Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi Ejai Aziz alami kemurungan melampau, dirawat di wad psikiatri

Aug 6, 2024 | 4:17 PM
Komposer dan penyanyi Azzahra Band, Ejai Aziz, dimasukkan ke wad psikiatri hospital di Tampoi selama dua hari untuk pemantauan oleh doktor.
Komposer dan penyanyi Azzahra Band, Ejai Aziz, dimasukkan ke wad psikiatri hospital di Tampoi selama dua hari untuk pemantauan oleh doktor. - Foto MYMETRO

Komposer dan penyanyi Azzahra Band, Ejai Aziz, dimasukkan ke wad psikiatri di sebuah hospital baru-baru ini akibat masalah kemurungan melampau.

Ejai, atau nama sebenarnya, Mohd Azrizal Mohd Aziz, yang kini menetap di Johor Bahru, berkata beliau dimasukkan ke wad psikiatri hospital di Tampoi selama dua hari untuk pemantauan oleh doktor.

“Saya dibenarkan pulang ke rumah selepas dua hari kerana saya bukan ‘tidak waras’, tetapi hanya mengalami kemurungan melampau sebab rasa diri ini sudah gagal dalam kehidupan berpunca masalah peribadi.

“Ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan dan sebenarnya saya mula murung dah lama, sejak Februari tahun lepas. Saya dah mula suka jalan-jalan seorang diri di sekeliling bangunan sebab saya rasa masalah peribadi yang dihadapi itu sukar diselesaikan.

“Sampaikan saya ada terfikir nak ‘hapuskan nyawa’ sendiri sebab dah rasa memang tak berguna sangat. Ditambah, saya rasa dah tak ada apa lagi nak diharapkan dalam hidup sebab arah tujuan (kehidupan) itu sudah hilang,” kata Ejai, 37 tahun, kepada Harian Metro.

Menurut Ejai, beliau juga sudah memendam masalah peribadi yang dihadapinya itu sangat lama kerana memikirkan sukar menemui jalan penyelesaian, sekali gus menganggap dirinya adalah lelaki yang gagal.

“Apapun, masalah peribadi yang saya alami tiada kaitan dengan kewangan. Alhamdulillah, saya bersyukur kebanyakan lagu ciptaan dan nyanyian saya masih mendapat tempat di radio. Syarikat rakaman juga tetap ada salurkan royalti.

“Jadi, insya-Allah dari segi bayaran royalti itu masih saya dapat hingga kini. Cuma, masalah kehidupan ini datang daripada pelbagai sebab dan saya yang gagal melaluinya. Jadi, ia buat saya tiada semangat untuk bekerja lagi.

“Pihak syarikat rakaman ada minta saya datang ke Kuala Lumpur untuk kerja dan melancarkan lagu duet baru yang sudah lama siap. Tetapi, saya masih minta mereka tangguhkan dulu kerana masalah peribadi ini.

“Saya pun memang belum ada minat dan semangat nak bekerja pada masa ini. Malah, saya juga masih perlukan rawatan untuk pulih dan waktunya mungkin panjang. Allah saja yang menentukan,” katanya lagi.

Mengakui kini cuba bangkit, Ejai berkata beliau berusaha ke arah ‘hijrahkan’ diri serta mendalami ilmu agama bagi menguatkan hati dan reda menghadapi ujian hidup.

“Sekarang saya utamakan lebih baik berkasih sayang dengan Allah daripada berkasih sayang bersama manusia. Jadi, ia secara tidak langsung buat saya rasa kenapa nak mengejar lagi kasih sayang sesama manusia.

“Sebab itu, sedikit sebanyak saya kini sudah kuat dan terbuka untuk berkongsi kepada media serta memaklumkan berkaitan masalah kemurungan melampau yang sudah lama dialami,” katanya.

Ejai pernah bercerai namun sudah bernikah semula dengan wanita pilihannya, Nursyahirah Azhar, pada 9 Disember 2022.

Menerusi perkahwinan lalunya dengan bekas isteri, Ejai dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhamad Amie Rayyan, lapan tahun, dan Muhamad Anas Hafiy, tujuh tahun, yang kini menetap dengan mentuanya di Perak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg