Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru tadika lelaki tak kekok asuh, didik kanak-kanak

Aug 29, 2024 | 6:12 PM
Sambil mengadakan sesi bercerita kepada kanak-kanak tadika satu (K1) di pusat tadika PCF Sparkletots @ Bukit Gombak Blok 395A, Encik Zulqarnain Zainol Rashid (belakang) berkongsi bagaimana ia benar-benar membangkitkan sifat kanak-kanak dalam diri beliau dan rasa gembira berada di persekitaran sedemikian.
Sambil mengadakan sesi bercerita kepada kanak-kanak tadika satu (K1) di pusat tadika PCF Sparkletots @ Bukit Gombak Blok 395A, Encik Zulqarnain Zainol Rashid (belakang) berkongsi bagaimana ia benar-benar membangkitkan sifat kanak-kanak dalam diri beliau dan rasa gembira berada di persekitaran sedemikian. - Foto PCF

Semasa pertama kali beliau melangkah ke bilik darjah, jelas di ingatan, Encik Zulqarnain Zainol Rashid, bagaimana anak murid ciliknya berasa kagum melihat beliau menjadi guru mereka.

“Mereka berulang kali mengatakan, ‘Wah, kita ada guru lelaki dalam kelas’, apabila saya masuk ke bilik darjah.

“Apabila saya tiba di pusat tadika itu, rakan kerja saya juga kelihatan kagum dan terkejut kerana akhirnya dapat melihat seorang guru lelaki dalam bilik darjah,” kata guru prasekolah berusia 35 tahun itu, mengimbas semula kenangan menceburi industri itu.

Beliau, yang sudah berkecimpung dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak selama 11 tahun, memulakan kerjaya di prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots @ Bukit Gombak Blok 535.

Kini kehadiran Encik Zulqarnain ternyata tidak lagi dianggap sesuatu yang luar biasa, kerana beliau telah mendidik dan memenangi hati ramai kanak-kanak daripada pelbagai peringkat seperti kelas nurseri tahun kedua (N2), tadika satu (K1) dan tadika dua (K2).

Sejak 2017, beliau mendidik kanak-kanak di PCF Sparkletots @ Bukit Gombak Blok 395A dan ia merupakan pusat tadika kedua beliau bertugas.

Kini, sebagai satu-satunya guru prasekolah lelaki di pusat tadika itu, beliau mengajar sekitar 19 kanak-kanak di kelas peringkat K1.

Beliau juga telah diiktiraf dengan Anugerah Khidmat Bermutu Cemerlang PCF pada 2021 atas sumbangannya dalam mempromosikan amalan inovatif dalam kelas.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), bekas pelatih di program Gymkidz – satu program yang merangsang pembangunan minda dan fizikal kanak-kanak – memberitahu peluang menjadi guru prasekolah terbuka apabila beliau mengunjungi satu seminar pendidikan awal kanak-kanak di Orchard pada 2013 bersama ibunya, Cik Shamsinah Abdul Wahab.

“Ketika itu, saya berjalan-jalan bersama ibu saya di Orchard dan secara kebetulan, kami terserempak dengan satu seminar pendidikan awal kanak-kanak.

“Sebelum itu, pengurus saya di program Gymkidz telah melihat interaksi saya bersama kanak-kanak dan justeru mendorong saya meneroka sektor tersebut. Saya juga memberitahu ibu bapa saya tentang hasrat saya untuk mengkaji sektor itu dengan lebih mendalam.

“Apabila kami terserempak dengan seminar itu, ibu saya ingatkan saya bahawa ini mungkin satu petanda untuk menyertai sektor itu dan kami terus masuk,” ujar Encik Zulqarnain, yang juga berkongsi beliau tertarik dengan reruai PCF Sparkletots.

Ternyata, ada dalam kalangan ibu bapa yang pasti berasa bimbang dengan kehadiran seorang guru prasekolah lelaki menguruskan anak kecil mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka ingin menukar pakaian atau pergi ke tandas.

Justeru, dengan adanya prosedur operasi standard, atau SOP, dilakarkan di PCF Sparkletots, Encik Zulqarnain berkata ia dapat mengesyorkan para ibu bapa tentang tingkah laku yang dibenarkan dalam memastikan satu persekitaran yang kondusif bagi anak mereka.

Sebagai panduan umum, Encik Zulqarnain juga mengelakkan daripada memeluk kanak-kanak atau menyentuh mereka.

Sebaliknya, beliau memberikan ‘high-five’ atau gaya berjabat tangan berlainan apabila mereka datang kepadanya untuk dipeluk.

Apabila mereka ingin pergi ke tandas, beliau akan mendapatkan bantuan rakan sekerja wanitanya untuk membantu menguruskan mereka.

Walaupun terdapat had tertentu dalam berinteraksi dengan kanak-kanak kecil, ia tidak menghambat Encik Zulqarnain daripada memberi pendidikan yang terbaik demi tumbesaran mereka.

Malah, bagi beliau, kehadiran seorang guru prasekolah lelaki dalam industri yang lazimnya ramai wanita dapat memberi perspektif baru dalam aspek penjagaan kanak-kanak.

“Saya rasa ia adalah perkara biasa untuk dikaitkan wanita dengan sektor pendidikan awal kanak-kanak, lebih-lebih lagi dari segi aspek penjagaan dan luahan emosi.

“Namun, sebagai kaum lelaki, kami juga boleh menunjukkan bahawa kami boleh bersikap penyayang, empati, serta menyokong dalam kedua-dua peranan pendidikan dan emosi untuk mereka,” kongsi beliau.

“...Sebagai kaum lelaki, kami juga boleh menunjukkan bahawa kami boleh bersikap penyayang, empati, serta menyokong dalam kedua-dua peranan pendidikan dan emosi untuk mereka.”
Encik Zulqarnain Zainol Rashid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg