,” tambah Cik Begum, yang mengimbangi masa menjadi relawan dan juga bekerja secara sambilan di Institut Kulinari SSA.
Walaupun beliau hanyalah seorang relawan, beliau menjadi sumber yang boleh dipercayai dalam kalangan golongan warga tua yang tinggal bersendirian.
Cik Begum juga mengambil pendekatan yang proaktif dengan menggalakkan warga tua melibatkan diri dalam kegiatan misalnya, senaman bersama-sama.
Khidmat kedua-dua Cik Zainab dan Cik Begum sebagai duta telah mengubah kawasan kejiranan mereka menjadi persekitaran yang memupuk hubungan yang melampaui kesukarelawanan semata-mata.
“Ia mengenai membina satu masyarakat yang mana mereka berasa dihargai dan disertakan. Bagi mereka yang tinggal bersendirian, ada bahayanya juga, jadi saya tolong apa yang mampu.
“Jika mereka inginkan seseorang untuk mendengar, saya akan dengar. Jika mereka perlukan bantuan untuk membelikan mereka sesuatu, saya akan usahakan untuk dapatkan daripada agensi pemerintah atau kemudahan lain yang tersedia,” katanya yang akur ramai warga tua mengambil masa lebih lama untuk mempercayai orang lain.
Cik Zainab mengulangi sentimen ini, sambil menonjolkan persahabatan yang telah terjalin melalui pengalaman relawannya.
“Menjadi relawan membuat saya gembira dan apabila kami sudah rapat dan anggap mereka seperti keluarga, saya dapat merasakan pengalaman berkeluarga yang tidak pernah saya miliki.
“Kadang-kadang apabila mereka tidak mempunyai sesiapa, saya akan menemani mereka ke hospital ataupun janji temu bersama doktor di klinik,” kongsi Cik Zainab.
Bagi Cik Silmah Sharawi pula, 66 tahun, beliau menghabiskan masa lapangnya sebagai sukarelawan di Pusat Home Nursing Foundation dan sering mendampingi warga emas lain yang kurang bernasib baik.
“Saya dampingi orang-orang di sini dan dengar kisah mereka dan berasa sedih, ada yang tidak ada teman hidup, yang tidak ada anak, tetapi saya mengambil iktibar, dari pengalaman mereka. Susah senang dan sakit bagaimana…”
“Saya bersyukur saya diberi kesihatan, dan saya sentiasa happy kan diri, tidak mahu berfikiran negatif.” kata Cik Silmah ibu kepada tiga orang anak yang pernah hidup susah sewaktu membesarkan anak-anaknya.
Cik Silmah adalah salah seorang warga emas yang aktif dan memberikan masanya untuk membantu masak di Pusat Home Nursing Foundation, atau berkebun.
Beliau juga membantu untuk membersihkan Masjid Mawaddah dengan tidak mengambil apa-apa bayaran.
“Prinsip saya satu, tidak mahu susahkan anak-anak, tetapi alhamdulillah, mereka semua tidak lupakan kedua ibu bapa mereka,” kongsi Cik Silmah, yang pernah bekerja menggosok baju sewaktu membesarkan anak-anaknya.
Kisah-kisah mereka merupakan bukti kesan SGO, yang bertujuan memberi kuasa kepada sukarelawan untuk bertindak sebagai peguam bela dan sahabat bagi warga emas.
Cik Begum dan Cik Zainab bukan sahaja telah memenuhi jurang dalam penjagaan warga emas malah telah membina kepercayaan dan menjalinkan hubungan persahabatan kepada ramai penduduk warga emas yang sangat memerlukannya.
Cik Begum dan Cik Zainab juga menunjukkan bahawa bantuan yang diberikan dan persefahaman yang terjalin boleh mewujudkan rangkaian sokongan yang dapat memastikan warga emas berasa dihargai.
Dedikasi mereka menunjukkan bahawa sifat belas kasihan dan komitmen boleh membuat perubahan yang besar dalam kehidupan orang lain dan mengingatkan kepada kita semua tentang pentingnya bermasyarakat dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
Dalam dunia yang penuh dengan rasa kesepian, Cik Begum dan Cik Zainab merupakan individu yang boleh diharapkan, membuktikan bahawa kebaikan itu boleh mewujudkan ikatan kekeluargaan bersama mereka yang memerlukan.
“
“Sebagai relawan, peranan saya adalah untuk menyampaikan maklumat bantuan yang disediakan, dengan harapan ia dapat meringankan beban mereka, terutama mereka yang tinggal sendirian.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg