Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘EBRC tidak bertanggungjawab atas kemenangan, kekalahan sebarang parti politik’

Chun Sing turut tekankan jawatankuasa tersebut bertugas secara objektif dan bebas daripada sebarang pengaruh politik
Aug 7, 2024 | 9:17 PM
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) menjalankan tugasnya secara bebas dan objektif.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) menjalankan tugasnya secara bebas dan objektif. - Foto fail

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) tidak mempunyai kaitan politik dengan mana-mana parti politik, dan tidak seharusnya bertanggungjawab sama ada parti tertentu menang atau kalah semasa pilihan raya umum, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Bercakap di Parlimen pada 7 Ogos sebagai menjawab beberapa soalan yang dibangkitkan Anggota Parlimen (AP), Encik Chan berkata EBRC menjalankan tugasnya secara bebas dan objektif, dan tidak mempunyai akses kepada maklumat pengundian dan oleh itu tidak membuat cadangan mereka berdasarkan corak pengundian.

“EBRC tidak berunding dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau mana-mana parti politik lain. Politik kepartian tidak terlibat dalam latihan ini. EBRC terdiri daripada penjawat awam kanan tanpa kesetiaan kepada mana-mana parti.

“Oleh itu, tidak seperti negara lain dengan parti politik terlibat dalam proses melakar sempadan, komposisi dan proses EBRC terlindung daripada politik parti,” kata Encik Chan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul yang difailkan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, yang menyeru pemerintah mengkaji semula proses bagaimana sempadan pilihan raya ditentukan.

Menolak dakwaan gerrymandering atau manipulasi penentuan sempadan pilihan raya, Encik Chan berkata perubahan sempadan pilihan raya memberi impak yang lebih besar kepada parti penyandang dan Anggota Parlimen (AP) mereka.

Ini memandangkan AP dan sukarelawan parti penyandang telah melabur banyak masa dan usaha untuk melibatkan diri dan berkhidmat kepada penduduk.

Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) menyarankan supaya menggunakan alat dan model matematik yang disokong secara saintifik untuk menyesuaikan penduduk setiap kawasan pilihan raya supaya ia mencerminkan corak kebangsaan sebagai rujukan untuk EBRC.

Menjawab saranan tersebut, Encik Chan berkata bahawa pemerintah terbuka untuk meneroka semua jenis model tetapi beliau memberi amaran model Dr Lim sebenarnya kelihatan serupa dengan konsep gerrymandering.

“Jika kami menggunakan pilihan pengundian orang ramai untuk menyesuaikan model, tidakkah anda bersetuju bahawa itu adalah sebenarnya gerrymandering?

“Kedua, jika kita benar-benar melakukan itu, dan setiap kawasan adalah sama, maka setiap kawasan harus memberikan bahagian undi kepada penyandang.

“Adakah itu hasil yang kita perjuangkan? Jadi, saya fikir, berhati-hati tentang bagaimana dan apa yang kita pelajari dari negara lain dan cara kita menggunakan model,” kata Encik Chan.

Semasa perbahasan, Encik Leong bertanya sama ada Perdana Menteri boleh “menetapkan kepada EBRC” jenis kawasan pilihan raya yang perlu diwujudkan dan memberi lebih banyak “parameter objektif” kepada EBRC, seperti mempunyai “kawasan pilihan raya yang lebih kompak”.

Menggunakan contoh GRC Marine Parade, beliau menekankan bahawa penduduk estet Braddell Heights, mungkin tidak mengenali penduduk lain yang tinggal di estet Marine Parade.

Menjawab cadangan tersebut, Encik Chan berkata: “Nampaknya sekarang kita perlu meminta Perdana Menteri memberitahu EBRC definisi kompak. Dan nampaknya kita mahu Perdana Menteri memberi arahan yang lebih spesifik kepada EBRC.

“Saya pasti jika Perdana Menteri berbuat demikian, Perdana Menteri akan dituduh campur tangan secara tidak wajar dalam proses EBRC.

“Jadi saya rasa Perdana Menteri akan melakukan apa yang perlu beliau lakukan – memberi garis panduan yang luas kepada EBRC – dan kita biarkan EBRC melakukan kerja mereka secara profesional dan objektif,” kata Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg