Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duta Projek Dian dengar masalah penduduk flat sewa, rujuk kepada bantuan

Sep 29, 2024 | 5:00 AM
Sebagai Duta Projek Dian, Cik Rohana Musa membantu merujuk penduduk flat sewa yang mempunyai masalah seperti berkaitan pekerjaan atau kewangan kepada pertubuhan akar umbi atau agensi yang dapat membantu.
Sebagai Duta Projek Dian, Cik Rohana Musa membantu merujuk penduduk flat sewa yang mempunyai masalah seperti berkaitan pekerjaan atau kewangan kepada pertubuhan akar umbi atau agensi yang dapat membantu. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sebagai Duta Projek Dian bagi tiga blok flat sewa di kawasan Taman Jurong, Cik Rohana Musa mengenali hampir setiap penduduk, terutama yang telah lama menetap di sana.

Setelah berusaha mendekati penduduk di situ sejak beberapa tahun lalu, mereka kini mesra dan selesa berkongsi dengannya tentang masalah yang dihadapi dan bantuan yang diperlukan.

“Sebagai duta, saya perlu mendekati jiran di tiga blok di, sini iaitu blok 116, 117 dan 118. Kalau mereka ada masalah, mereka akan minta saya rujukkan mereka kepada pihak yang boleh membantu. Selalunya mereka tak tahu di mana nak pergi untuk dapatkan bantuan,” kata Cik Rohana, 64 tahun, yang tinggal tidak jauh di blok 112.

“Selepas beberapa tahun di sini, saya kenal semua orang yang ‘regular’ di blok ini. Tapi kalau mereka baru masuk, mungkin saya tak kenal. Saya dikira macam penghulu blok,” kata Cik Rohana, yang juga relawan bagi Sesi Temu Rakyat (MPS) di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu.

Inisiatif Duta Projek Dian merupakan sebahagian daripada Projek Dian@M³.

Projek Dian bertujuan memperkukuh sokongan bagi keluarga Melayu/Islam yang tinggal di flat sewa.

Ia diperkenalkan di tiga M³@Bandar di Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar, dan telah diperluaskan ke Jurong, Chua Chu Kang dan Tampines.

Bagi Cik Rohana, beliau merupakan relawan mapan dengan pengalaman 15 tahun menyumbang masa dan tenaga di bawah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Taman Jurong dan kini merupakan naib pengerusinya.

Beberapa tahun lalu, beliau dan beberapa relawan MAEC lain dipilih menjadi Duta Projek Dian.

“Apabila kami baru dilantik sebagai duta, kami ke setiap rumah di tiga blok itu. Kami naik ke tingkat paling atas, iaitu tingkat 10 dan pergi ke setiap rumah hingga ke tingkat paling bawah. Kami perkenalkan diri dan beritahu penduduk, jika mereka ada masalah, mereka boleh datang menemui kami. Kami boleh membantu,” kata nenek tiga cucu itu.

Kini beliau menemui penduduk beberapa bulan sekali. Setiap kali beliau melakukan kunjungan ke blok, ia boleh mengambil masa kurang satu jam atau hingga tiga jam.

“Kadangkala kami masuk ke dalam rumah penduduk untuk bertanya khabar dan mendengar masalah mereka. Ada yang mempunyai masalah tentang kerja, kewangan atau anak. Ada pula yang kena saman dan perlukan bantuan melunaskannya,” kata Cik Rohana.

“Kalau ramai yang ada di rumah, lawatan ke blok itu akan mengambil masa hingga tiga jam, lebih-lebih lagi kalau banyak yang mereka ingin kongsi. Saya selalu melakukan lawatan itu dengan duta lain. Walaupun duta orang Melayu, kadangkala kami juga bertanya khabar tentang penduduk kaum lain,” tambahnya.

Bagi penduduk yang berkongsi masalah dengannya, Cik Rohana akan merujuk mereka kepada MPS atau agensi tertentu untuk dapatkan bantuan lanjut.

Tetapi jika ada yang beliau sendiri boleh bantu, beliau akan lakukannya.

“Contohnya, kalau keluarga itu susah, tak ada barang dapur, saya akan usaha mencari agensi yang boleh membantu. Saya akan ke CC (kelab masyarakat) dan tanya tentang badan mana yang boleh menyumbang untuk keluarga itu,” katanya.

Bagi Cik Rohana, peluang menjadi Duta Project Dian sangat dihargainya kerana beliau minat melakukan kerja relawan sedemikian.

“Apabila mereka ada masalah dan mengadu dengan saya, dan kemudian saya dapat selesaikannya, saya rasa senang hati. Saya sukakan kerja ini jadi memang tak rasa penat melakukannya. Selagi empat kerat ini kuat dan larat, dan selagi kesihatan ini baik, insya-Allah saya akan terus menjadi relawan M³,” katanya.

“Apabila kami baru dilantik sebagai duta, kami ke setiap rumah di tiga blok itu. Kami naik ke tingkat paling atas, iaitu tingkat 10 dan pergi ke setiap rumah hingga ke tingkat paling bawah. Kami perkenalkan diri dan beritahu penduduk, jika mereka ada masalah, mereka boleh datang menemui kami. Kami boleh membantu.” 
Cik Rohana Musa, duta Project Dian di kawasan Taman Jurong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg