BH papar wadah baru, edisi kompak pada pengiklan
Format akhbar kompak mulai 24 Mac
Berita Harian (BH) telah berkongsi rancangannya untuk beralih ke format akhbar yang lebih kecil kepada pengiklan setia dan bakal pengiklan dalam satu acara khas pada 21 Januari.
Akhbar tersebut, satu-satunya akhbar Bahasa Melayu akan dicetak dalam format kompak mulai 24 Mac.
Peralihan ini merupakan fasa terbaru dalam proses transformasi akhbar itu sejak Jun 2023, yang juga menyaksikan rombakan pada struktur organisasi bilik berita, penghasilan kandungan cetak dan digital yang baru, serta peningkatan dalam kehadiran media sosial.
Bercakap kepada lebih 80 hadirin di SPH News Centre yang terdiri daripada agensi pemerintah, syarikat swasta dan pertubuhan Melayu/Islam, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar berkata langkah itu diambil sejajar dengan perubahan tabiat pembaca dan landskap media yang semakin mendakap format digital.
Pada masa yang sama, BH akan terus mengekalkan nilai kewartawanan yang dipegang sejak penubuhannya lebih enam dekad lalu, kata beliau lagi.
“BH hari ini tidak lagi sama seperti dahulu – dan perubahan ini memang dirancang dengan teliti. Ia bukan perubahan semata-mata, malah dilakukan dengan tujuan yang jelas, iaitu untuk kekal relevan, dipercayai dan memberi impak dalam landskap media yang bergerak pantas.
“Walaupun saiz akhbar ini mungkin lebih kecil, kami tetap komited sepenuhnya terhadap ketepatan, kedalaman dan keseimbangan dalam kewartawanan kami.”
Beliau menambah, peralihan kepada format kompak dilakukan berdasarkan maklum balas pembaca yang mahukan reka bentuk lebih mesra pengguna, penyampaian berita yang lebih mudah difahami dengan analisis yang lebih kukuh, serta penceritaan visual yang diperkaya dengan integrasi cetak-ke-digital menggunakan kod QR.
Justeru, satu tinjauan BH sebelum ini menunjukkan lebih 86 peratus pembaca BH menyambut baik langkah ini terhadap format saiz kompak.
Selain itu, Encik Nazry juga berkongsi pelaburan BH menghasilkan pelbagai format bercerita, termasuk melalui podcast, video, dan kandungan penerang (explainer content) dan laporan mesra media sosial.
Perubahan itu telah mendatangkan hasil, dengan akhbar itu mencapai lebih sejuta paparan halaman sebulan, dengan 40 peratus mencapai pembaca Malaysia, kongsi Encik Nazry.
Dengan akhbar itu bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada 2027, Encik Nazry berkata pencapaian ini menjadi peluang baik bagi rakan kongsi dan pengiklan yang berminat untuk beriklan bersama BH.
Pelbagai acara menarik sedang dirancangkan, termasuk pelancaran buku peringatan, pameran di serata negara serta satu majlis makan malam gala.
Semasa sesi itu juga, Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin turut berkongsi tentang beberapa tonggak kandungan BH, serta senarai wadah dan penglibatan audiens yang telah disediakan oleh BH.
Para tetamu juga diberikan perkembangan terkini tentang data penglibatan audiens BH oleh Cik Tai Ee Lin dari Pejabat Pengurusan Program SPH Media.
Dalam pada itu, para hadirin yang ditemui selepas sesi itu menyambut baik usaha ini, dengan sebahagian mereka menyifatkan langkah ini sebagai satu yang wajar dilakukan dalam peranan BH sebagai suara masyarakat Melayu/ Islam.
Ini termasuk Pengarah Eksekutif agensi pelancongan Jalaluddin Travel & Services, Cik Noor Faizah Mustaffa.
Bagi syarikatnya yang telah membeli ruang iklan di BH selama lebih sedekad, transformasi yang dilalui akhbar itu dilihat selari dengan perubahan tabiat pembaca.
“Kami dapat lihat bagaimana platform digital Berita Harian membolehkan kandungan disebarkan dengan lebih meluas, terutama kepada pembaca muda. Ini memberi manfaat besar kepada kami sebagai agensi pelancongan yang ingin terus mendekati masyarakat Melayu/ Islam Singapura,” tambahnya.
Mengulas lebih lanjut, Cik Noor Faizah berkata perubahan saiz akhbar itu juga berpotensi meningkatkan minat membaca serta jumlah pembaca BH secara keseluruhan.
“Saiz yang lebih kecil ini jauh lebih mesra pembaca dan mudah diakses. Saya mengalu-alukan perubahan ini dan berharap ia dapat diterima baik oleh masyarakat, sekali gus meningkatkan minat serta jumlah pembaca Berita Harian,” ujarnya.
Turut bersependapat ialah wakil syarikat pelaburan Lion Global Investors, Encik Zefri Delaney Md Dennis, yang juga menyifatkan penyegaran BH sebagai satu langkah positif dan tepat pada masanya.
Beliau berkata peralihan kepada saiz kompak adalah satu perubahan yang dialu-alukan, memandangkan akhbar bersaiz besar disifatkan sebagai kurang praktikal, khususnya bagi pembaca yang sentiasa bergerak.
“Walaupun saya membesar dengan akhbar bersaiz lembaran lebar, format itu kini agak ketinggalan zaman dan menyusahkan untuk dibaca. Saiz kompak lebih mudah digunakan dan saya lebih cenderung untuk membacanya,” katanya.
Beliau turut menyatakan keterbukaan untuk meneroka kerjasama dengan BH dalam usaha memperluas kesedaran dan pemahaman pelaburan dalam kalangan pembacanya.
“Kami tertarik dengan data yang dikongsi hari ini mengenai jangkauan pembaca BH yang menunjukkan keupayaan akhbar ini dalam mencapai sebahagian besar masyarakat Melayu/Islam di Singapura,” katanya.
Antara tetamu lain yang hadir di majlis itu termasuk Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), syarikat insurans Great Eastern, dan badan bantu diri, Yayasan Mendaki.

