Masalah jantung dan buah pinggang yang dihidapi pelawak dan pelakon popular, Ebby Yus, buat masa ini stabil kerana beliau tidak lagi bekerja dan lebih banyak berehat di rumah.
Ebby, yang nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, berkata beliau masih menerima tawaran kerja malah baru-baru ini dilamar untuk satu program televisyen.
Namun beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana kesihatannya tidak mengizinkan.
“Saya tak dapat buat program TV (televisyen) itu kerana ada kegiatan lasak. Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya memang dah tak boleh nak buat kegiatan lasak. Sebabnya, nak berdiri lama pun saya tak boleh. Nak berjalan, naik tangga dah tak larat.
“Jadi, biarlah saya berehat saja di rumah ketika ini. Alhamdulillah, kesihatan saya berada dalam keadaan stabil. Saya nak bekerja tapi kalau tawaran tidak sesuai, kenalah tolak,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai jadual pemeriksaan berkala dengan doktor, Ebby, 59 tahun, berkata beliau ada janji temu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan buah pinggangnya pada September.
“Harapan saya, semoga masalah buah pinggang yang saya hidapi ini berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan rawatan dialisis sebagaimana pernah disarankan doktor kepada saya sebelum ini.
“Lagipun, kalau diikutkan saya memang masih belum bersedia untuk buat rawatan dialisis itu. Tapi, iyalah semuanya bergantung pada laporan pemeriksaan dengan doktor pakar pada September depan.
“Jadi, kalau doktor kata dah tak boleh dielakkan lagi (rawatan dialisis), saya akan buat jugalah. Namun, moga-moga ia tidak berlaku dan keadaan buah pinggang saya masih stabil,” katanya.
Pada 2023, Ebby dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) HKL akibat masalah kesihatannya dan doktor memberitahu tahap kekuatan jantungnya hanya sekitar 27 peratus.
Selain itu, Ebby, yang dikenali sebagai Pak Din dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), juga menghadapi masalah buah pinggang rosak yang membolehkan beliau minum 500 mililiter air sahaja sehari.
“
Saya tak dapat buat program TV (televisyen) itu kerana ada kegiatan lasak. Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya memang dah tak boleh nak buat kegiatan lasak. Sebabnya, nak berdiri lama pun saya tak boleh. Nak berjalan, naik tangga dah tak larat. Jadi, biarlah saya berehat saja di rumah ketika ini. Alhamdulillah, kesihatan saya berada dalam keadaan stabil. Saya nak bekerja tapi kalau tawaran tidak sesuai kenalah tolak.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg