Dalam masyarakat yang semakin berpecah-belah, peranan kewartawanan sebagai penyatu menjadi lebih penting berbanding sebelumnya, kata Editor akhbar The Straits Times (ST), Encik Jaime Ho.
Justeru, akhbar tersebut akan memainkan peranannya untuk mendekati audiens di mana-mana sahaja mereka berada sambil tetap berpegang pada integriti dan kesan positif kewartawanan.
Encik Ho berkata demikian di majlis jamuan malam gala sempena ulang tahun ke-180 ST pada 11 Julai di Jewel, Lapangan Terbang Changi, di mana beliau turut melancarkan pengalaman web dan aplikasi ST yang diperbaharui.
Turut menghadiri majlis itu ialah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Pengerusi SPH, Encik Khaw Boon Wan; dan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Encik Chan Yeng Kit.
“Kami akan terus mendekati audiens kami di mana-mana sahaja mereka berada, melalui wadah yang mereka gunakan, dan yang paling penting, sambil tetap berpegang pada integriti serta kesan positif kewartawanan kami.
“Ini memerlukan kesediaan untuk bereksperimen, belajar daripada kejayaan dan kegagalan kami, serta menyesuaikan diri dengan landskap media dan masyarakat yang sentiasa berubah.
“Menjadi lebih dekat dengan masyarakat juga bermakna berusaha secara aktif untuk merapatkan jurang dan memupuk persefahaman bersama,” ujar Encik Ho.
Menurutnya, masa hadapan bagi berita dan bilik berita bukan sekadar tertakluk pada taktik harian seperti mengoptimumkan kandungan, memenuhi kehendak audiens secara berlebihan, memanfaatkan kecerdasan buatan generatif atau meningkatkan penglibatan melalui algoritma terkini platform sosial dan video.
Malah, beliau menggesa agar bilik berita menilai semula tujuan asasnya dan memperdalam hubungan dengan masyarakat yang ia berkhidmat.
Bilik berita perlu melangkaui hubungan yang bersifat transaksional dengan para pembaca, katanya.
“Kami mesti memupuk rasa kerjasama, mendengar suara mereka dengan aktif, memahami perspektif mereka, dan mewujudkan ruang bagi dialog dan penglibatan yang bermakna.
“Ini bermakna melabur dalam kewartawanan berteraskan masyarakat, di mana kami bertemu dan bekerjasama dengan orang sekeliling untuk mengenal pasti kisah yang paling penting bagi mereka, serta mengangkat suara mereka,” ujar Encik Ho.
Memberi contoh, Encik Ho berkongsi tentang siri penglibatan, Conversations with The Straits Times.
Tiga forum telah dianjurkan agar bilik berita dapat bertemu dengan rakyat Singapura daripada pelbagai golongan.
Melaluinya, ST memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang apakah yang diharapkan daripada bilik berita tersebut, sambil memberi pencerahan kepada para hadirin agar dapat memahami pertimbangan dalam membuat keputusan editorial.
Selain itu, Encik Ho berkongsi bagaimana ST telah memberi tumpuan kepada golongan muda Singapura melalui pertandingan kuiz berita dan hal ehwal semasa yang berlangsung dari April hingga Mei.
Dalam pada itu, ST bermatlamat menjadi sumber yang dipercayai untuk majoriti, dan memupuk dialog yang menyentuh hati, merentasi pelbagai spektrum perspektif, termasuk dalam kalangan minoriti.
Encik Ho akur bahawa keraguan terhadap media berita akan sentiasa wujud. Malah, ia penting untuk membentuk masyarakat yang arif dan celik berita.
“Kita mesti menerima hakikat ini dan mengakui bahawa usaha untuk meraih dan mengekalkan kepercayaan adalah satu usaha yang berterusan,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg